Sun. May 5th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Jom Hayati Tradisi Bidayuh Di Festival Bung Bratak

2 min read

Seni dan Budaya sesungguhnya menjadi aset penting dalam merancakkan industri pelancongan negara. Justeru, bagi merakyatkan seni dan budaya khususnya di negeri Sarawak, Festival Bung Bratak telah diangkat sebagai salah satu produk pelancongan budaya negara.

Festival yang akan bermula dari  2 – 3 September 2023 di Pusat Warisan Bung Bratak, Kampung Tembawang Sauh, Bau Sarawak itu bakal  memberi ruang kepada masyarakat luar bandar sama-sama menghayati aspirasi seni dan budaya Malaysia.

Pusat Warisan Bung Bratak merupakan kampung asal bagi masyarakat Bidayuh yang berada di Bau, Sarawak. Ia berada di atas bukit bersesuaian dengan keadaan masyarakat Bidayuh itu sendiri yang memang menjadikan kawasan tinggi sebagai tempat tinggal mereka.

Oleh itu, Program Merakyatkan Seni (PMS) yang akan dilaksanakan adalah untuk menjadikan Bung Bratak sebagai salah satu produk pelancongan sekaligus memperkenalkan kesenian dan kebudayaan yang berada di kampung-kampung yang berdekatan. Sebagai program untuk merakyatkan seni dan budaya, acara ini menjadi platform bagi mendekatkan masyarakat dengan pemimpin menerusi pengisian-pengisian program seperti jualan produk tempatan berbentuk jualan makanan tradisi, demonstrasi, pameran dan jualan kraftangan, persembahan kesenian tempatan, bengkel produk kesenian, gotong-royong masakan tradisional Bidayuh, demonstrasi permainan tradisional etnik Bidayuh dan “Nyikuh Bung Bratak” iaitu acara larian mendaki Bung Bratak dengan berpakaian tradisional Bidayuh.

Apa yang pasti, program ini bertepatan dengan objektif penganjurannya iaitu untuk memupuk nilai-nilai murni dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat sebagai usaha memelihara dan mengekalkan warisan seni budaya setempat.

Menerusi program ini juga, ia dapat mengetengahkan kembali aktiviti budaya warisan seperti gotong-royong, kerjasama, adat istiadat, permainan tradisional dan persembahan kesenian tradisional kepada masyarakat.

Orang ramai dijemput untuk sama-sama memeriahkan Festival Merakyatkan Seni Budaya Festival Bung Bratak 2023 pada 2 hingga 3 September 2023 (Sabtu-Ahad) bertempat di Pusat Warisan Bung Bratak, Kampung Tembawang Sauh, Bau.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *