Sat. Apr 20th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Usaha Menggerakkan Sektor Pelancongan Bermula!

2 min read

PUTRAJAYA, 23 NOVEMBER 2020: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada hari ini mengumumkan perincian pelan pemulihan pelancongan bagi merancakkan semula ekonomi negara melalui sektor pelancongan yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata bahawa MOTAC melalui agensinya, Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) akan menggerakkan pelan pemulihan pelancongan tersebut melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dengan melibatkan kerjasama penggiat-penggiat industri pelancongan negara.

Tiga teras utama pelan pemulihan yang telah digariskan di bawah strategi pemulihan tersebut dijangka akan menyemarakkan semula pelancongan domestik seperti Mengembalikan Keyakinan untuk Melancong, Menyemarakkan Pelancongan Domestik & Memaksimumkan Sumber Sedia Ada.

Program yang telah dikenalpasti untuk menggerakkan industri pelancongan tempatan adalah dengan melibatkan kerjasama dengan semua pemain industri seperti syarikat penerbangan, pengangkutan dan badan bukan kerajaan dalam industri pelancongan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet (MyBHA).

Sehubungan dengan itu, beberapa program yang telah sedia untuk digerakkan adalah seperti berikut:

a) Kerjasama TM, MAH dan e-market platform untuk mempromosikan pakej-pakej penginapan bagi menggalakan pelancongan domestik dan membantu hotel-hotel di bandar yang terkesan teruk akibat penularan Covid-19;

b) Kerjasama dengan MyBHA bagi hotel bajet (3 bintang ke bawah) yang terpilih dan aktif mengikut negeri dan keutamaan akan diberikan kepada ahli yang berdaftar dengan MOTAC melalui kempen ‘Jom Nginap’ dan ‘Malaysia Welcomes You’.

c) Kempen ‘Cuti-Cuti Malaysia’ dengan kerjasama syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB), Firefly, Air Asia dan Malindo Air bagi meningkatkan kesalinghubungan ke lokasi percutian di dalam negara untuk merangsang pelancongan domestik;

d) Tourism Malaysia akan menjalin kerjasama dengan penggiat industri melalui segmen perkhidmatan, pengangkutan dan syarikat swasta iaitu Prasarana bagi menggalakkan pergerakan inter dan intra di kalangan pelancong domestik dan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam; dan

e) Diskaun Pembelian Produk Kraf di Outlet Karyaneka untuk menggalakkan penjualan kraftangan Malaysia.

Mekanisme yang dicadangkan merupakan pemberian baucar/diskaun/rebat tunai yang akan memberi manfaat secara terus kepada rakyat Malaysia. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Kerajaan bagi meningkatkan penggunaan teknologi digital di kalangan rakyat melalui pembelian/tempahan atas talian, penggunaan aplikasi mobil dan penebusan e-baucar tunai.

“MOTAC menyambut baik keputusan keputusan kerajaan yang telah membenarkan gelembung perjalanan domestik antara zon-zon hijau di Malaysia. Oleh itu, kami berharap rakyat akan mengambil peluang untuk melancong dengan selamat dan sentiasa mematuhi SOP di dalam norma baharu sepanjang perjalanan,” kata Menteri itu.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri juga menyeru pemain industri pelancongan supaya sentiasa menampilkan tawaran-tawaran pakej menarik di samping menjaga SOP dengan norma baharu bagi memastikan kelestarian ekonomi pelancongan yang merupakan salah satu penyumbang besar ekonomi negara. Program serta inisiatif yang telah dirangka diharap dapat membantu menaikkan semula sektor pelancongan domestik dengan kerjasama dari setiap pihak industri pelancongan tempatan ke arah pemulihan dan kemajuan ekonomi negara.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *