Wed. Apr 24th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Pelancongan Sumbang RM84.1 Bilion Kepada Ekonomi Malaysia Dengan Ketibaan Pelancong Antarabangsa Seramai 25.8 Juta Pada 2018

2 min read

Pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion yang diperolehi daripada perbelanjaan oleh seramai 25,832,354 pelancong antarabangsa yang melawat Malaysia sepanjang tahun 2018 telah merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Walaupun terdapat sedikit penurunan dalam ketibaan pelancong antarabangsa iaitu sebanyak -0.4% berbanding pada tahun 2017, sumbangan daripada pendapatan pelancong didapati meningkat sebanyak +2.4%. Prestasi pelancongan juga telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dari segi perbelanjaan per kapita iaitu peningkatan sebanyak +2.9% kepada RM3,257, manakala Purata Tempoh Tinggal (ALOS) pula telah meningkat sebanyak +0.8 malam kepada 6.5 malam.

Sepuluh pasaran tertinggi yang menjana pelancong ke Malaysia pada tahun 2018 ialah Singapura (10,615,986), Indonesia (3,277,689), China (2,944,133), Thailand (1,914,692), Brunei (1,382,031), Korea Selatan (616,783), India (600,311), Filipina (396,062), Jepun (394,540) dan Taiwan (383,922).

Pasaran ASEAN terus mendominasi ketibaan pelancong ke Malaysia dengan syer sebanyak 70.1%, diikuti dengan pasaran jarak sederhana sebanyak 20.3% jumlah syer dan pasaran jarak jauh sebanyak 13.3% jumlah syer.

Pertumbuhan dari segi ketibaan pelancong boleh dilihat pada pasaran-pasaran seperti Asia Tengah (+81.9%), Afrika (+49.1%), Americas (+26.3%), Asia Barat (+25.3%), Asia Timur (+24.3%), Asia Selatan (+13.4%) dan Eropah (+7.8%), manakala pasaran yang telah mencatatkan penurunan pula ialah Oceania (-0.8%) dan ASEAN (-7.0%).

Secara keseluruhannya, prestasi pasaran jarak sederhana dan pasaran jarak jauh telah menunjukkan pemulihan yang sihat dengan pertumbuhan sebanyak +19.3% berbanding pada tahun 2017Oleh yang demikian, ia telah memberi impak positif kepada purata tempoh tinggal dan perbelanjaan pelancong.

Dari segi jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancong pula, rantau ASEAN kekal sebagai penyumbang terbesar dengan menyumbang sebanyak RM48.5 bilion. Sementara itu, pelancong Asia Barat telah mencatatkan perbelanjaan per kapita tertinggi iaitu sebanyak RM9,947, menyaksikan peningkatan sebanyak +6.1% berbanding RM9,378.50 pada tahun 2017.

Tiga komponen tertinggi yang telah menyumbang kepada perbelanjaan pelancong ialah membeli-belah (33.4%), penginapan (25.7%) dan makanan dan minuman (13.4%). Sekali lagi, perbelanjaan membeli-belah telah mengatasi perbelanjaan penginapan, dengan mencatatkan peningkatan dari 32.7% jumlah syer pada tahun 2017 kepada 33.4% jumlah syer pada tahun 2018.

Pasaran-pasaran yang telah menunjukkan peningkatan dalam purata tempoh tinggal termasuklah Asia Barat (9.7 malam), Eropah (8.6 malam), Asia Selatan (6.2 malam) dan Asia Timur Asia (6.1 malam).

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *