Tue. Sep 28th, 2021

Santai Travel Channel

LANGKAWI SEBAGAI PROJEK RINTIS PROGRAM COVID-19 ‘FREE DESTINATION’

3 min read

17 Julai 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam usaha menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis Program COVID- 19 Free Destination bagi merealisasikan sasaran 80% populasi penduduk pulau tersebut divaksinasikan untuk mencapai tahap imuniti kelompok. Pelaksanaan ini selaras dengan 3 Fasa Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan oleh MOTAC.

Cadangan inisiatif yang dibawa oleh MOTAC untuk meningkatkan pemberian vaksin kepada penduduk Langkawi telah dipersetujui oleh pihak Kerajaan melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), MOSTI bagi meningkatkan kadar imunisasi penduduk dalam masa terdekat, seterusnya dapat merealisasikan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis bagi Program COVID-19 Free Destination.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Khairy Jamaluddin, Menteri MOSTI yang merealisasikan Program COVID-19 Free Destination di Pulau Langkawi sebagai projek rintis dan seterusnya usaha ini akan diperluaskan ke destinasi- destinasi pelancongan lain di negara ini di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Melaka dan Sabah secara berperingkat sebagai ‘green travel bubble’. YB Khairy juga memberi jaminan bahawa bekalan vaksin akan tiba pada minggu hadapan dan adalah mencukupi bagi menjayakan sasaran 80% imuniti kelompok,” YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Mengenai pemilihan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis, YB Dato’ Sri Hajah Nancy berkata strategi untuk memilih destinasi rintis adalah perlu bagi memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap keselamatan di sesuatu destinasi pelancongan negara dan sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai “testing ground” persediaan awal untuk menyemarakkan kembali industri yang telah lama terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 memandangkan pulau itu terasing (isolated). Faktor itu juga menurutnya akan memudahkan urusan pemantauan.

Destinasi rintis yang dipilih ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri seperti mempunyai rangkaian penerbangan seranta dan antarabangsa, serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.

Jumlah penduduk di Pulau Langkawi yang layak menerima vaksin adalah dianggarkan sekitar 76,400 orang daripada keseluruhan penduduk yang berjumlah 111,500 orang.

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh CITF Negeri Kedah, sehingga 12 Julai 2021, jumlah penduduk Langkawi yang telah mendaftar untuk vaksinasi adalah seramai 61,313 orang. Daripada jumlah tersebut, bilangan penerima vaksin dos pertama adalah seramai 27,362 orang manakala dos kedua seramai 20,465 orang.

“Ini bermakna hanya 30% jumlah penduduk yang mendaftar telah menerima dos lengkap. Angka ini masih rendah. Sebab itulah kita mahu memastikan usaha yang dilaksanakan hari ini dapat membantu mempercepatkan kadar pemberian vaksinasi kepada penduduk di pulau ini,” jelas YB Dato’ Sri Hajah Nancy.

Melalui kerjasama semua Jabatan/Agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri, satu

PPV Integrasi (PPVI) baharu dilancarkan pada hari ini, 17 Julai 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) dengan kapasiti penerima vaksin disasarkan seramai 3,000 orang sehari. Usaha MOTAC menerusi program ini juga adalah untuk memastikan sektor pelancongan mampu menjana semula pendapatan secara berterusan kepada negara selepas sektor ini dapat dibuka secara berperingkat.

Selain mengadakan sesi lawatan ke PPVI LICC, YB Menteri juga akan meninjau perjalanan proses pemberian vaksin di dua PPV awam sedia ada iaitu Klinik Kesihatan Padang Mat Sirat dan Dewan Badminton Kompleks Sukan LADA.

Pada masa yang sama, YB Menteri MOTAC juga turut mengadakan sesi libat urus bersama wakil-wakil persatuan berkaitan pelancongan di Pulau Langkawi secara dalam talian.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Hajah Nancy optimis sektor pelancongan dan kebudayaan secara keseluruhan dapat dipulihkan kembali mengikut sasaran pada bulan November ini atau lebih awal mengikut Pelan Pemulihan Negara fasa ke empat sekiranya rakyat terus mematuhi SOP dan situasi semasa COVID-19 berada pada tahap yang tidak membimbangkan.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat khususnya penduduk di Pulau Langkawi untuk sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan dan menepati temujanji vaksinasi agar sasaran 80% imuniti kelompok di pulau tersebut dapat dicapai seterusnya dapat kembali menjadi destinasi utama pelancongan Malaysia di mata dunia.

“Marilah kita bersama-sama menyumbang kepada usaha menangani pandemik ini dengan lebih berkesan agar kita dapat keluar daripada kemelut ini. Menerusi usaha ini juga, kita berharap aktiviti ekonomi utama iaitu pelancongan di Pulau Langkawi dapat berjalan seperti sedia kala bagi memastikan kebajikan dan pendapatan rakyat dapat dijana semula. Ayuh kita berganding bahu membantu Kerajaan menjayakan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19: Rindu Melancong, Jom Vaksin Dulu,” tambah Dato’ Sri Hajah Nancy.

Facebooktwitterredditpinterestmail
Facebooktwitteryoutubeinstagram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.