Sat. Apr 27th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

TUNTUTAN INDUSTRI PERHOTELAN DAN PELANCONGAN DEMI KELANGSUNGAN JANGKA PANJANG INDUSTRI

7 min read


Susulan Penularan Wabak Covid-19 dan pelaksanaan-pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), pihak Kerajaan harus mengambil suatu inisiatif dalam membantu Pengusaha-Pengusaha Industri Pelancongan Dan Perhotelan yang telah terkesan dan terjejas dan berada pada keadaan yang sangat memerlukan bantuan dalam kelangsungan Industri tersebut.

Suatu usaha perlu dilaksanakan oleh Pihak Kerajaan Persekutuan bersama semua Kerajaan Negeri serta semua Agensi Kerajaan dan Swasta yang boleh menyumbang sebagai suatu bentuk bantuan kepada Pengusaha-Pengusaha Industri Perhotelan dan Pelancongan dan ianya sedikit sebanyak akan memberi suatu impak yang lebih berkesan dalam usaha untuk memastikan Industri Perhotelan dan Pelancongan bertahan tanpa ada pembuangan pekerja atau penutupan perniagaan.

Pihak Kerajaan harus mengambil maklum bahawa Pelanggan sebuah hotel adalah terdiri daripada mereka yang datangnya daripada luar Daerah, Negeri serta Negara dan larangan merentas Daerah dan Negeri serta penutupan sempadan Negara telah menyebabkan mana-mana Hotel yang beroperasi tidak dapat pelanggan yang mencukupi dan ianya secara langsung menyebabkan penurunan pendapatan bagi mana-mana Hotel tersebut dan secara jelasnya menjadi suatu faktor yang menyumbang kepada pengurangan pekerja, pembuangan pekerja dan akhirnya penutupan hotel tersebut. Masih banyak perkara yang boleh diambil kira untuk mengurangkan beban kepada Pengusaha-Pengusaha Industri Perhotelan dan Pelancongan akan tetapi pihak berwajib masih GAGAL untuk melaksanakannya.

Berikut adalah antara tuntutan-tuntutan bagi kelangsungan Industri Perhotelan dan Pelancongan :-

  1. PROGRAM SUBSIDI UPAH (PSU). Kerajaan Malaysia perlu dengan segera melaksanakan penyemakan semula terhadap Program Subsidi Upah (PSU) bagi Industri Pelancongan dan Perhotelan dan dengan serta merta memperkenalkan suatu Program Upah Subsidi Khas Industri bagi suatu tempoh tidak kurang daripada enam (06) bulan. Kadar Minima yang dipohon adalah TIDAK KURANG Ringgit Malaysia Satu Ribu Dua Ratus (RM 1,200.00) sahaja bagi pekerja yang mendapat gaji tidak melebihi Ringgit Malaysia Empat Ribu (RM 4,000.00). Suatu amaun yang munasabah juga perlu ditetapkan bagi pekerja berjawatan eksekutif yang gaji bulanannya melebihi Ringgit Malaysia Empat Ribu (RM 4,000.00) bagi menyelamatkan perkerja eksekutif yang bekemahiran dalam Industri Pelancongan dan Perhotelan.
  2. KADAR TARIF TENAGA ELEKTRIK. Mohon kepada Kerajaan Malaysia untuk membuat semakan semula terhadap Tarif yang dikenakan oleh pembekal tenaga elektrik iaitu Tenaga Nasional Berhad bagi seluruh semenanjung Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd yang merupakan pembekal tenaga elektrik bagi seluruh Negeri Sabah dan Sarawak Energy Berhad yang merupakan pembekal tenaga elektrik bagi seluruh Negeri Sarawak. Kami mencadangkan supaya Tarif Elektrik yang dikenakan oleh pembekal tenaga elektrik yang tersebut diatas ditukar daripada Tarif Komersial kepada Tarif Industri atau secara terus menetapkan suatu Tarif khas dalam membantu Pengusaha-Pengusaha Industri Pelancongan dan Perhotelan yang telah terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Penularan Wabak Covid-19. Selain daripada yang tersebut diatas, kami mohon kepada Kerajaan Malaysia supaya Pengusaha-Pengusaha Industri Perhotelan dan Pelancongan diberikan suatu diskaun yang munasabah dan diskaun tersebut perlu dinaikkan daripada sepuluh peratus (10%) kepada lima puluh peratus (50%) sehingga bulan Disember 2021. Kami juga ingin memohon kepada Kerajaan Malaysia untuk memastikan tiada pemotongan bekalan dilakukan keatas mana-mana Pengusaha Perhotelan dan Pelancongan serta mengarahkan suatu skim bayaran ansuran yang munasabah diberikan kepada semua Pengusaha-Pengusaha Perhotelan dan Pelancongan bagi mereka menjelaskan tunggakan sedia ada.
  3. KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP). Memohon supaya CARUMAN MAJIKAN dan PEKERJA terhadap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diberi PENGECUALIAN KHAS bagi suatu tempohmasa selama dua belas (12) bulan kalendar sebagai suatu bentuk bantuan untuk semua majikan dan/atau Pengusah-Pengusaha Industri Perhotelan dan Pelancongan serta pekerja-pekerjanya.
  4. CUKAI TAKSIRAN
    Mohon semua Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk memberi pengecualian khas terhadap Cukai Taksiran untuk Tahun 2020 dan 2021 untuk semua premis penginapan Pelancongan iaitu Hotel Bajet, Hotel dan Resort. MORATORIUM TERHADAP PINJAMAN. Mohon Kerajaan Malaysia untuk menguatkuasakan suatu undang-undang khas dan/atau arahan tetap yang secara automatik memberi suatu moratorium khas kepada semua pengusaha-pengusaha Industri Pelancongan Dan Perhotelan yang telah terjejas akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan dan Wabak Covid 19 tersebut sehingga bulan Disember 2021. Penguatkuasaan Moratorium Khas tersebut perlu dikuatkuasakan terhadap semua : Syarikat-Syarikat Kredit yang bukan dibawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM). Syarikat-Syarikat Kredit yang adalah dibawah seliaan dan dilesenkan dibawah Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan. Semua Institusi Perbankan & Kewangan yang berada dibawah seliaan dan dilesenkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan Bank Negara Malaysia.
  5. INSENTIF CUKAI KHAS.
    Mohon Kerajaan Malaysia untuk memperkenalkan suatu Insentif Cukai Khas bagi tahun 2020 sehingga 2022 bagi semua Pengusaha-Pengusaha Industri Pelancongan Dan Perhotelan yang telah terjejas akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan dan Wabak Covid 19 tersebut. Insentif Cukai ini perlu diberikan kepada Semua Pengusaha-Pengusaha Industri Pelancongan Dan Perhotelan yang berdaftar dan berlesen dalam memastikan semua pembayar cukai mendapat kelebihan dan keadilan yang sewajarnya.
  6. CUKAI PERKHIDMATAN (SST)
    Mohon Kerajaan Malaysia untuk menaikkan Nilai Ambang Tahunan Cukai Perkhidmatan (SST) bagi Industri Perhotelan daripada RM 500,000.00 kepada RM 1,500,000.00
  7. CUKAI PERKHIDMATAN DIGITAL
    Mohon Kerajaan Malaysia untuk mengecualikan dan membuat semakan semula terhadap Cukai Perkhidmatan Digital. Cukai Perkhidmatan Digital tersebut telah memberikan suatu bebanan kepada Pengusaha- Pengusaha Hotel yang mana Pembekal Perkhidmatan Tempahan Bilik secara Atas Talian (Online Travel Agents / OTA’s) boleh memindahkan cukai tersebut kepada Pengusaha- Pengusaha Hotel dan ianya akan terpaksa ditanggung oleh Pengusaha-Pengusaha Hotel pada akhirnya dan ianya juga memberi impak terhadap harga jualan bilik dan pendapatan Pengusaha-Pengusaha Hotel tersebut.
  8. PENGUATKUASAAN TERHADAP AGEN PELANCONGAN ATAS TALIAN (ONLINE TRAVEL AGENTS [OTA’s])
    Mohon Kerajaan Malaysia untuk segera menggubal suatu Akta untuk mengawal selia semua jenis Agensi Pelancongan Atas Talian (Online Travel Agencies / OTA’s). Pengusaha-Pengusaha Perhotelan telah sekian lama terkesan dengan ketiadaan suatu undang- undang bagi mengawal selia Agensi-Agensi Pelancongan Atas Talian (Online Travel Agencies / OTA’s). Penetapan Komisen yang tinggi telah menyebabkan Pengusaha-Pengusaha Industri Perhotelan mengalami kerugian dan/atau pendapatan yang rendah dan terpaksa mengikut harga-harga jualan serta promosi-promosi yang telah ditetapkan oleh Agensi-Agensi Pelancongan Atas Talian (Online Travel Agencies / OTA’s) tersebut demi kelangsungan perniagaan Hotel mereka.
  9. BADAN PELESENAN ROYALTI MUZIK
    Mohon Kerajaan Malaysia untuk SEGERA BERTINDAK dalam melaksanakan dan menguatkuasakan semula suatu Badan Pelesenan Royalti Muzik Tunggal. Perkara yang tersebut diatas telah disuarakan sekian lama dan perkara tersebut telah tidak diambil berat atau sebarang tindakkan yang telah dan/atau boleh diselesaikan oleh pihak- pihak berwajib yang telah menyebabkan Pengusaha-Pengusaha Perhotelan diganggu dan diminta untuk membuat bayaran atau yuran yang tinggi. Kami mohon supaya apa-apa tindakan oleh Badan-Badan Pelesenan Royalti Muzik di bekukan sementara sehingga suatu penyelesaian dicapai bersama pihak Industri Perhotelan.
  10. GARIS PANDUAN PENGINAPAN KEDIAMAN JANGKA MASA PENDEK / SHORT-TERM RESIDENTIAL ACCOMMODATION (STRA)
    Mohon Kerajaan Malaysia untuk DENGAN SEGERA Menguatkuasakan Garis Panduan Penginapan Kediaman Jangka Masa Pendek / Short-Term Residential Accommodation (STRA) yang telah sekian lama tertangguh. Perkara yang tersebut diatas merupakan suatu ancaman Industri Perhotelan dan sehingga kini semua pihak yang berwajib masih gagal untuk menyelesaikan perkara yang tersebut diatas.
  11. PERKHIDMATAN TELEKOMUNIKASI kami mohon kepada Kerajaan Malaysia untuk mengarahkan Pembekal-Pembekal Perkhidmatan Telekomuniksi untuk memberi Pengusaha-Pengusaha Industri Perhotelan dan Pelancongan suatu diskaun sebanyak lima puluh peratus (50%) sehingga bulan Disember 2021 bagi caj-caj pengunaan semua jenis Perkhidmatan telekomunikasi. Pengusaha-Pengusaha Perhotelan Dan Pelancongan juga harus diberikan suatu pilihan (option) untuk memberhentikan sementara perkhidmatan telekomunikasi mereka tanpa sebarang caj dan / atau penalti.
  12. Kami juga ingin memohon kepada Kerajaan Malaysia untuk memastikan tiada pemotongan perkhidmatan telekomunikasi dilakukan keatas mana-mana Pengusaha Perhotelan dan Pelancongan dengan mengarahkan suatu skim bayaran ansuran yang munasabah diberikan kepada semua Pengusaha-Pengusaha Perhotelan dan Pelancongan bagi mereka menjelaskan tunggakan sedia ada.
  13. KEUTAMAAN PENERIMA VAKSIN BAGI PETUGAS INDUSTRI PERHOTELAN Mohon kepada Kerajaan Malaysia untuk memberi keutamaan kepada para petugas / pekerja Industri Perhotelan untuk segera menerima Vaksin Covid-19 bersama-sama dengan Petugas-Petugas barisan hadapan. Petugas / pekerja Industri Perhotelan senantiasa berada dalam keadaan yang beriko tinggi disebabkan perlu berinteraksi dengan ramai pelanggan yang berkemungkinan telah dijangkiti dengan virus covid-19 tersebut.
  14. PERKHIDMATAN BEKALAN AIR Mohon Kerajaan Malaysia / Persekutuan untuk mengeluarkan arahan kepada semua Kerajaan Negeri untuk mengarahkan semua pembekal bekalan air bagi Negeri masing- masing untuk memberi suatu diskaun khas sebanyak lima puluh peratus (50%) sehingga bulan Disember 2021 kepada semua Pengusaha-Pengusaha Industri Perhotelan dan Pelancongan. Kami juga ingin memohon kepada Kerajaan Malaysia untuk memastikan tiada pemotongan bekalan air dilakukan keatas mana-mana Pengusaha Perhotelan dan Pelancongan dan bagi mencapai suatu penyelesaian, Kerajaan Malaysia perlu mengarahkan supaya suatu skim bayaran ansuran yang munasabah diberikan kepada semua Pengusaha Perhotelan dan Pelancongan bagi mereka menjelaskan tunggakan sedia ada
  15. PINJAMAN KHAS INDUSTRI PELANCONGAN / PENJANA TOURISM FINANCING (PTF) Kami memohon kepada Kerajaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia untuk segera menyemak keberkesanan Penjana Tourism Financing (PTF) yang telah diperkenalkan pada Tahun 2020 yang mana pihak Persatuan telah mendapat maklumbalas yang negatif daripada ahli-ahli kami tersebut. Kami mohon supaya suatu Bahagian Khas dibawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atau Kementerian Kewangan Malaysia diperkenalkan dan diwujudkan bagi memproses semua Permohonan Pinjaman oleh Pengusaha-Pengusaha Industri Perhotelan dan Pelancongan dan ianya tidak melalui mana-mana Institusi Kewangan yang TELAH GAGAL untuk membantu serta memastikan objektif Kerajaan Malaysia dicapai ketika memperkenalkan Inisiatif Penjana Tourism Financing (PTF) tersebut. Selain daripada Inisiatif Penjana Tourism Financing (PTF) dan Pinjaman Khas Industri Pelancongan melalui apa-apa dana khas daripada Kerajaan Malaysia, kami memohon Kerajaan Malaysia untuk sentiasa mengarahkan dan mendorong semua Institusi Perbankan & Kewangan untuk membantu Industri Perhotelan dan Pelancongan di mana sebelum ini dan masih dikategorikan sebagai Industri Berisiko Tinggi dalam mendapatkan apa-apa bantuan kewangan daripada Institusi Perbankan dan Kewangan tersebut. Kami faham masalah dan kekangan yang dihadapi oleh Pihak Kerajaan akan tetapi dengan pelaksanaan beberapa tindakan akan dapat membantu menyelamatkan Industri Perhotelan dan Pelancongan. Kami merayu dan memohon supaya Pihak Kerajaan Persekutuan bersama semua Kerajaan Negeri serta semua Agensi Kerajaan dan Swasta bersikap lebih prihatin dengan mendengar rintihan dan keluhan Pengusaha-Pengusaha Industri Perhotelan dan Pelancongan dan dengan segera mengambil tindakan yang segera dalam memastikan Industri Perhotelan dan Pelancongan mampu bertahan.

Bagi dan atas Pihak
Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA)

DR. SRI GANESH MICHIEL
Timbalan Presiden
merangkap
Pengerusi, Biro Undang-Undang & ICT,
Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) Peringkat Nasional.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *