Sat. Jul 27th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

CIPTA: Konsert Terbaru M.Nasir di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Ogos 2024

2 min read

CIPTA, nama konsert terbaru yang akan berlangsung pada 10 Ogos 2024, benar-benar melambangkan keseluruhan seni dan kreativiti M.Nasir.

Seluruh Nusantara mengakui, bahawa karya-karya M.Nasir adalah sumber inspirasi bagi banyak karyawan seni. Beliau adalah ‘otak’, ‘arkitek’, maestro, sifu, dan segalanya dalam penciptaan karya seni berkualiti tinggi.

Setiap karya yang dihasilkan oleh M.Nasir, pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamed, jarang sekali tidak meledak di pasaran. Daripada karya untuk penyanyi solo lelaki dan wanita, kugiran rock, hingga genre pop dan balada, semuanya berjaya menambat hati pendengar.

Sebagai Maestro, M.Nasir yang berusia 66 tahun ini sentiasa mencipta karya-karya hebat dan malar segar, meraih pelbagai pencapaian dalam industri muzik. Dengan CIPTA sebagai nama konsertnya tahun ini, ia merangkum makna sebenar penciptaan.

Konsert DATO’ M.N45IR CIPTA, dibawakan oleh Icon Entertainment, akan diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil. Icon Entertainment menyedari bahawa ini bukan kali pertama peminat menyaksikan persembahan M.Nasir, tetapi kali ini mereka akan disajikan dengan pelbagai ciptaan dan kreativiti yang belum pernah dilihat.

Iman Tang dari Icon Entertainment menyatakan, “Melalui DATO’ M.N45IR CIPTA, peminat akan menyelami dunia penciptaan beliau yang telah melahirkan karya bermutu bukan hanya untuk dirinya sendiri tetapi juga untuk ratusan pemuzik dan penyanyi lain. Persembahan ini akan menampilkan karya-karya dalam bentuk yang belum pernah disaksikan sebelum ini.”

M.Nasir, sebagai seniman sejati, tidak pernah berjanji secara berlebihan. Beliau hanya ingin peminat hadir menikmati konsert ini dengan cara mereka sendiri dan pulang dengan hati gembira setelah menyaksikan persembahan visual, audio, dan santapan jiwa yang memuaskan.

Tiket akan mula dijual pada 27 Mei, pukul 11.00 pagi di platform: www.ticket2u.com.my. Harga tiket bermula dari RM 238 (AWAN NANO), RM338 (SEJATI), RM458 (FENOMENA), RM488 (CINTA KRISTAL), RM528 (MUSTIKA), dan RM588 (APOKALIPS).

Di bawah bumbung Axiata Arena, irama dan lagu akan mengalir ke dalam hati sanubari penonton, mencipta kenangan baru yang menambah momen indah masa hadapan.

Bersediakah anda untuk ini? Mari kita berkumpul di Axiata Arena pada 10 Ogos 2024 untuk mencipta sejarah bersama Dato dan penggemar melodi, muzik, dan lirik-liriknya.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *