Tue. Apr 30th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Selarikan Minda, Tubuh & Jiwa Dengan Ayurveda

4 min read

Ayurveda (‘ayur’ bermaksud kehidupan dan ‘veda’ bermaksud pengetahuan atau sains) yang dianggap sebagai salah satu sistem penyembuhan holistik yang tertua di dunia memberi tumpuan pada keseimbangan minda, tubuh dan jiwa dengan pendekatan terapeutik yang menyelami teras personaliti, sifat dan gaya hidup seseorang. Pendekatan kuno ini bukan sekadar satu sistem untuk menyembuhkan penyakit; amalan penyembuhannya juga memberi saranan amalan gaya hidup yang lengkap untuk kehidupan tanpa penyakit.

Kem latihan kecergasan dan rawatan detoksifikasi biasa mungkin menawarkan penyelesaian jangka pendek atau penurunan berat badan yang cepat, namun bagi mereka yang ingin mengalami transformasi sebenar yang akan menghidupkan dan mencergaskan semula kesejahteraan untuk jangka panjang, pusat kesejahteraan Kalari Kovilakom dan Kalari Rasayana oleh CGH Earth menjanjikan pengalaman yang membolehkan anda menyelarikan kesihatan emosi, mental dan fizikal dengan hasil yang mampu mengubah hidup anda.

Peluang untuk mengalami ‘Kesihatan Secara Menyeluruh’ dalam persekitaran yang menakjubkan boleh didapati di dua hospital mewah ini yang terletak di Kerala, India. Ia menawarkan pengalaman penyembuhan khusus yang membolehkan anda menyedari perkaitan anda dengan alam semula jadi, segala unsur dan kitarannya.

Pada terasnya, pusat-pusat rawatan dinamik ini menawarkan peluang untuk menghidupkan semula kesejahteraan anda dengan memberi tumpuan pada:

  • Detoksifikasi lengkap (Panchakarma Chikitsa)
  • Penyucian tubuh (Shodhana Chikitsa)
  • Pengurusan stres
  • Pengurusan berat badan
  • Penuaan sihat
  • Penyelesaian penyakit tertentu seperti diabetes, masalah gastro, penyakit hormon dan metabolisme

Sidarthan Dominic, Pengarah Urusan CGH Earth mengulas tentang konsep tersebut; “Dalam dunia moden di mana kita sering terperangkap dengan gaya hidup yang mengundang stres dan menyebabkan kesihatan semakin merosot, penyelesaian yang dianggap mudah ialah perubatan moden untuk menangani simptom-simptomnya. Berlainan dengan Ayurveda, pendekatan yang diamalkan di Destinasi Kesejahteraan CGH Earth memberi tumpuan pada penyelesaian punca penyakit-penyakit tersebut, dengan pendekatan yang menyembuhkan dan menyeluruh untuk gaya hidup yang sihat dan penyembuhan yang membolehkan anda mempertimbangkan semula beberapa perkara penting mengenai tabiat harian anda. Dengan menangani tabiat yang menjejaskan kesihatan dan menyelarikan diri dengan alam semula jadi, anda boleh menghasilkan transformasi kesejahteraan mental dan fizikal secara menyeluruh untuk mencapai tahap kesegaran baharu.”

Proses Ayurveda di destinasi kesejahteraan CGH Earth memberi tumpuan pada persoalan penting iaitu APA YANG BENAR-BENAR KITA PERLUKAN? Dengan fokus yang dinamik untuk mengenal pasti jenis tubuh dan mendengar diri sendiri, ia sememangnya berlainan dari pendekatan yang sama untuk semua orang.

JENIS TUBUH

  • Asas penyembuhan datang dengan memahami apa yang sesuai dengan tubuh kita pada tahap individu. Ini disemak berdasarkan tenaga bio di dalam tubuh yang dikenali sebagai Doshas (Pitha, Kapha dan Vata) di mana jika digabungkan dengan lima unsur alam, boleh menentukan ciri-ciri mental, fizikal dan emosi kita yang tersendiri.

MENDENGAR

  • Tubuh kita ialah mekanisme hebat yang mempunyai kebolehan penyembuhan sendiri untuk membaiki diri namun seperti kebanyakan orang dalam dunia moden ini, kita gagal mendengar apa yang cuba disampaikan oleh tubuh kepada kita. Kita juga semakin tidak mengendahkan keperluan semula jadi tubuh, menahan desakan tubuh yang mengakibatkan pengumpulan toksin dan manifestasi toksin dalam bentuk penyakit, seterusnya menyebabkan kita tergesa-gesa mendapatkan campur tangan perubatan.

Ayurveda menggalakkan kita untuk lebih peka terhadap tubuh dan mesej-mesej yang disampaikannya supaya kehidupan tanpa penyakit boleh menjadi satu proses semula jadi. Berbeza dengan perubatan barat, Alam Semula Jadi adalah teras proses penyembuhan Ayurveda dengan sedikit atau tiada kebergantungan terhadap bahan kimia dan kesan-kesan toksiknya. Semua saranan Ayurveda adalah berdasarkan pengetahuan yang diperoleh dengan mengkaji ribuan tumbuh-tumbuhan, herba-herba perubatan dan tindak balas tubuh terhadapnya berdasarkan keserasian.

Ini termasuklah:

  • Makanan – dalam kesibukan hidup, kita sering tergesa-gesa dan jarang mengambil berat tentang makanan yang diambil dan apa yang benar-benar diperlukan oleh tubuh dari perspektif nutrisi. Ayurveda menyarankan pelan diet berdasarkan jenis tubuh seseorang dengan tumpuan pada makanan yang segar dan organik, di samping menggalakkan tabiat makan dengan peka dan bertafakur agar khasiat makanan dapat diserap oleh tubuh dengan cara yang teratur.
  • Bernafas – ramai di antara kita tidak bernafas dengan cara yang boleh menyihatkan tubuh di mana nafas kita pendek, cetek dan panik, lalu menyebabkan kita berasa tertekan dan kurang bertenaga. Ayurveda mengajar anda cara-cara untuk bernafas dengan betul berdasarkan persekitaran dan keperluan tubuh. Memelihara – apa yang memberi kesan terhadap tubuh dan minda, dan sebaliknya. Hubungan simbiotik ini diuruskan oleh Ayurveda dengan amalan seperti yoga dan meditasi yang bertujuan untuk memberi penyembuhan dalaman dan membentuk tubuh dan minda yang sihat.
  • Tidur – kita semua tahu bahawa tidur membantu memperbaiki dan menyegarkan tubuh, namun kita sering gagal memahami bila dan kaedah tidur yang betul untuk kesejahteraan diri, di samping apa yang perlu diamalkan untuk memperbaiki tabiat tidur kita. Tidur diteliti dengan kaedah saintifik dan disesuaikan dengan keperluan tubuh setiap individu.

Walaupun keseluruhan portfolio CGH Earth bertumpu kepada pendekatan Ayurveda, Kalari Rasayana dan Kalari Kovilakom menawarkan pengalaman yang unik untuk mereka yang mahu berhenti merawat simptom-simptom gaya hidup yang tidak sihat, mengenal pasti punca-puncanya bagi membolehkan mereka menjalani hidup yang lebih sihat dan menggembirakan serta masa depan yang lebih bermakna.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *