Sat. Apr 27th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

SOP BAHARU HIDUPKAN SEMULA SEKTOR PELANCONGAN

3 min read

KUALA LUMPUR, 24 NOV 2020 : Kelulusan SOP Gelembung Perjalanan Domestik oleh MKN dan KKM dilihat dapat memberi sinar baru buat sektor pelancongan negara. Ia juga sebagai satu usaha segera pihak Kerajaan dalam membantu menghidupkan semula sektor pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pendemik Covid-19.

Menurut Datuk Azlie Halim, Presiden Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia merangkap Naib President Majlis Pelancongan Malaysia, pengumuman SOP Gelembung Perjalanan Domestik dapat memberikan impak segera kepada kelangsungan ekonomi negara khususnya daripada sektor pelancongan.

“Sejak pendemik Covid 19 melanda negara sektor pelancongan telah mengalami kerugian lebih RM45 billion, dan sekiranya situasi ini berterusan kerugian mungkin mencecah RM100 billion. Dengan perkembangan terkini yang membolehkan aktiviti pelancongan dibenarkan semula mengikut SOP yang telah ditetapkan ini, saya yakin setidak-tidaknya sektor pelancongan mampu pulih secara berperingkat.


“Aktiviti pelancongan memerlukan pergerakan dari satu tempat ke satu tempat. Jika pergerakan ini disekat dengan PKP atau PKPB maka sektor pelancongan tidak dapat menjana kepada pendapatan ekonomi negara. Saya berharap dengan SOP yang baharu ini, semua pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan akan mendapat manfaatnya,” jelasnya.

Sementara itu usaha Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC) yang menggerakkan pelan pemulihan pelancongan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dengan melibatkan penggiat-penggiat industri pelancongan juga adalah satu usaha murni dalam membina semula industri pelancongan negara.

Program yang telah dikenalpasti untuk menggerakkan industri pelancongan tempatan adalah dengan melibatkan kerjasama dengan semua pemain industri seperti syarikat penerbangan, pengangkutan dan badan bukan kerajaan dalam industri pelancongan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet (MyBHA).

“Dalam masa yang sama masyarakat juga harus diberikan keyakinan untuk melancong dalam keadaan yang selamat dan selesa. Jika SOP sudah membenarkan kita untuk pergi melancong dengan pelbagai pakej tawaran menarik disediakan tetapi rakyat kita masih tidak yakin untuk melancong maka usaha ini mungkin tidak akan mencapai kejayaan yang diharapkan.

Sehubungan itu kita harus mengadakan kempen promosi dan kesedaran secara lebih bersepadu untuk memberikan keyakinan kepada masyarakat melakukan aktiviti pelancongan. Promosi dan hebahan di semua medium utama termasuk media sosial, cetak dan elektronik perlu dilaksanakan seberapa segera untuk menerangkan tentang norma baharu pelancongan dalam negeri sekali gus menggalakkan pelancong tempatan membantu menjana ekonomi setempat .

MAKLUMAT TENTANG SOP 

SOP Gelembung Perjalanan Domestik untuk pergerakan antara zon hijau dengan negeri telahpun diluluskan oleh MKN dan KKM. Ia meliputi aktiviti di bawah sektor pelancongan dan kebudayaan seperti : 

i. Hotel (tetamu dalam kawasan PKPB yang sama sahaja, 3 orang sekeluarga, dine in 2-4 orang tertakluk kepada keluasan meja)

(Tidak dibenarkan penggunaan kolam renang / penggunaan dewan / bilik seminar)

ii. Homestay (tetamu dalam kawasan PKPB yang sama sahaja, 3 orang sekeluarga, dine in 2-4 orang tertakluk kepada keluasan meja)

(Tidak dibenarkan penggunaan kolam renang / penggunaan dewan / bilik seminar)

iii. Syarikat Pelancongan (Operasi pejabat menggunakan SOP sedia ada)

iv. SPA, PUK, Wellness, Refleksologi (menggunakan SOP sedia ada)

v. Pusat Hiburan Karaoke Keluarga dan produk pelancongan lain KECUALI Taman Tema, Indoor Playground, Panggung Wayang, Kelab Malam dan Pub.

vi. Aktiviti pengembaraan / riadah seperti hiking dan berbasikal serta sukan individu tidak bersentuhan yang tidak melebihi 10 orang.

vii. Acara langsung TANPA penonton (dengan jumlah krew ditetapkan oleh KKMM)

viii. Aktiviti busking di dalam lokasi tertutup (dengan kawalan masa dan jumlah penonton ditetapkan oleh KKMM)

viii. Rakaman program TANPA penonton dengan jumlah krew minima

INISIATIF YANG DILAKSANAKAN OLEH MOTAC

a. Menawarkan pakej-pakej penginapan dengan Kerjasama MAH dan e-market platform Shopee;

i) menggunakan aplikasi Shopee E-Marketplace sebagai perantara dan platform penempahan pakej penginapan yang memberikan manfaat secara terus kepada end-user iaitu pengguna melalui kaedah rebat baucar. 

ii) Pengguna perlu membeli pakej penginapan minima 3 Hari 2 Malam bagi menebus rebat baucar sebanyak RM100 dan RM50 berdasarkan ketegori hotel yang dibeli. Sebanyak 43,983 bilik disasarkan untuk dijual menerusi kempen ini.

b. Kempen ‘Cuti-Cuti Malaysia’ adalah dengan kerjasama syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB), Air Asia, Firefly, dan Malindo Air; 

i) Kempen promosi mensasarkan warganegara Malaysia dengan menawarkan potongan diskaun sebanyak RM50 bagi penerbangan sehala. Sebagai contoh, Malaysia Airlines termasuk Firefly menawarkan potongan diskaun sebanyak RM50 atau potongan sebanyak RM100 untuk tiket penerbangan pergi dan balik bagi pembelian tiket untuk kelas ekonomi dan kelas perniagaan sahaja. Tempoh tempahan kempen ini bagi Malaysia Airlines adalah dari 24 November – 3 Disember 2020 manakala tempoh perjalanan adalah dari November sehingga Jun 2021. Tempoh tempahan bagi Firefly pula bermula 24 November – 8 Disember 2020 dan tempoh perjalanan adalah dari bulan November 2020 sehingga Oktober 2021. Keseluruhan tawaran adalah sebanyak 9,000 tempat duduk.

c. Diskaun pembelian produk kraf di outlet karyaneka

i. RM 500,000 diperuntukkan untuk pembelian produk-produk kraf di semua outlet Karyaneka, anak syarikat Kraftangan Malaysia.  Pengguna layak untuk menikmati diskaun RM30.00 bagi setiap pembelian minimum gandaan RM100.00. Tawaran ini bermula mulai 24 November 2020.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *