Fri. Apr 26th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

KEGEMILANGAN DUA DEKAD TOURISM SELANGOR DI PERSADA PELANCONGAN NEGARA

4 min read


 Sambutan Ulang-Tahun Penubuhan Tourism Selangor yang Ke-20 Dilancar Meriah secara Maya menerusi sesi“Tourism Selangor’s LiveTalk – Episod 2”

SHAH ALAM, 14 Julai, 2021 – Mengenang semula tempoh dua dekad yang gemilang, pada awal penubuhannya, Tourism Selangor telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965. Pada 24 Februari 1994, ianya telah didaftarkan sebagai syarikat persendirian dan nama terdahulu, PNSB Realty Sdn. Bhd. telah secara rasmi ditukarkan kepada Tourism Selangor Sdn Bhd (Tourism Selangor) pada 14 Julai 2001. 

Pada bulan Oktober tahun yang sama, Tourism Selangor telah dirasmikan oleh Y.A.B. Menteri Besar Selangor pada ketika itu. Tourism Selangor merupakan sebuah anak syarikat Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) sehingga tahun 2008 dan selepas itu telah berpindah milik kepada Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) hingga ke hari ini.

Tourism Selangor telah meraikan ulang-tahun penubuhannya yang ke-20 pada 14 Julai secara maya menerusi “Tourism Selangor’s LiveTalk – Episod 2” yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Tourism Selangor. Sesi LiveTalk tersebut turut melibatkan barisan panelis; Tuan Azrul Shah Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor dan Tuan Syed Mohd Fariz bin Syed Mansor Al Idrus, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Selangor.

Sambutan ulangtahun ini bukan sekadar sebagai sinonim sambutan tradisi, namun juga untuk menghargai dan memperlihatkan peranan, tanggungjawab dan pencapaian Tourism Selangor selaku Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor sepanjang dua dekad ini. 

Dalam sesi sama, Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor turut menyampaikan amanat beliau menerusi penyiaran sebuah klip ekslusif. “Sepanjang tempoh dua dekad usaha yang dipergiat oleh pihak Tourism Selangor dengan menjejaki kawasan pelancongan baharu serta mempromosikan tempat pelancongan menarik dengan kepelbagaian kebudayaan serta kualiti yang dimiliki Negeri ini, Negeri Selangor telah berjaya menarik lebih 30 juta orang pelancong pada tahun 2019”.

“Ianya sekaligus membawa kesan ekonomi serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan di Negeri ini. Covid-19 memberi kesan yang sangat parah kepada industri ini. Namun, Negeri Selangor mempunyai pelan serta perancangan sebagaimana yang terkandung dalam Pelan Kita Selangor 1 dan Pelan Kita Selangor 2.0; di mana Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah bantuan kewangan menerusi Pelan yang komprehensif bagi menarik pelancong ke Negeri ini. Justeru sempena ulang-tahun ke-20, semoga kita terus kekal berusaha mendepani segala cabaran untuk kembali menjadikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan terkemuka dan terbaik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. Selamat ulang-tahun yang ke 20, Tourism Selangor”, tambah Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Shari.

Manakala, Y.B. Tuan Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor dalam satu kenyataan berkata, “Selama dua dekad, Tourism Selangor terus menjadi sandaran Kerajaan Negeri Selangor, serta turut dipertanggungjawabkan dalam memacu industri pelancongan Negeri ini. Saya berharap, pihak Tourism Selangor akan menjadi tulang belakang kepada para penggiat industri di Negeri Selangor serta terus peka kepada kehendak industri dari masa ke masa”.

Menerajui Tourism Selangor bermula dari 1 Januari 2020 sehingga kini, Tuan Azrul Shah Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor berkata, “Saya percaya, ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk sampai ke tanda aras atau ‘bench-mark’ ini. 20 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Tentunya pelbagai cabaran, rintangan serta momen suka dan duka telah dilalui oleh setiap pihak yang pernah mengemudi atau berkhidmat dengan Tourism Selangor”.

“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang pernah terlibat dengan pihak Tourism Selangor secara langsung atau tidak langsung selama 20 tahun ini. Tidak dilupa juga kepada para Media yang sentiasa memberikan sokongan kepada inisiatif promosi pelancongan Tourism Selangor, Agensi Kerajaan dan Swasta yang tidak putus menzahirkan sokongan kepada program dan Acara anjuran pihak Tourism Selangor, dan seterusnya orang awam yang sentiasa menjadikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan pilihan utama mereka”, tambah Tuan Azrul Shah.

Segmen Istimewa – Momen Terindah Wargakerja Tourism Selangor

Encik Zolkafli bin Abdul, Eksekutif Pembangunan Produk dan Pakej sudah berkhidmat dengan Tourism Selangor selama 20 tahun, seiring ulang-tahun penubuhannya. “Saya bersyukur pernah diamanahkan bertugas menjadi seorang penyelia di Chongkak Park & Resort seliaan pihak Tourism Selangor, yang memberikan peluang yang amat bermanfaat buat saya untuk mencari pengalaman menguruskan satu kawasan yang luas dan memerlukan pemantauan yang teliti”. 

Seterusnya, Encik Zaimi Shari, Penolong Pengurus Jabatan Pemegang Taruh & Hal Ehwal Kerajaan di Tourism Selangor yang juga telah berkhidmat selama 20 tahun berkata, “Saya ingin berterima kasih kepada Tuan Pengurus Besar dan kakitangan yang telah banyak membantu dan memberi tunjuk ajar yang tidak ternilai kepada saya. Saya juga mengucapkan sekalung tahniah atas pencapaian membanggakan Tourism Selangor selama 20 tahun ini”. 

Puan Khuzaimah Binti Jamaluddin, Pengurus Promosi, Tourism Selangor yang telah berkhidmat selama hampir 13 tahun dalam ucapannya pula berkata, “Sempena ulang-tahun Tourism Selangor yang ke-20, secara peribadi saya ingin katakan, saya sayang Tourism Selangor. Tourism Selangor selalu di hati saya dan semoga Tourism Selangor akan terus teguh dan kekal menjadi sebuah Agensi yang mampu menjadikan pelancongan sebagai satu agenda penting di Negeri Selangor”.

Dalam masa sama, Puan Rohaida binti Salamat, Eksekutif Komunikasi Korporat turut berkongsi kenangan manisnya selama bekerja di Tourism Selangor untuk tempoh 19 tahun sehingga kini. Beliau pernah ditugaskan di Jabatan Pelancongan dan berpeluang membawa Y.B. EXCO Pelancongan ketika itu bersama delegasi usahawan Negeri Selangor ke Bandar Yiwu, China pada tahun 2011.

Sambutan ulang-tahun penubuhan Tourism Selangor yang ke-20 ini tetap meriah walaupun diadakan secara atas talian; seiring dengan norma baharu. Dalam sesi LiveTalk pada Rabu, turut dilancarkan sebuah lagu korporat rasmi Tourism Selangor yang buat pertama kalinya diperdengarkan kepada umum.

Kekal berintegriti dan berdedikasi dalam meneruskan legasi kecemerlangan selama dua dekad ini pada tahun-tahun mendatang; Tourism Selangor mengatur pelbagai inisiatif promosi pelancongan, khususnya sempena penganjuran Kempen Pelancongan Domestik; Pusing Selangor Dulu, bagi membangunkan semula industri ini pasca pandemik Covid-19.

Antara yang dirangka adalah penganjuran Acara dan Program pelancongan secara fizikal mahu pun atas talian mengikut kepada garis panduan semasa, pemerkasaan landasan digital ke arah “Tourism 4.0” atau pendigitalan pelancongan, penglibatan dalam sesi perbincangan secara kerap bersama Agensi Kerajaan dan para penggiat industri, serta  mempergiat Kempen Pengiklanan melaui media massa, atas talian, elektronik, dan pengiklanan digital bertumpu di laman sesawang dan pelayar utama.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *