Fri. Apr 19th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Pusingan Akhir Penuh Cabaran – Dari Kota Bahru ke JB

2 min read

PROTON 1 Tank Adventure telah sampai ke kemuncaknya baru-baru ini. Kesemua juara untuk pusingan pertama, dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kembali bertarung untuk kemahiran memandu secara ekonomi di pusingan akhir yang berlangsung dari Kota Bharu, Kelantan dan berakhir di Johor Bahru.

Pusingan akhir Cabaran 1 Tangki PROTON tahun ini lebih mencabar. Jika pada pusingan pertama jarak pemanduan di antara 500 kilometer hingga ke 600 kilometer untuk setiap bahagian, namun pusingan akhir ini menyaksikan jarak pemanduan adalah sejauh 710 kilometer, hanya dengan menggunakan satu tangki petrol. Kedengaran memang gila tapi hakikatnya saya sendiri yang merupakan salah seorang peserta akhir berjaya melakukan pemanduan epik ini.

Untuk pusingan akhir, kami semua terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan bermalam di Negeri Cik Siti Wan Kembang sebelum bermulanya pemanduan penuh cabaran ini. Sebanyak 18 buah kereta Proton mengharungi perjalanan dua hari satu malam. Perjalanan bermula dari Kota Bharu, melalui Terengganu dan kemudian bermalam di Kuantan sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bahru. Pemanduan Cabaran 1 Tangki ini terbahagi kepada tiga model kereta Proton iaitu Saga, Persona serta Iriz dan bertanding dalam kategori pemilik dan media. Laluan yang digunakan adalah juga mencabar, melalui jalan pesisir Laut China Selatan, merentas Kuala Besut, Setiu, Cherating, Pekan, Kuala Rompin, Mersing sehinggalah ke Johor Bahru.

Bukan sahaja sekadar berjalan, para peserta juga perlu berhenti di beberapa checkpoint yang ditetapkan seperti di Pantai Rhu Sepuluh, Terengganu dan juga di pantai berhampiran Mersing Habour Center bagi mengambil bahagian dalam pelbagai cabaran yang telah disediakan oleh penganjur. Peserta juga telah diberikan had masa untuk sampai ke setiap checkpoint bagi memaksa mereka untuk memandu pada kelajuan purata sekitar 70 km/j. Beberapa orang selebriti seperti penyampai radio Suria FM, Fizi dan pengacara stesen televisyen Al-Hijrah, Yuna Zainal turut sama memandu kereta model terbaru Proton dari Kota Bharu sehingga ke Puteri Harbour, Johor.

Pertandingan ini berakhir di Stesen Petronas Jalan Indah, Taman Bukit Indah Johor Bahru di mana setiap tangki kereta akan di isi semula petrol bagi mengukur berapa banyak bahan bakar yang telah digunakan. Bacaan terbaik dicatatkan pada peringkat akhir ini adalah 4.82L/100km bagi Proton
Iriz, 5.03L/100km bagi Proton Persona dan 4.65L/100km bagi Proton Saga. “Cabaran 1 Tangki PROTON telah meliputi perjalanan sejauh lebih 2,305km untuk mengukur kecekapan bahan api kereta keluaran kami. Ditambah dengan pasukan yang bersaing dalam keempat-empat peringkat dan telah mencatatkan perjalanan lebih 40,000km. Ini merupakan satu bukti kukuh untuk penjimatan bahan api kereta Proton kerana angka-angka tersebut diperolehi melalui pemilik kereta dan barisan media yang melalui jalan raya seperti biasa berbanding hasil dari ujian makmal yang dijalankan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong yang ditemui ketika majlis makan malam gilang-gemilang yang diadakan di Hotel Jen Puteri Harbour, Johor,

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *