Fri. Apr 26th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Covid-19 : Tourism Malaysia Medan Rangka Strategi Promosi Pelancongan

2 min read

Wabak Covid 19 yang melanda dunia ketika ini bukanlah alasan untuk usaha promosi pelancongan terhenti. Malah inilah masa yang paling sesuai untuk merancang strategi promosi dan pemasaran pelancongan dengan lebih produktif pada masa akan datang.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Medan Indonesia, Hishamuddin Mustafa, pihaknya sentiasa berusaha mencari pendekatan yang terbaik dalam memastikan promosi pelancongan khususnya bagi pasaran Sumatera, Indonesia sentiasa proaktif.

“ Bagi memastikan Malaysia menjadi pilihan utama pelancong khususnya dari Sumatera Indonesia, kita harus lebih kreatif dalam merangka jalinan kerjasama strategik pemasaran produk pelancongan. Penggiat industri pelancongan dari Malaysia harus merebut peluang untuk menawarkan pakej-pakej pelancongan yang menarik  dan menjalinkan kerjasama pintar dengan agensi-agensi pelancongan di Indonesia,” katanya.

Sehingga kini pihak Tourism Malaysia Medan telah bekerjasama dengan beberapa organisasi pelancongan tempatan di Indonesia seperti Asita, Aspi, Amphuri , Astindo. Tumpuan kerjasama merangkumi pemasaran pakej-pakej ke Malaysia secara Online menerusi yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Pihak Tourism Malaysia Medan juga  telah mengadakan  kerjasama promosi dengan beberapa  media cetak dan  online di Sumatra. Menerusi program fam trip, beberapa media di Sumatra dan media dari negara-negara lain, telah dibawa melawat beberapa destinasi pelancongan menarik di Malaysia.  

“Kini kita merancang strategi promosi dan pemasaran pelancongan selepas wabak Covid 19 ini berakhir.  Antaranya kita akan berkerjasama dengan Telkomsel . Syarikat telekomunikasi ini mempunyai lebih 167 juta pengguna di Indonesia. Di Sumatera sahaja ada lebih 47 juta orang pengguna Telkomsel. Menerusi jalinan kerjasama dengan Telkomsel itu kita berharap program promosi dan pemasaran pakej-pakej pelancongan Malaysia akan dapat dipromosikan dengan lebih meluas dan efektif, “kata Hishamuddin Mustafa.  

Dalam masa yang sama ketika ini Tourism Malaysia Medan sedang giat membantu Konsulat Jeneral Malaysia di Medan membawa pulang rakyat Malaysia di Kepulauan Sumatera dengan kerjasama Malaysia Airlines.

“Kita berharap wabak covid 19 ini segera berlalu. Pemain industri pelancongan antara yang paling teruk terkesan akibat wabak ini . Semoga kita dilindungi dan dijauhi dari jangkitan wabak covid 19 ini dan industri pelancongan Negara kembali rancak seperti tahun-tahun sebelum ini,” tambahnya lagi.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *