August 18, 2022

Santai Travel Channel

LEMBARAN BAHARU PROTON

3 min read

Semangat baharu jenama diperkenal sebagai lambang cita-cita global bagi pembuat kereta negara

KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER 2019 – PROTON hari ini menampilkan cita-citanya untuk menjadi jenama automotif moden di peringkat global dengan pengenalan logo dan slogan baharunya.

Jenama yang diberi nafas baharu ini mengetengahkan evolusi PROTON sejak ia mengumumkan kerjasama strategik di peringkat global dengan Zhejiang Geely Holding Group pada tahun 2017, satu kerjasama yang mewujudkan peningkatan berganda PROTON melibatkan prestasinya dalam segenap dimensi – dari mewujudkan minat pelanggan dengan model-model baharu sehinggalah kepada kedudukan No. 2 dari segi jualan bagi tahun ini. Pencapaian-pencapaian lain termasuklah:

● Pertumbuhan 36% dalam pasaran yang menyaksikan 5% kemerosotan dari segi jualan keseluruhan.

● Satu-satunya pengeluar utama yang mempunyai pertumbuhan dua digit pada tahun 2019.

● Lebih 102 pusat 3S dan 4S, dan jumlahnya kini semakin meningkat.

● 5 model baharu telah dilancarkan dalam tempoh 8 bulan.

Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi, PROTON Holdings Bhd berkata: “Dengan pengenalan logo baharu ini, ia turut membuka lembaran baharu terhadap perjalanan PROTON selama ini. Dipacu dengan semangat baharu, saya amat berbangga mengatakan bahawa perjalanan kami sejak dua tahun lalu telah berjaya membuktikan kemampuan kami untuk menjadi sebuah jenama automotif moden.”

Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON Holdings Bhd berkata: “Bagi kami, penjenamaan bukan sekadar logo, slogan atau warna. Ia melambangkan aspirasi PROTON; ini adalah komitmen kami kepada para pelanggan. Sebab itulah kami tidak tergesa-gesa melancarkan penjenamaan baharu ini pada permulaan perjalanan kami pada tahun 2017. Sebaliknya, kami memfokuskan segala usaha kami untuk menyelesaikan pelbagai isu pelanggan, mewujudkan produk yang lebih baik, meningkatkan rangkaian wakil penjual kami, dan membina kembali kepercayaan para pelanggan. Inilah komitmen kami dan ‘jenama’ kami.

Penjenamaan baharu PROTON dipacu oleh tiga nilai teras: teknologi inovatif, kebolehpercayaan dan antarabangsa.

Teknologi Inovatif

PROTON komited menggunapakai dan mempersiapkan produknya dengan teknologi paling inovatif yang ada, dengan melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat global dan platform Geely iNTEC yang maju. PROTON akan terus berusaha memastikan produk-produknya dilengkapi dengan teknologi terbaik; satu janji yang telah ditepati menerusi rangkaian kenderaan terbaharu PROTON yang mempunyai ciri inovatif kawalan suara “Hi, Proton” dan juga pengenalan Proton Saga sebagai kenderaan pertama berharga bawah RM40,000 yang dilengkapi dengan teknologi keselamatan standard EBD dan ABS.

Kebolehpercayaan

Komitmen PROTON terhadap kebolehpercayaan bermaksud anda boleh mengharapkan PROTON – sama ada ia melibatkan kereta Proton anda, atau perkhidmatan selepas jualan kami. PROTON ingin mencapai matlamat ini melalui peningkatan kualiti produk kami dengan mengaplikasikan piawaian global dan amalan terbaik, termasuklah melalui latihan kakitangan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik. PROTON turut bekerjasama rapat dengan rangkaian wakil penjualnya, kini dengan jumlah pusat 3S / 4S tertinggi di Malaysia (sebanyak 102 secara keseluruhan), untuk meningkatkan lagi pengalaman pelanggan PROTON.

Antarabangsa

PROTON bercita-cita untuk menjadi jenama global yang unggul, dan antara salah satu daripada tiga pengeluar automotif terbaik di rantau ASEAN. Untuk mencapai cita-cita ini, PROTON menggunapakai pandangan global untuk berjaya sebagai pengeluar automotif moden seiring dengan trend pembangunan global. PROTON akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan perniagaannya di peringkat global, memanfaatkan keupayaan rantaian bekalannya yang bertahap antarabangsa, menarik bakat di peringkat global dan menggunapakai teknologi global untuk menjadi jenama automotif global yang kompetitif.

Tambah Dr. Li: “Menerusi perkenalan logo dan slogan baharu pada hari ini, kami juga memperkenalkan semangat baharu untuk PROTON dan cita-cita untuk menjadi jenama automotif moden di peringkat global. Semangat baharu kami ini merangkumi nilai-nilai teras merangkumi penggunaan teknologi inovatif, komitmen terhadap kebolehpercayaan dan penggunaan sudut pandang antarabangsa. Ia bangkit daripada dedikasi kami terhadap pekerjaan yang dilakukan, pelanggan-pelangan sedia ada dan yang bakal diperoleh, dan semestinya warga kerja PROTON, yang berada sebalik komitmen ini.

Dato’ Sri Syed menyimpulkan: “Industri automotif moden, sebagaimana industri-industri lain hari ini, harus menggunakan pemikiran global dan antarabangsa. Kerjasama global. Rantaian bekalan global. Piawaian global. Bakat global. Inilah apa yang akan terus dilakukan oleh PROTON dan kami berbangga dengan evolusi ini, yang membawa kami ke tahap yang lebih tinggi. PROTON akan terus menghasilkan kereta terbaik yang memenuhi keperluan rakyat Malaysia, dan kami akan lakukannya sebagai sebuah syarikat global yang kompetitif.”

Logo dan Slogan Baharu

Lambang harimau yang terdapat di kereta Proton akan dikemaskini kepada sesuatu yang lebih menarik, dengan sentuhan warna silver dan penghasilan yang lebih mantap bagi mewakili jati diri Malaysia. Dengan reka bentuk yang unik, logo ini memaparkan kepala harimau yang diangkat tinggi, seperti anak panah yang melambangkan kejayaan PROTON untuk terus maju ke hadapan.

Selain logo baharu, slogan baharu PROTON ‘Inspiring Connections’ menampilkan aspirasi jenama ini untuk mengguna pakai teknologi dan mobiliti bagi mewujudkan hubungan kemanusiaan yang memberi inspirasi kejayaan dalam kehidupan.

Facebooktwitteryoutubeinstagram
Facebooktwitterredditpinterestmail

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.