Sat. Apr 20th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 Membuka Tirai

2 min read

KUALA LUMPUR – Kempen Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 atau MyHT2020 telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Ir. Amirudin Hamzah. MyHT2020 dianjurkan seiring dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020). Kempen ini juga menjemput orang ramai untuk mendapatkan rawatan kesihatan, sambil menikmati keindahan tarikan pelancongan di Malaysia.

Malaysia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai “Negara Terbaik di Dunia untuk Penjagaan Kesihatan” dari tahun 2015 hingga 2019 oleh International Living yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan “Destination of the Year” bagi penjagaan kesihatan oleh Medical Travel Journal yang berpangkalan di UK dari tahun 2015 hingga 2017 berdasarkan tiga kriteria unik iaitu Kualiti, Kebolehcapaian dan Mampu Milik.

Malaysia Healthcare Lounge yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menyediakan perkhidmatan penyambut tetamu di lapangan terbang, servis fast-track untuk pemeriksaan imigresen dan kastam serta bantuan tuntutan bagasi. Perkhidmatan penterjemahan juga turut disediakan berdasarkan permintaan awal untuk memudahkan komunikasi pesakit yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

“Menerusi kempen MyHT2020 ini, kami menjemput semua pelancong penjagaan kesihatan untuk menikmati pengalaman penjagaan kesihatan yang sempurna dan berkualiti yang ditawarkan Malaysia Healthcare. Malaysia semakin menjadi pilihan sebagai destinasi penjagaan kesihatan, dan saya percaya ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kepercayaan yang diberikan kepada kami oleh pelancong penjagaan kesihatan,” kata Sherene Azli, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC).

Sistem penjagaan kesihatan Malaysia yang diselia rapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Akta Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta dan Kemudahan (1998). Antara lain, Akta ini berperanan untuk memastikan keselamatan pesakit, dan kos rawatan adalah berpatutan.

Reputasi baik negara sebagai destinasi pelancongan kesihatan juga telah berjaya menarik lebih daripada 1.2 juta pelancong penjagaan kesihatan pada tahun 2018, dan jumlahnya semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Industri pelancongan penjagaan kesihatan juga meningkat setiap tahun dengan CAGR sebanyak 17%. Pada tahun 2018, sejumlah RM 1.5 bilion telah diperoleh melalui hasil kutipan hospital swasta yang membolehkan Malaysia Healthcare menyumbang sebanyak RM6.4 bilion kepada pendapatan negara. Menerusi kempen MyHT2020 ini, Malaysia Healthcare meletakkan sasaran untuk memberi impak sebanyak RM8 – 10 bilion kepada ekonomi negara menjelang 2020.

Maskot MyHT2020 yang merupakan burung enggang yang diberi nama Dr. Enggang, telah diperkenalkan sebagai simbolik kepada perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

MHTC bekerjasama dengan Malaysia Airlines Berhad sebagai rakan strategik membawa pelancong kesihatan yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu di negara ini.

Kapten Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB berkata “Malaysia Airlines sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan MHTC bagi segmen pasaran yang penting ini. Sebagai syarikat penerbangan nasional, kami menyokong sepenuhnya untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi utama penjagaan kesihatan dan pelancongan”.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *