Sat. May 4th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

CAMPUR TANGAN MENTERI DALAM STRUKTUR PENTADBIRAN TOURISM MALAYSIA DIBANTAH KESATUAN PEKERJA

2 min read



KUALA LUMPUR : Kemelut pentadbiran dan pengoperasian Tourism Malaysia semakin hangat apabila Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) membantah sekeras-kerasnya dan tidak bersetuju sepenuhnya dengan arahan YB Menteri terhadap cadangan beliau untuk melantik pihak luar dalam pentadbiran dan pengeoperasian Tourism Malaysia di dalam dan luar negara.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini oleh  KPPLPPM , Presidennya Alwi Shakir Abdullah menjelaskan  pelantikan pihak luar yang tidak mempunyai latar belakang pentadbiran kerajaan mahupun industri pelancongan akan menimbulkan permasalahan dalam urusan perolehan dan tatacara kewangan kerajaan yang kompleks.

“Ianya memerlukan pemahaman yang amat mendalam sebelum sesuatu proses perolehan dilaksanakan. Pegawai kerajaan yang berpengalaman lebih 20 tahun juga seringkali menerima teguran audit dalam hal perolehan, apatah lagi seseorang yang tidak mempunyai pemahaman sistem kerajaan ingin dilantik oleh Menteri kononnya untuk mengetuai pejabat-pejabat Tourism Malaysia. Peranan seorang penjawat awam bukan sahaja berkisar kepada pelaksanaan agenda kerajaan bahkan perlu menjaga hubungan diplomasi di antara Kerajaan dan Pemain Industri, Kerajaan dan Agensi Kerajaan, Kerajaan dan Kerajaan Negeri serta Kerajaan dan Kerajaan lain,” jelas Alwi Shakir Abdullah.


Tambahnya lagi, Industri pelancongan negara pada ketika ini melalui Tourism Malaysia perlu diterajui oleh pegawai dalaman yang lebih berpengalaman dalam merancang, melaksanakan, memantau dan menilai keberkesanan pelan pemasaran dan pelan strategik pelancongan negara. Tourism Malaysia telah membina jalinan kerjasama yang kukuh dengan pelbagai pihakdi dalam dan luar negara serta pegawai sedia juga terbukti berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan dalam memastikan pemulihan ekonomi di dalam industri pelancongan negara walaupun situasi ekonomi global yang tidak menentu.

“Arahan-arahan yang dikeluarkan secara membuta tuli dan tanpa melalui sebarang rundingan dengan pihak pekerja merupakan satu tindakan yang    membelakangkan Konvensyen 98 Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan hak berunding yang diamalkan di Malaysia melalui Akta Kesatuan Sekerja dan Akta  Perhubungan Perusahaan. Pihak Kesatuan tidak teragak-agak untuk melaksanakan tindakan perusahaan dibawah Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja untuk melaksanakan piket dan mogok seandainya YB Menteri masih berkeras dan menekan Tourism Malaysia untuk melaksanakan arahan tersebut,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, dalan ucapan YAB Perdana Menteri sebelum ini bertarikh 29 November 2022 yang disiarkan di dalam media iaitu peringatan kepada barisan kabinet untuk sama sekali tidak mencampuri dan mengganggu urustadbir seharian agensi kerajaan.

Menurut kenyataan media tersebut, perkara ini juga dibawa kepada pengetahuan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) serta disalinkan kepada Pegawai Tertinggi Kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri memandangkan isu ini merupakan isu kritikal dalam kelangsungan jabatan, karier kakitangan, kebajikan serta industri pelancongan secara keseluruhan. Kesatuan di sini memberi jaminan bahawa akan kekal berada di belakang pihak yang mempertahankan agenda pekerja termasuk pihak pengurusan seandainya terdapat ancaman atau ugutan yang diberikan berkenaan isu ini.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *