Sat. May 4th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

LALUAN BARU BATIK AIR KUALA LUMPUR KE JEDDAH RANCAKKAN LAGI SEKTOR PELANCONGAN NEGARA

2 min read



KUALA LUMPUR : Pembukaan laluan penerbangan Batik Air yang baru Kuala Lumpur – Jeddah – Kuala Lumpur dilihat mampu merancakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan di kedua negara menerusi pakej Umrah dan  pakej pelancongan ke Malaysia.

Menurut YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Jeddah adalah laluan pilihan yang paling utama bagi mereka yang ingin mengerjakan ibadah umrah atau pun haji. Permintaan yang tinggi bagi laluan tersebut sesungguhnya memberikan banyak peluang kepada agensi-agensi pelancongan tempatan untuk memasarkan pakej-pakej umrah pada kadar harga yang berpatutan.

“Penerbangan pertama bagi laluan baru ini akan bermula pada 16 Ogos 2023, tidak lama lagi. Semoga ianya berjalan lancar seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Lagipun Batik Air adalah syarikat penerbangan yang telah lama beroperasi dan mempunyai rekod yang baik selama ini. Jadi, saya kira pihak Batik Air telah melaksanakan tugas mereka dengan menyediakan perkhidmatan penerbangan terus ini kepada rakyat kita di Malaysia,” katanya ketika  menyempurnakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara D-Nexus Holidays, Kirim Bersatu dan Batik Air bagi laluan Kuala Lumpur – Jeddah – Kuala Lumpur di Dewan Sri Utama 2, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah  YB Datuk Haji Hasbi Hasbibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan, YBrs. Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, YBrs. Encik Monaharan Periasamy, Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Tuan Haji Mohamad bin Minhat, Ketua Pegawai Eksekutif D-Nexus Holidays, YBhg. Prof. Datuk Azlie Halim, Timbalan Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA), YBrs. Encik Mohd Azry Mohamad, Pengarah Kirim Bersatu dan wakil- wakil dari agensi pelancongan lain.

Majlis diadakan sebagai tanda persefahaman dan kerjasama teguh antara kementerian dengan syarikat yang terlibat terutamanya dalam industri Umrah. Sehingga Mac 2023, seramai 300,000 jemaah umrah dari Malaysia telah berlepas dan jumlahnya dijangka akan semakin meningkat.

Menurut  YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, MOTAC juga mengalu-alukan usaha untuk membawa pelancong dari Arab Saudi ke Malaysia terutamanya apabila pelancongan halal semakin meraih sambutan hangat di peringkat global.
“Di peringkat kerajaan, MOTAC sentiasa memastikan sektor ini maju dan berdaya saing dalam memenuhi corak permintaan pelancong domestik dan antarabangsa. MOTAC juga sentiasa membantu dan bekerjasama untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah umrah Malaysia. Di sini menunjukkan bahawa penerbangan dan pakej yang disediakan oleh pengusaha pelancongan di Malaysia adalah terbaik dan mampu bayar oleh mereka. Saya percaya, Batik Air dan D-Nexus Holidays ada keupayaan ini, “ tambahnya lagi.

Untuk maklumat lanjut berhubung tempahan tiket penerbangan dan pakej Umrah sila hubungi D-Nexus Holidays di talian 017-5529729 atau 03-42870222.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *