Mon. Apr 29th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

MALAYSIA KEKAL DESTINASI UNGGUL BAGI PELANCONG MUSLIM

2 min read

Malaysia diumumkan sebagai “Destinasi Mesra-Muslim Terbaik (OIC)” dan “Destinasi Mesra-Wanita Muslim Terbaik” oleh CrescentRating dan Mastercard semasa Majlis Halal in Travel Awards yang berlangsung di Singapura awal hari ini.

Malaysia juga disahkan telah mengekalkan kedudukan teratas dalam carta “Destinasi Mesra-Muslim Terbaik” dalam laporan “Global Muslim Travel Index (GMTI) 2023”, pada majlis yang sama. Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan yang mengukuhkan lagi kedudukan dan penjenamaan Malaysia sebagai peneraju segmen Pelancongan Islam serta Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism and Hospitality – MFTH) di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menurut YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, pelancong Muslim adalah pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dengan populasi umat Islam dianggarkan mencecah 2 bilion di seluruh dunia. Kadar pemulihan Pelancongan Islam di peringkat global juga amat memberangsangkan apabila telah mencatatkan 110 juta ketibaan pelancong Muslim pada tahun lalu, mencapai 68% prestasi prapandemik.

Malaysia turut mencatatkan prestasi membanggakan apabila berjaya menarik seramai 2.12 juta pelancong Muslim ke negara ini pada tahun lalu dengan jumlah perbelanjaan pelancong Muslim sebanyak RM5.37 bilion. Perkembangan ini menunjukkan keinginan dan kemampuan pelancong Muslim untuk menyemarakkan lagi sektor pelancongan antarabangsa negara.

Walaupun Malaysia telah secara serius meneroka dan menarik pelancong Muslim ke negara ini lebih dari sedekad yang lalu, akhir-akhir ini segmen Pelancongan Islam juga semakin mendapat perhatian destinasi-destinasi terkemuka dunia yang lain. Tahun ini, Malaysia dan Indonesia telah sama-sama dinobatkan sebagai “Destinasi Mesra-Muslim Terbaik”. Sebagai peneraju industri Pelancongan Islam, Malaysia berbesar hati menyaksikan perkembangan sektor ini yang semakin mendapat perhatian para penggiat industri pelancongan antarabangsa.

“Penghargaan ini juga memangkin semangat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama agensinya Islamic Tourism Centre (ITC) untuk mempertingkat komitmen untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang digemari pelancong Muslim. Malaysia sentiasa bersiap sedia untuk mengalu- alukan lebih ramai pelancong Muslim melalui pelbagai aktiviti, perkhidmatan dan kemudahan yang menawarkan pengalaman pelancongan yang unik, menarik dan tidak dapat dilupakan. Ini bukan sahaja bermanfaat kepada mereka yang beragama Islam, bahkan, dapat dinikmati oleh pelancong bukan Islam yang berminat untuk mengenali budaya, warisan, sejarah dan seni bina Islam di Malaysia,”kata Dato Sri Tiong King Sing.

Usahawan dan penggiat industri tempatan, tanpa mengira agama dan bangsa, digalakkan mengembangkan tawaran khidmat mesra-Muslim masing-masing sebagai satu nilai tambah (value added). Mereka juga digalakkan untuk menyertai kursus-kursus dan program di bawah ITC, antaranya, kursus Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG) yang

terbuka kepada pemandu pelancong berlesen tempatan dan program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) yang memberi peluang pengembangan perniagaan kepada rakyat Malaysia menerusi industri Pelancongan Islam yang kini berkembang pesat.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *