Sat. May 4th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

MELESTARIKAN PEMBUNGKUSAN MAKANAN WARISAN & PENGKOMERSIALAN UNTUK PASARAN DUNIA

2 min read

KUALA LUMPUR : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
(MOTAC) menerusi agensinya, Jabatan Warisan Negara
telah menganjurkan bengkel Pelestarian Pembungkusan
Makanan Warisan dan Pengkomersialan untuk Pasaran
Dunia atau ASEAN Workshop on Sustainable Heritage Food
Packaging and Commercialisation for the World Market
dengan kerjasama strategik Universiti Putra Malaysia (UPM)
pada 13 dan 14 Jun 2023 di UPM, Serdang dan majlis
perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Tiong King
Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Bengkel ini
bertujuan untuk mendedahkan khalayak umum mengenai
makanan berbungkus dan kaedah pengkomersialannya
dengan bertemakan “Globalising ASEAN Heritage Food”.

Bengkel ini telah berjaya mengumpulkan seramai 18 wakil
negara ASEAN yang terdiri daripada pakar-pakar makanan
warisan serta chef selaku pembentang kertas kerja dan
pendemo makanan berbungkus negara masing-masing. Di
samping itu, dianggarkan seramai 250 peserta tempatan
termasuk pelajar universiti, pengamal kulinari, pakar
gastronomi, chef makanan warisan dan masyarakat
setempat akan turut menyertai program tersebut.

Bagi mempromosikan makanan warisan Malaysia, satu
pameran makanan warisan turut diadakan dan disertai oleh
beberapa agensi seperti UPM, WCO Holding Sdn. Bhd.,
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia
(MARDI) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan
Makanan, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara,
“The Rojak Project” (satu perusahaan sosial tempatan yang
mempromosi kepelbagaian budaya Malaysia) termasuklah
Jabatan Warisan Negara sendiri.

Makanan Warisan boleh ditakrifkan sebagai makanan
tempatan yang wujud berdasarkan geografi sesuatu
kawasan. Seiring dengan perkembangan semasa,
makanan warisan telah dikomersialkan ke peringkat
serantau dan antarabangsa. Secara tidak langsung, ia telah
mempromosikan budaya dan tradisi masakan masyarakat
tempatan ke persada global. Dengan kata lain, makanan
warisan menzahirkan identiti serantau dan kebangsaan
yang boleh meningkatkan imej destinasi pelancongan.

Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645]
mengklasifikasikan makanan warisan sebagai warisan
kebudayaan tidak ketara di bawah domain adat dan
budaya. Makanan merupakan amalan dan pengetahuan
yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

Istilah makanan tidak terhad kepada hidangan sahaja, ia
termasuk jenis, cara penyediaan, kaedah pembuatan,
kaedah pembungkusan, budaya pemakanan dan segala
aspek berkaitan. Bagi memastikan pengkomersialan
makanan warisan sentiasa berkembang, reka bentuk
pembungkusan memainkan peranan penting dari segi
memanjangkan jangka hayat, meningkatkan kualiti dan
keselamatan makanan selain mengurangkan kesan
terhadap alam sekitar.

Selaras dengan Pelan Strategik Kebudayaan dan Kesenian
ASEAN 2016-2025 yang menggalakkan usaha mempromosi,
memelihara dan mendokumentasi kepelbagaian warisan
dan budaya dalam kalangan negara-negara ASEAN,
program ini turut membuka ruang untuk saling kenal-
mengenal, berkongsi pengalaman dan idea tentang
kaedah atau amalan terbaik untuk melestarikan serta
mengkomersialkan makanan warisan, terutamanya
makanan berbungkus.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *