Fri. Apr 19th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Pelarian Syria, Harapan Masih Ada 

4 min read


Turki, sebuah negara yang menyimpan khazanah silam dan kaya dengan peradaban Islam sememangnya mempunyai semangat persaudaraan yang tinggi. Manakan tidak, sehingga kini dianggarkan kira-kira 3.7 juta pelarian Syria menempati negara yang terkenal dengan kawasan pelancongan itu. Prinsip ansar-muhajirin yang didokong Turki membuatkan ia menerima jumlah pelarian yang paling ramai berbanding negara-negara jiran yang lain.

Sejak krisis peperangan di Syria yang bermula pada Mac 2011, dilaporkan 6.5 juta rakyat Syria telah melarikan diri dan berlindung di beberapa buah negara terdekat termasuk Turki, Jordan, Iraq, Lubnan, dan Mesir. Ada juga yang menjadi pelarian di bahagian utara Afrika dan Eropah. Manakala, jumlah pelarian di dalam negara (IDPs) semakin meningkat apabila mencatat angka sebanyak 6.1 juta orang.

Bermula saat itu, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa mula menghulurkan bantuan buat mereka yang terkesan dan memerlukan bantuan kemanusiaan termasuklah Islamic Relief. Islamic Relief telah bertindak memberi respon kepada krisis di Syria sejak tahun 2011 di kawasan sempadan untuk membantu mereka yang terperangkap dalam konflik keganasan dan pada 2012, Islamic Relief mengorak langkah beroperasi di dalam Syria bagi meluaskan bantuan kemanusiaan di beberapa kawasan.

Saban tahun sejak 2012 sehingga 2019, Islamic Relief memperuntukkan lebih RM162 juta setiap tahun untuk bantuan kemanusiaan di dalam Syria dan juga di Turki merangkumi bantuan makanan, kehidupan mampan, kesihatan, air & sanitasi, tempat perlindungan & barangan bukan makanan serta pendidikan & kebajikan kanak-kanak.

Awal tahun 2020, Islamic Relief di Malaysia telah menghantar skuad ‘Sisterhood Winter Mission’ bagi menggalas misi bantuan musim sejuk buat pelarian-pelarian Syria yang berada di Turki. Misi yang disertai oleh tiga kakitangan Islamic Relief Malaysia serta seorang Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia iaitu Irma Hasmie berada di Turki selama enam hari bagi menyampaikan amanah para penyumbang di Malaysia yang telah dikumpulkan sejak Oktober 2019 menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk. 

Ketua Bahagian Operasi Islamic Relief Malaysia merangkap ketua pasukan ‘Sisterhood Winter Mission’, Siti Fadilah Mohd Hood berkata objektif misi tersebut adalah untuk melihat sendiri keadaan pelarian Syria yang disantuni, memantau pelaksanaan projek-projek bantuan Islamic Relief kepada pelarian Syria, memberi pendedahan kepada Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia mengenai operasi pejabat lapangan Islamic Relief, serta berkongsi keadaan dan keperluan semasa di lapangan kepada penyumbang.

“Sewaktu misi berlangsung, konflik di Syria telahpun memasuki tahun ke-9. Justeru, emosi para pelarian yang kami lihat di Turki ketika itu sedikit tenang berbanding pada fasa permulaan konflik. Kebanyakan pelarian tinggal di dalam kem yang diurus dan diselenggara oleh pihak berkuasa Turki tetapi sebahagian yang lain menetap di luar kem seperti rumah-rumah atau pusat tumpangan yang disewa. Memandangkan mereka tidak mampu untuk membayar sewa yang tinggi, maka kebanyakan keluarga memilih untuk tinggal di rumah yang daif.

“Ada juga di kalangan pelarian terutama ibu tunggal yang mengalami tekanan akibat kesempitan hidup dan kerisauan melampau kerana bimbang akan keselamatan ahli keluarga yang masih berada di dalam Syria. Bilangan anak yatim pula semakin bertambah dan keperluan terhadap rawatan perubatan juga meningkat,” jelas Fadilah lagi.

Dalam apa jua krisis kemanusiaan yang berlaku, golongan yang paling teruk terjejas semestinya wanita, kanak-kanak dan warga emas. Begitu juga dengan pelarian-pelarian yang berada di Turki. Kebanyakan golongan wanita terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga tanpa kehadiran suami di sisi. Anak-anak pula menghadapi cabaran dalam menuntut ilmu akibat jurang bahasa dan kos pendidikan yang tinggi. Paling membimbangkan, warga emas berhadapan ancaman maut disebabkan masalah kesihatan dan bebanan kos rawatan yang tinggi. Keadaan keperluan para pelarian semakin mendesak lebih-lebih lagi di musim sejuk. 

“Melihat kepada situasi tersebut, Islamic Relief merangka pelbagai program bersifat jangka masa panjang bagi membolehkan para wanita terutama ibu tunggal dapat berdikari dan menjana pendapatan agar dapat menguruskan keluarga dengan lebih baik dan selesa. 

“Antara projek-projek bantuan yang dijalankan adalah projek perlindungan bagi memastikan mereka mendapat tempat perlindungan yang selamat dan juga projek kehidupan mampan seperti latihan kemahiran menjahit, membuat kraf tangan dan modal perniagaan untuk menjana pendapatan seterusnya memastikan kebajikan dan masa depan keluarga terjamin. Bagi anak-anak yatim pula, mereka diberi bantuan penajaan meliputi aspek pendidikan, kesihatan, sosial dan kemahiran,” tambahnya lagi.

Dalam misi bantuan musim sejuk itu, tim ‘Sisterhood Winter Mission’ berpeluang untuk melihat pelaksanaan projek bantuan musim sejuk menerusi agihan baucer sebanyak 500TL seorang dan berpeluang membantu para pelarian membeli barangan keperluan musim sejuk mereka di kedai pakaian terpilih.

Tim misi juga mendapat peluang menziarahi golongan ibu tunggal dan anak-anak yatim di Sham Society for Orphans dan pusat jagaan Dar el-Salam di Gaziantep, Turki. 

Bagi meneruskan bantuan pada tahun 2021, Islamic Relief Malaysia sememangnya merangka pelan bantuan menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk bagi membantu para pelarian di Syria khususnya di kawasan Aleppo dan Idlib dan golongan rentan di Yaman merangkumi lima wilayah iaitu Sana’a, Taiz, Amran, Dhamar dan Sa’ada. 

Dengan sasaran dana sebanyak RM400,000, kempen yang telah bermula sejak November 2020 diharap dapat membuka hati dan menyatukan rakyat Malaysia agar prihatin terhadap situasi sukar yang dihadapi saudara-saudara kita di negara lain.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Islamic Relief Malaysia, 5621 4270 8704 (Maybank), 8602 0738 18 (CIMB Islamic), atau 1202 9010 0656 43 (Bank Islam) dengan kod rujukan; Rayuan Musim Sejuk.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *