Sat. Apr 27th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

KEPRIHATINAN KERAJAAN DALAM MEMBANTU SEKTOR PELANCONGAN DIHARGAI

2 min read

KUALA LUMPUR, 21 NOV 2020 : Majlis Pelancongan Malaysia menyambut baik langkah kerajaan memberi kelonggaran untuk perjalanan rentas negeri dan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi beberapa negeri. Kebenaran untuk aktiviti pelancongan secara gelembung perjalanan (travel bubble) juga dilihat sebagai satu usaha murni dalam membantu menghidupkan semula sektor pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pendemik Covid-19.

Industri pelancongan merupakan antara industri yang paling awal terjejas yang melibatkan hampir 4 juta orang di negara ini dan  dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik COVID-19.

Menurut Uzaidi Udanis, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, bantuan kepada sektor pelancongan perlu disalurkan seberapa segera bagi memastikan sektor pelancongan terus berdaya saing.


“ Saya berharap pihak kerajaan dapat menyalurkan bantuan segera khususnya peruntukan menerusi Pelan Pemulihan Pelancongan yang sedia ada untuk tahun ini bagi membantu sektor pelancongan sementara menanti peruntukan sebanyak RM200juta menerusi belanjawan 2021,” kata Uzaidi Udanis.

Majlis Pelancongan Malaysia yakin bahawa menerusi Pelan ini diharapkan dapat menggalakkan lagi perbelanjaan domestik dan dengan sendirinya meningkatkan ekonomi setempat.  Pelan tersebut merangkumi baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, diskaun percutian keluarga, penyemarakan seni budaya, kempen ‘Meet in Malaysia’, diskaun pakej petugas barisan hadapan, potongan diskaun beli-belah dan diskaun pengangkutan.

Bagi menyahut seruan kerajaan dalam melaksanakan pelan pemulihan pelancongan ini, pihak Majlis Pelancongan Malaysia bersedia berganding bahu dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya dalam memastikan semua penggiat industri pelancongan yang terjejas sama-sama mendapat manfaat daripada pelan tersebut. Agensi-agensi pelancongan juga diseru agar dapat mengambil peluang ini untuk memasarkan pakej-pakej pelancongan domestik secara kreatif dan berupaya menarik minat masyarakat untuk melancong di dalam negara sekali gus menjayakan kempen Cuti-cuti Malaysia.

Dalam masa yang sama Majlis Pelancongan Malaysia berharap satu mekanisma atau garis panduan aktiviti pelancongan dapat diumumkan pada kadar segera bagi memastikan tidak timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam situasi sekarang.

Masyarakat juga harus sentiasa diingatkan untuk mempraktikkan SOP ketat bagi memastikan  pencegahan penularan jangkitan dan mereka akan berasa selamat apabila berkunjung ke negara ini.  Untuk tujuan itu Majlis Pelancongan Malaysia juga bekerjasama dengan Tourism Productivity Nexus dan Malaysia Productivity Corporation ( MPC) dalam mengeluarkan SOP Adopt & Adhere untuk penggiat industri pelancongan .

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *