Sat. May 4th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Penggiat Industri Hargai Prestasi Cemerlang Tourism Malaysia Di Persada Antarabangsa

3 min read

KUALA LUMPUR : Kemelut yang berlaku antara Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) dan YB Menteri mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penggiat industri pelancongan. Situasi ini tidak seharusnya berterusan sehinggakan ia menjejaskan imej dan reputasi industri pelancongan negara.

Menurut Zahira Tahir, yang merupakan pengusaha agensi pelancongan tempatan, peranan Tourism Malaysia terbukti berjaya dalam mengangkat nama Malaysia sebagai antara negara yang disegani dalam dunia pelancongan.

“ Sejak 24 tahun kami menjalankan operasi perniagaan agensi pelancongan inbound kami telah membawa ramai pelancong ke Malaysia.  Dengan menyertai pelbagai pameran dan roadshow yang  dikelolakan Tourism Malaysia kita telah berjaya menambat hati pelancong luar ke Malaysia. Dan usaha ini berterusan sejak dahulu lagi dan diuruskan secara profesional,” jelas Zahira.

Selepas pandemik, Tourism Malaysia  telah melakukan beberapa siri libat urus dengan pemain industri sama ada di dalam dan luar negara. Program  bagi mengembalikan keyakinan pelancong menerusi pelan pemulihan pelancongan telah diadakn melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dengan melibatkan kerjasama penggiat-penggiat industri pelancongan negara.

Antarannya adalah kerjasama TM, MAH dan e-market platform untuk mempromosikan pakej-pakej penginapan bagi menggalakan pelancongan domestik dan membantu hotel-hotel di bandar yang terkesan teruk akibat penularan Covid-19. Begitu juga dengan kerjasama dengan MyBHA bagi hotel bajet (3 bintang ke bawah) yang terpilih dan aktif mengikut negeri dan keutamaan melalui kempen ‘Jom Nginap’ dan ‘Malaysia Welcomes You’.

Tourism Malaysia juga telah menjalin kerjasama dengan penggiat industri melalui segmen perkhidmatan, pengangkutan dan syarikat swasta iaitu Prasarana bagi menggalakkan pergerakan inter dan intra di kalangan pelancong domestik dan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Kami yang berada di dalam industri ini sentiasa memberikan maklum balas kami tentang realiti, dan kami menghargai Tourism Malaysia kerana melibatkan kami dalam beberapa sesi libat urus  dan mendengar rungutan kami. Isunya bukan dengan Tourism Malaysia , tetapi semua agensi berkaitan yang telah menyukarkan pelancongan ke Malaysia. Antara isunya adalah masalah kelancaran di pintu sempadan negara seperti urusan Imigresen, pengangkutan serta Pengurusan Lapangan Terbang. Isu  utama adalah pemprosesan Visa / E-Visa serta keadaan lapangan terbang yang  huru-hara  khususnya ketika waktu puncak dan kemudahan asas yang rosak,” katanya.

“Mempromosikan produk pelancongan yang salah di pasaran yang salah hanya untuk menggembirakan menteri atau pihak tertentu tanpa mengetahui realiti yang sebenar. Contohnya, mempromosikan Borneo di pasaran Timur Tengah atau India apabila kita tahu cabaran sebenar adalah kemudahan penerbangan, penerbangan yang panjang, kos dan infrastruktur seperti restoran India atau Arab adalah terhad. Banyak pertimbangan mesti diambil sebelum mempromosikan produk. Adakah produk atau destinasi setanding dengan standard  Antarabangsa ? Ketersambungan dan Kos Penerbangan, Infrastruktur Jalan, Ketersediaan Penginapan, Restoran, Pemandu Pelancong serta protokol lain.  Adakah lebih  baik untuk mempromosikan produk baharu di pasaran baharu hanya kerana kita “merasakan” produk itu bagus dan akhirnya  kita mesti mempromosikannya ke seluruh dunia? Ia adalah pendekatan yang salah. Kami memerlukan Produk atau Destinasi yang Tepat untuk Pasaran yang tepat,”

“Untuk itu kita perlu belajar untuk memberi keutamaan! Produk mesti dijual dengan mengenal pasti pelanggan yang betul dengan melakukan penyelidikan. Untuk melakukan penyelidikan, MOTAC mesti melibatkan diri dengan penggiat industri termasuk agensi pelancongan dan syarikat profesional. Daripada menyerang dan berkonflik secara dalaman, cubalah berbincang dengan penggiat industri dan bukan setakat persatuan pelancongan sahaja”.

Apa yang konflik antara kakitangan dan Menteri akan merugikan industri pelancongan. Ini bukan masa untuk mencari salah siapa, tetapi perbetulkan apa yang tidak betul dan berbincanglah  secara harmoni. Mudah-mudahan industri pelancongan kita akan terus maju pada masa akan datang.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *