Wed. May 8th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

MITDA, MATA & MYBHA Sokong Tindakan Menteri

3 min read

… pintu masuk sempadan negara perlu lebih mesra pelancong dan selesaikan segera isu ini sebelum imej negara tercemar.


KUALA LUMPUR : Penggiat industri pelancongan menyokong penuh tindakan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya Dato Seri Tiong King Sing, yang prihatin dan bertindak segera terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan industri pelancongan negara. Perkebangan terkini menyaksikan tiga persatuan pelancongan yang terdiri daripada Malaysia International Tourism Development Association (MITDA), Malaysia Tourism Agency Association (MATA) dan Malaysia Budget Hotel & Business Association (MYBHA) telah mengeluarkan kenyataan media menyokong penuh Menteri Pelancongan.

Dato’ Noor Zaleha Baharuddin, Presiden MITDA berkata sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing bertanggungjawab terhadap segala aspek atau isu berkaitan pelancongan negara dan menyifatkan dakwaan menteri tersebut masuk ke dewan ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah keterlaluan.

“Kami dari pengiat pelancongan Malaysia ingin mengucapkan syabas khasnya kepada Menteri Pelancongan yang telah sanggup turun padang bagi menyelesaikan isu mengenai pelancong yang ditahan oleh pihak Imigresen di KLIA. Kami sudah lebih dari 40 tahun dalam bidang pelancongan negara dan memang sudah tiba masa sesuatu tindakan memperbetulkan patut diperbaiki dengan pihak Imigresen agar imej Malaysia dapat dihormati sebagai frontliners (barisan hadapan),” katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Mohd Khalid Harun, Presiden Malaysia Tourism Agency Association (MATA), Imigresen disarankan membaiki komunikasi dengan menempatkan pegawai yang boleh bertutur dengan pelbagai bahasa bagi memudahkan urusan keluar dan masuk pelancong ke dalam negara.

“Jika perkara berkenaan menjadi satu masalah, tiba masanya pihak Imigresen menempatkan pegawai mereka yang boleh bertutur dengan pelbagai bahasa bagi memudahkan urusan berkenaan. Sebagai negara yang menjadi tumpuan pelancongan asing, kerajaan perlu menyediakan semua kemudahan termasuk jurubahasa di semua pintu masuk negara. Jangan jadikan komunikasi batu penghalang bagi pertumbuhan ekonomi negara dalam industri pelancongan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi jika perkara berkenaan masih tidak diatasi, MATA percaya pelancong akan lari ke negara lain dan sudah tentu merugikan pendapatan negara dan pemain industri pelancongan negara yang baru keluar dari kemelut wabak COVID-19. Sebagai pemain industri pelancongan negara, MATA tidak boleh menerima alasan yang mana komunikasi sebagai masalah yang timbul di antara pelancong dari China dan pegawai Imigresen seperti yang dilaporkan.

Dalam satu kenyataan media yang berasingan, Malaysia Budget Hotel & Business Association (MyBHA) menyokong tindakan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya “turun padang”, serta menyeru imigresen menyelesaikan isu yang didedahkan menteri tersebut.

Dr Sri Ganesh Michiel, Presiden MYBHA berkata langkah itu perlu diambil memandangkan industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara.

“Sebagai seorang menteri, beliau telah dipertanggungjawab untuk memastikan industri pelancongan negara pulih dan tindakan beliau merupakan suatu tindakan positif yang akan memberi suatu gambaran positif serta menaikkan tahap keyakinan pelancong asing berkunjung ke Malaysia. Kami juga menghargai dan berterima kasih di atas usaha Tiong mendengar keluhan serta isu dihadapi oleh pelancong asing di pintu masuk negara, selain usahanya memulihkan industri pelancongan negara. Kami menyeru kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk segera menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang telah terlibat dengan niat tidak baik serta keterlaluan atau bermotifkan serangan politik untuk mendedahkan perkara tersebut dalam usaha untuk mencalarkan imej serta memburukan tindakan yang telah dilakukan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia tersebut,” kata Dr Sri Ganesh Michiel.

Isu ini tercetus apabila tular di media sosial melaporkan suasana di balai ketibaan KLIA bertukar kecoh apabila seorang individu dipercayai menteri cuba membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen pada Khamis. Sehari selepas itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengakui bahawa dirinya merupakan individu yang dimaksudkan susulan kekecohan tersebut dan tampil mempersoal siapa sebenarnya yang menyalah guna kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai Imigresen bertugas.

Dalam pada itu, imigresen meminta orang ramai tidak berspekulasi tentang ‘kekecohan’ membabitkan seorang menteri yang cuba membantu seorang warga China ditahan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Ruslin Jusoh berkata pihaknya telah memulakan siasatan ke atas kejadian itu dan berkata ia akan dijalankan secara menyeluruh.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *