Wed. Apr 24th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Türkiye Memberi Kelainan Dengan Hotel Mesra Kanak-kanak

2 min read


“Dengan ketibaan musim panas, ramai yang mula merancang percutian mereka. Bersiap sedia dengan langkah-langkah pelancongan selamat, Turki menawarkan pelbagai pilihan percutian terutamanya untuk keluarga bersama kanak-kanak”

Terletak di kawasan Mediterranean dan menghubungkan benua Asia dan Eropah yang terpisah oleh Selat Bosphorus yang terkenal. Turki adalah sebuah destinasi dan hab interaksi kebudayaan. Di samping iklim yang ideal, Turki memberi inspirasi kepada para pelancong dengan kekayaan sejarah, alam semula jadi dan gastronomi yang mencerminkan kepelbagaian yang terhasil oleh tamadun-tamadun berbeza sejak berabad lamanya. Keunikan seni dan fesyen yang menjadi sintesis kepada tradisi dan kemodenan negara yang terletak di persimpangan pelbagai kebudayaan, termasuk kemudahan membeli-belah dan hiburan yang dinamik menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia. 

Turki mempunyai pelbagai pilihan percutian untuk keluarga bersama kanak-kanak. Hotel serba lengkap yang menawarkan program animasi, bengkel kanak-kanak, kolam renang kanak-kanak dan gelongsor air boleh didapati dengan mudah di Kuşadası, Marmaris, Fethiye dan terutamanya Antalya. Hotel-hotel “mesra kanak-kanak” ini menawarkan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan untuk keluarga dan kanak-kanak. Di antaranya adalah bengkel dan aktiviti sukan yang dikendalikan oleh para pengajar yang akan memberi peluang kepada semua ahli keluarga menikmati pelbagai aktiviti yang berbeza dan pada masa yang sama mengutamakan kepuasan para pelawat dan memberi perhatian kepada maklum balas daripada keluarga yang tiba. Kemudahan di hotel-hotel ini diperiksa secara berkala dan pihak hotel turut menyediakan langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi memaksimumkan keselamatan kanak-kanak. 

Bagi keluarga yang ingin meluangkan masa di tempat-tempat semula jadi dengan persekitaran yang lebih bebas, terdapat banyak hotel-hotel butik yang menawarkan percutian yang mesra alam dan mengamalkan langkah-langkah pelancongan selamat. Hotel-hotel di tepi pantai di Karaburun, Bodrum, Fethiye, Datça, Selimiye, Bozburun dan Kekova mengalu-alukan kedatangan para pengunjung dengan jaluran pokok-pokok zaitun dan perairan yang tenang di Laut Aegean and Laut Mediterranean. Sesetengah hotel turut memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk memberi makanan kepada haiwan-haiwan ternakan seperti ayam, itik, angsa dan juga memetik buah-buahan dan sayur-sayuran segar dari kebun-kebun tanaman organik. Terdapat banyak hotel-hotel di Turki yang menawarkan aktiviti-aktiviti yang boleh disertai oleh seisi keluarga seperti kembara denai, bersampan atau menikmati keindahan alam semula jadi bersama.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam memerangi COVID-19 dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah destinasi yang paling selamat di dunia, Turki meneruskan pelaburan untuk ‘Program Pensijilan Pelancongan Selamat’ yang menjadikannya salah satu contoh pertama dan paling berjaya dalam bidang ini di dunia. Negara ini telah memperluaskan skop program tersebut dan mewajibkannya ke atas kemudahan penginapan yang mempunyai lebih 30 bilik. Sehingga hari ini, 9,000 kemudahan penginapan telah mendapat pensijilan tersebut. Di samping pensijilan ini, Turki telah mula melaksanakan program vaksinasi bagi seluruh warga kerja pelancongan dan ia dijangka dapat dilengkapkan sebelum permulaan musim panas tahun 2021. Turki turut mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan ia kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan sihat dalam tahun 2021 dan sebagai salah satu pilihan utama yang selamat bagi pelancong-pelancong antarabangsa.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *