Sat. Apr 27th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

MYBHA AMAT KECEWA DENGAN KENYATAAN MENTERI

2 min read

Kami senantiasa menyambut baik dan berterima kasih terhadap usaha Kerajaan dalam membantu Pengusaha-Pengusaha Industri Pelancongan Dan Perhotelan yang telah terkesan dan terjejas akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) secara khasnya dan penularan Wabak COVID-19 secara amnya.

Walaubagaimanapun, Persatuan Hotel Budget & Bisnes Malaysia (MyBHA) yang mewakili Pengusaha-Pengusaha Hotel 3 Bintang kebawah kecewa dengan kenyataan yang kurang bertanggungjawab oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob yang telah membuat suatu kenyataan yang telah membangkitkan kemarahan dan kekecewaan Ahli-Ahli Persatuan kami yang mana telah menyebut bahawa “Kerajaan Malaysia telah tidak pernah mengarahkan Hotel ditutup sama ada dikawasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan (PKPP) dan jika ada Hotel yang tutup ianya tidak ada kena mengena dengan arahan pihak Kerajaan.”

Pihak Kerajaan harus faham maksud sebenar kenapa terdapat Hotel yang telah menutup operasinya dan/atau sedang cuba untuk memastikan perniagaan Pelancongan dan Perhotelan masing-masing dapat bertahan. Ianya adalah berpunca daripada arahan pihak Kerajaan untuk menutup sempadan negara sejak bulan Mac 2020 serta tidak membenarkan aktiviti rentas Negeri mahupun Daerah bagi aktiviti pelancongan. Kebenaran untuk menjalankan aktiviti Pelancongan yang telah diberikan bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini telah tidak menunjukkan apa-apa perkembangan positif bagi Industri Perhotelan yang mana penduduk setempat tidak perlu dan/atau tinggal di mana-mana hotel yang berhampiran dengan kediaman masing-masing.

Kami faham masalah yang dihadapi oleh pihak kerajaan dan dalam masa yang sama pihak Kerajaan harus faham masalah yang dihadapi oleh Pengusaha-Pengusaha Industri Perhotelan dan Pelancongan dan juga ingin menyeru kepada YB Menteri Kanan Pertahanan tersebut untuk mengambil langkah-langkah yang tegas dan segera dengan tidak mengabaikan atau melepas tangan dalam membantu Industri Perhotelan dan Pelancongan yang telah terjejas dengan membantu Industri Perhotelan dan Pelancongan tersebut untuk kembali bangkit dan pulih lebih awal setelah Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) ditamatkan dan Wabak COVID-19 dikawal atau dihapuskan.

Pihak Kerajaan perlu lebih prihatin kepada Industri Perhotelan dan Pelancongan dengan mengeluarkan suatu Pakej Rangsangan Khas bagi Industri Perhotelan Dan Pelancongan sahaja yang telah terjejas sebelum penularan Wabak Covid-19 di Malaysia pada akhir Tahun 2019 lagi dan ianya akan mengambil masa yang lama untuk kembali kukuh walaupun Wabak COVID-19 telah berjaya dikawal atau dihapuskan.

Bagi dan atas Pihak
Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA)

DR. SRI GANESH MICHIEL Timbalan Presiden
merangkap
Pengerusi, Biro Undang-Undang & ICT,
Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) Peringkat Nasional.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *