Wed. Apr 17th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Menteri Prihatin Terhadap Nasib Penggiat Industri Pelancongan

2 min read

INDUSTRI PELANCONGAN PERLUKAN ALTERNATIF KEPADA SEKATAN RENTAS NEGERI

Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berhubung kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri yang hanya akan dipertimbangkan jika 70 hingga 80 peratus rakyat sudah diberi vaksin Covid- 19 telah menarik perhatian YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni & Budaya apabila beliau sendiri pada hari ini mengeluarkan satu kenyataan media mengenai kebimbangan beliau terhadap nasib industri pelancongan negara.

“Saya menghormati kepakaran dan pandangan Tan Sri Noor Hisham dalam mengawal penularan wabak Covid-19 di negara kita. Namun pada masa yang sama, saya khuatir kenyataan tersebut boleh memberi impak lebih buruk kepada industri pelancongan tempatan yang sudah setahun terkesan dan terjejas teruk,” kata Nancy Shukri.

“Saya berbicara bukan sahaja tentang impak kepada ekonomi negara, tetapi juga memikirkan tentang periuk nasi dan kelangsungan hidup penggiat industri tempatan,”tambah beliau lagi.

Beliau berharap agar ada pemikiran baharu dalam cara untuk membenarkan semula gelembung perjalanan domestik dan pembukaan rentas negeri. Industri pelancongan berkait rapat dengan pergerakan manusia dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain.

Bila mana tiada pergerakan bermakna tiadalah pelancongan dan tiadalah jua aktiviti ekonomi, yang seterusnya bermakna, tiada pekerjaan dan tiada pendapatan bagi mereka yang bekerja dalam rantaian industri ini.

“Oleh itu, saya berharap untuk menemui titik pertemuan yang boleh menyeimbangkan kesejahteraan kesihatan dan ekonomi rakyat. Pendekatan baharu adalah perlu. Justeru, saya menaruh harapan dan yakin bahawa pasti ada pendekatan baharu untuk mengawal penyebaran Covid-19 selain daripada meneruskan halangan rentas negeri,” katanya lagi

Beliau turut berharap agar dalam menangani pandemik ini dan kita juga menang dalam memulihkan ekonomi negara, terutamanya industri pelancongan. MOTAC sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk mencari jalan terbaik.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *