Sun. May 5th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Warisan Komuniti Bidayuh di Sarawak Beri Impak Kepada Ekonomi Tempatan

2 min read

YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mewakili YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merasmikan Majlis Perasmian Program Merakyatkan Seni Budaya, Festival Bung Bratak pada 3 September 2023 di Pusat Warisan Bung Bratak, Bau, Kuching, Sarawak.

Bung Bratak merupakan pusat tapak bina untuk mengekalkan warisan komuniti Bidayuh di Sarawak yang memberi impak kepada ekonomi tempatan.

Antara pengisian menarik yang telah diatur sepanjang dua hari program ialah Demonstrasi Permainan Tradisional Etnik Bidayuh, Acara Larian Mendaki Bung Bratak “Nyikoh Bung Bratak” berpakaian etnik Bidayuh dan gotong-royong masakan tradisional Bidayuh.

Selain itu, turut diadakan juga adalah jualan produk tempatan, bengkel produk kesenian dan pameran serta jualan produk kraftangan tempatan. Dalam majlis yang sama turut diadakan penyampaian sumbangan kepada Persatuan Warisan Bung Bratak iaitu 20 pasang baju tarian tradisional Bidayuh.

MOTAC menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM47,250.00 bagi tahun 2023 melalui Insentif Seni Kewangan kepada 6 persatuan seni budaya di Sarawak. MOTAC juga telah mengambil inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC iaitu melalui pemberian Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) kepada pemain-pemain Industri Seni Budaya. Sebanyak 21 persatuan di negeri Sarawak telah menerima pemberian geran dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM1,480,000.00.

MOTAC akan terus komited memberi perhatian kepada kawasan-kawasan dan tempat-tempat yang mempunyai nilai dan daya tarikan pelancongan yang tinggi untuk dipromosikan sebagai produk pelancongan seni budaya yang baharu. Misalnya, Pusat Warisan Bung Bratak yang telah menerima peruntukan sebanyak RM8 juta di bawah RMK-11 bagi pembinaannya yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan Sarawak secara keseluruhannya.

Turut hadir, YB Encik Billy Anak Sujang, Ahli Dewan Undangan Negeri Opar, YBrs. Encik Banges Munga, Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak, YBhg. Datu Sherrina binti Hussaini, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Persembahan Negeri Sarawak, YBrs. Encik Rosnan bin Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya JKKN, YBrs. Encik Constatine Gerald David Anak Jonas, Pegawai Daerah Bau dan YBrs. Encik Rayan Narong, Timbalan Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *