Sat. Jul 27th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Gotong Royong Bina Semula Pelancongan

4 min read

oleh | Azlie Halim

Jumlah ke baharu Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini bagaikan mimpi ngeri buat negara khususnya sektor pelancongan.  Perlaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) turut menjadi hambatan kepada penggiat industri pelancongan yang baru sahaja ingin menarik nafas lega pada penghujung tahun lalu. Apa yang pasti pelancongan adalah satu industri yang melibatkan pergerakan dan penghayatan terhadap destinasi yang dikunjungi. Tanpa pergerakan maka konsep pelancongan tdak sempurna dan tidak berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi yang memberikan manfaat kepada penggiat sektor pelancongan.

Meskipun terpaksa bertarung dengan pelbagai cabaran yang menggugat industri pelancongan negara sepanjang pendemik Covid 19 ini melanda dunia , namun dengan usaha gigih dengan penglibatan semua pihak sangat penting dalam menentukan masa depan pelancongan negara.

TUGAS BERSAMA
Tugas membina semua industri pelancongan ini adalah tugas semua pihak. Tugas ini bukan hanya terletak kepada pihak kerajaan sahaja atau agensi yang berkaitan sahaja. Kini tiba masanya penggiat pelancongan untuk memainkan peranan masing-masing sebagai penggerak industri pelancongan negara sekali gus melakukan transformasi pelancongan yang mampan. Bagi yang telah melakukan ‘transformasi’, tahniah diucapkan dan teruskan lagi usaha murni anda itu sehingga berjaya. Bagi yang masih tercari-cari hala tuju, carilah jalan bijak bagi menongkah arus semasa industri pelancongan. 

Tatkala pihak kerajaan sibuk merancang pelbagai strategi untuk membina semula industri pelancongan negara yang  terjejas teruk akibat pendemik Covid-19,  adakah kita sebagai penggiat industri pelancongan telah bersedia dengan produk pelancongan yang berinovasi ? Adakah kita sudah bersedia dengan perancangan yang strategik dalam menarik kunjungan pelancong? Adakah kita berupaya memberikan khidmat yang terbaik bagi memenuhi citarasa pelancong? Jawapannya terletak kepada diri kita sendiri. Apa yang pasti sebagai penggiat industri pelancongan yang bertanggungjawab, kita harus lebih kreatif dan proaktif dalam mempromosikan produk pelancongan negara kita.

Kreatif dalam erti kata kita harus lebih bersedia bersaing secara sihat dengan produk-produk pelancongan dari luar negara yang semakin mendapat tempat di hati pelancong.

INISIATIF KERAJAAN

Pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai prasarana bagi menyokong industri pelancongan negara. Tidak cukup dengan itu pelbagai agensi kerajaan telah diwujudkan bagi memperkasakan lagi industri pelancongan negara.  Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya khususnya telah memperkenalkan pelbagai inisiatif  termasuk peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta dalam Pelan Pemulihan Pelancongan 2021, seperti baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, potongan pakej perjalanan keluarga dan kempen “Meet in Malaysia”.
Sebelum ini Kerajaan juga telah mengumumkan pelbagai peruntukan dalam  Belanjawan 2021, seperti RM50 juta untuk penempatan semula dan penempatan semula 8,000 bekas pekerja penerbangan; 500 peruntukan pekerjaan baru untuk Orang Asli berfungsi sebagai pemandu pelancong dalam semua taman negara, untuk membantu ekopelancongan ; Bajet RM50 juta untuk penyelenggaraan di kawasan tumpuan pelancong ; RM20 juta untuk promosi Desa Budaya di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan ; RM10 juta untuk pemeliharaan bangunan warisan dan banyak lagi.

Baru-baru ini Perdana Menteri juga telah melancarkan program bantuan kewangan baru, PERMAI, bernilai RM15 bilion termasuk lanjutan moratorium pinjaman daripada bank, geran RM500 sekali untuk 14,000 pemandu pelancong,  Potongan harga elektrik sebanyak 10% dari Jan-Mar 2021 untuk 6 sektor perniagaan termasuk pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pelancongan dan pelancongan. 

HARAPAN MASIH ADA
Sektor pelancongan masih mempunyai masa depan yang cerah jika semua pihak berganding bahu dan terus yakin serta bersemangat meneruskan perjuangan membina industri pelancongan.

Kita sudah tidak mempunyai banyak masa untuk tunggu dan lihat lagi. Persatuan dan pertubuhan berkaitan sektor pelancongan seperti MTC, MATTA, MAH, MyBHA, MAHO, PAPUH dan sebagainya harus tampil segera dengan idea dan usaha yang lebih kreatif dalam mempromosikan produk pelancongan kita. Pertelingkahan atau ‘perang dingin’ dalam kalangan penggiat industri pelancongan, NGO Pelancongan mahupun agensi-agensi berkaitan pelancongan harus dihentikan segera demi masa depan industri pelancongan negara. Sikap menunding jari dan mementingkan diri sendiri harus kita singkirkan kerana ia mungkin  akan menjadi virus yang lebih berbahaya daripada Covid 19 dalam memusnahkan industri pelancongan negara.

Penggiat industri  pelancongan perlu lebih proaktif dan agresif dalam mempromosi acara atau produk pelancongan dalam usaha kita menarik lebih ramai pelancong datang ke negara  ini.  Selain itu pengusaha produk pelancongan tidak harus  terlalu kecewa dengan apa yang berlaku pada hari ini sehingga melupakan kebahagiaan hari esok. Langit tidak selalunya cerah dan kehidupan harus diteruskan. 

 Justeru saya berharap semua penggiat pelancongan harus segera  menambah nilai mutu perkhidmatan serta pakej pelancongan yang disediakan agar ia lebih menarik, komprehensif dan kompetitif.

Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing secara sempurna,  industri pelancongan negara mampu pulih dengan cepat dan  menjadi penyumbang utama ekonomi negara.

Konsep gotong royong yang menjadi amalan dalam masyarakat kita sejak dahulu lagi harus kita terjemahkan dalam sektor pelancongan ini. Gotong royong dalam membina semula sektor pelancongan dengan penglibatan semua pihak tidak kira pihak kerajaan, swasta mahupun individu harus menjadi teras kepada kelangsungan industri pelancongan negara. 

Ingatlah bahawa sektor ini bukan sahaja membawa rahmat buat penggiat pelancongan sahaja malah ‘rahmatnya’ turut dinikmati oleh pelbagai sektor lain umpamanya seperti sektor lain  pengangkutan, peruncitan dan banyak lagi. 

Datuk Azlie Halim
Presiden Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia
Naib Presiden Majlis Pelancongan Malaysia
Adjunct Fellow Universiti Utara Malaysia
CEO Santai Travel Media

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *