Fri. Apr 26th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

TAIPEI… Tempat Cantik, Hati Tertawan!

8 min read

Kita sudah pun mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.  Selamat datang ke ibu kota metropolis, Taipei. Untuk pengetahuan anda Taipei adalah bandar paling popular di Taiwan untuk pelancong antarabangsa dan berada di kedudukan kelapan dalam indeks global bandar pintar. Ia merupakan sebuah  destinasi pelancongan, kebudayaan dan kota perniagaan paling sibuk di negara pulau empat musim ini. Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa ianya mendapat pengiktirafan sebagai Bandaraya Alpha oleh Globalization and World Cities Study Group and Network (GaWC). 

Empat musim di Taipei amat menyeronokkan sepanjang tahun. Tidak kira musim mana anda memutuskan untuk berkunjung ke Taipei, terdapat banyak aktiviti menarik yang menanti anda! Sekiranya anda berminat untuk menikmati pertunjukan bunga api, melihat bangunan sastera pada waktu siang, anda boleh  menyertai acara Dadaocheng Valentine’s Day di Taipei. Waktu yang sesuai adalah dari bulan Ogos hingga Oktober.

Keunikan seni bina bangunan lama dan baru yang bersulam dengan keindahan panorama alam semulajadi terancang, melancong ke Taipei sememangnya satu pilihan tepat. Bandaraya mudah jelajah ini juga memiliki tahap keselamatan yang terjamin dan bandarnya pula adalah super bersih. Pada tahun 2020, laman web Numbeo mengeluarkan kedudukan indeks keselamatan bandar global, dan Taipei berada di kedudukan yang ketiga. Keselamatan awam yang baik membolehkan pelancong dari seluruh dunia menikmati percutian mereka di Taipei dengan lebih tenang.

Berdasarkan MasterCard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2021,  Taiwan berada di tangga kedua di kalangan negara-negara bukan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam aspek penawaran pakej percutian dan pelancongan mesra Muslim. Jadi, melanconglah ke sini dengan senang hati.  Untuk makluman anda, surau ada disediakan di hub-hub pengangkutan dan tempat-tempat tarikan pelancongan utama

Andai kata anda cuma ada masa untuk bersiar-siar di sekitar pusat bandar sahaja, dan merasakan tiada apa yang menarik di sana melainkan tarikan membeli-belah semata-mata, anda silap besar! Pusat bandar Taipei sebenarnya menjanjikan pengalaman lebih daripada itu. Sesuatu yang melangkaui jangkaan. Bahkan, sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan pelancong atau pengembara muslim, banyak tarikan yang turut menempatkan kemudahan surau. Jom, kita terokai tarikan yang mesti dikunjungi di bandar yang mesra Muslim ini!

1) Bopiliao Historical Block

Lawatan ke tarikan yang terletak di daerah Wanhua ini bagaikan mengembara ke zaman dahulu. Jika anda gemarkan seni bina dan sejarah, pastikan lokasi ini ada dalam senarai lawatan. Lagipun pemandangan di Bopiliao Historical Block ini memang menarik dijadikan latar saat bergambar OOTD. Kawasan ini dahulunya adalah merupakan salah sebuah kawasan perniagaan paling sibuk di Taipei dan menjadi pusat bagi perdagangan arang batu. Bagi memulihara dan seterusnya mahukan masyarakat lokal serta para pelancong luar menghargai nilai sejarah yang dimilikinya, pihak kerajaan Taipei telah membaik pulih kawasan ini. 

Jika diperhatikan, di sini sarat dengan gabungan senibina kolonial seperti  Fujian Selatan, Dinasti Qing, Jepun dan tidak ketinggalan pengaruh Barat. Antara karakter yang banyak memberi watak pada struktur bangunan ini adalah gerbang bata merah, balkoni dan pelbagai ragam hias lain.  

Bagaimana Ke Sini: Naik MRT (Blue line) , turun di Stesen Longshan Temple. 

Klik:  https://www.bopiliao.taipei

2) Sun Yat-sen Memorial Hall 

Seperti namanya, kompleks memorial ini dibina bagi memperingati seorang ikon terkenal China iaitu Dr. Sun Yat-sen. Beliau adalah pemimpin politik dan revolusi China yang turut digelar sebagai Bapa China moden. Di sini anda boleh melihat pameran yang memaparkan kisah hidup Sun dan perjuangan revolusi yang dipimpinnya.

Ia mempunyai keluasan kira-kira 7.3 ekar dalam kawasan persekitaran menghijau yang berkeluasan kira-kira 28.4 ekar. Jika berkesempatan, anda boleh menyaksikan upacara pertukaran pengawal yang diadakan setiap jam di pintu masuk.

Bagaimana Ke Sini: Naik MRT (Blue line), turun di Stesen Sun Yat-sen Memorial Hall. 

Klik:  https://www.yatsen.gov.tw

3) Thermal Valley

Thermal Valley adalah sebuah lembah geoterma yang terletak di kaki Taman Negara Yangmingshan.   Penduduk tempatan kadang-kadang menyebutnya sebagai Lembah Neraka. Kabus sulfurik yang menyelubungi lembah ini sepanjang tahun menimbulkan suasana menyeramkan namun cukup menarik untuk diabadikan dalam bentuk seni foto. 

Suhu mata air di sini adalah antara yang tertinggi dalam kumpulan gunung berapi Datunshan dan direkodkan antara 80-100℃.  Mata air tersebut mampu menghakis dan dikenali sebagai ‘mata air sulfur hijau’ dan ‘kepala sulfur’. Dahulu, para pengunjung biasanya dibenarkan merebus telur di dalam mata air panas di sini tetapi kini ia dilarang. 

Ini bukan sahaja untuk melindungi kualiti air tersebut tetapi juga untuk mengelakkan pengunjung terjatuh ke dalam air yang mendidih itu. Dengan persekitaran sulfuriknya menakjubkan, tidak hairanlah mengapa Thermal Valley ini dianggap sebagai salah satu daripada  12 Pemandangan Agung Taiwan semasa zaman penjajahan Jepun. Kalau sudah sampai di sini, apa kata lajakkan langkah anda ke Beitou Hotspring Museum yang turut berada berhampiran.   

Bagaimana Ke Sini: Naik MRT (Red Line), turun di Stesen Beitou. Kemudian, tukar tren ke Xinbeitou.

Klik : https://www.travel.taipei/en/attraction/details/536

4) Taman Negara Yangmingshan 

Taman Negara Yangmingshan disifatkan sebagai sebuah taman negara tercantik dan pastinya terkenal di Taiwan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa taman negara ini menjadi pilihan utama kepada mereka yang gemar kepada pelancongan eko. 

Kawasan seluas 114 kilometer persegi ini penuh panoramik dihiasi dengan beberapa buah taman lain, denai kembara (hiking), kolam air mata panas dan pastinya sarat dengan keindahan flora fauna sub-tropika sehinggalah ke zon iklim sederhana. Selain itu, apa yang paling digemari pelancong di Yangmingshan ialah terdapat musim bunga yang mempesona sepanjang tahun. Sama ada musim bunga sakura dari Februari hingga Mac, musim calla cily dari bulan Mac hingga April, musim hidrangea dari Mei hingga Jun dan musim miscanthus dari Oktober hingga Disember. Ia menarik banyak pelancong antarabangsa untuk datang ke sini. Ini adalah salah satu tarikan yang tidak boleh anda terlepas.

Surau turut tersedia bagi memudahkan pengunjung muslim menunaikan solat ketika berada di sini. 

Bagaimana Ke Sini: Naik MRT (Red line), turun di Stesen Jiantan (Shilin Night Market). Cari stesen bas yang berada di sebelah kiri dan beli tiket bas menghala ke arah utara. Bas nombor S9, S15 atau S17 akan membawa anda ke Stesen Bas Yangmingshan. 

Klik: https://www.ymsnp.gov.tw

5) Guandu Nature Park

Taman Semulajadi Guandu terletak di pertemuan antara dua buah sungai iaitu Sungai Tamshui dan Keelung dengan Gunung Datun di bahagian timur laut dan Gunung Guanyin pula di sebelah barat daya. Taman negara ini merupakan persekitaran pelbagai-bio seluas 57 hektar dan ia terbahagi kepada empat kawasan; Kawasan Utama, Kawasan Rezab Pusat, Kawasan Tinjau Luar dan Kawasan Pengurusan Lestari dengan persekitarannya terdiri daripada hutan, sungai, kolam-kolam air payau dan juga sawah padi.

Ia juga merupakan kawasan persinggahan utama bagi burung-burung yang bermigrasi seperti unggas-unggas air dan pantai. Atas sebab itu, dia merupakan lokasi mengintai burung terpenting di utara Taiwan. Waktu terbaik untuk mengintai burung bermula dari Oktober hingga Mac. Daripada 400 spesies burung yang berhijrah ke Taiwan, terdapat lebih daripada 200 spesies yang boleh dilihat di sini. Ketika ini,  terdapat ruang solat untuk kegunaan pelancong Muslim. Pelancong yang cintakan alam semula jadi tidak boleh melepaskan lawatan ke sini.

Waktu operasi bermula pada jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang pada Selasa hingga Jumaat. Manakala pada hujung minggu, ia beroperasi dari 9.00 pagi hingga 6.30 petang. Tiket-tiket dijual pada harga 60 yuan dan 30 yuan.

Bagaimana Ke Sini:  Naik MRT (Red line), turun di Stesen Guangdu, jalan kaki sekitar 10 minit

Klik:  https://gd-park.org.tw

Hotel mesra muslim juga tersedia

Mencari lokasi penginapan yang mesra muslim bukanlah satu isu jika anda ingin mengelilingi Taiwan, terutamanya Taipei. Kota ini menawarkan pelbagai pilihan penginapan, dari hotel lima bintang hinggalah ke penginapan bajet.  Berikut adalah senarai hotel yang menepati menepati piawai halal dan anda bermalam di sini tanpa curiga tentang kebersihannya. Malah, anda juga boleh menjamu selera di sini jika enggan mencarinya di tempat lain.

Backpackers Hostel Changchun 

Backpacker-Taipei Changchun yang tampil bertenaga terletak hanya 8 minit berjalan kaki dari Stesen Nanjing Fuxing MRT. Manakala dari Liaoning Night Market yang terkenal hanya 10 minit. Kedudukannya yang strategik di pusat bandar menjadikan penginapan ini ideal untuk pelancong Muslim. Sebanyak 43 bilik yang tersedia, di mana setiap satunya mempunyai keluasan yang cukup selesa. Tetamu boleh memilih bilik untuk 2 orang, 4 orang, 8 orang hingga ke 12 orang. 

Tetamu muslim tidak perlu ragu-ragu untuk bermalam di sini kerana ia menyediakan ketuhar, ketuhar gelombang mikro serta sinki yang didedikasikan untuk yang beragama Islam. Bahkan, menu sarapan pagi yang tersedia juga adalah halal.  

Klik :http://changchun.bph.com.tw/index.php 

Bayman Hotel

Bayman Hotel merupakan sebuah hotel yang telah berusia seabad. Tampil dengan suntikan kreatif hotel yang telah direnovasi ini mudah diakses dengan pengangkutan awam. Anda boleh sampai ke Ximending, Dadaocheng dan Stesen Utama Taipei hanya dengan berjalan kaki selama 10 min.

Satu lagi kelebihan Bayman Hotel ialah, ia merupakan hotel yang mesra Muslim dengan perakuan halal. Ia menawarkan 15 buah penginapan standard dan dormitory yang mendapat merit sangat bersih, berbaloi dengan harga serta nilai servis yang boleh dibanggakan. Setiap bilik penginapan kecuali jenis dormitory dilengkapi kamar mandi peribadi, TV skrin leper dan fasiliti asas biasa. Jangan was-was mahu menjamu selera di sini kerana makanan yang disediakan adalah halal. 

Baymen Hotel hanya berjarak 7 minit berjalan kaki dari Stesen Utama Taipei dan berhampiran dengan  pasar malam Ningxia. Hotel ini adalah pilihan yang popular untuk kebanyakan pelancong tempatan dan asing. Ia menawarkan bilik standard dan dormitory, yang sangat bersih berbaloi dengan harga serta nilai servis yang boleh dibanggakan. Kecuali untuk jenis dormitory, setiap bilik dilengkapi dengan bilik mandi peribadi, TV layar datar dan kemudahan asas.

Klik : https://www.facebook.com/baymanhotel2017

Shilin Ding 24H Hotel

Shilin Ding 24H Hotel berada berhampiran dengan Shilin Night Market, hotel ini menawarkan bilik-bilik penginapan bajet rendah dengan fasiliti asas yang selesa, bersih dan selamat.  Ia mudah untuk diakses dan tidak jauh dengan Stesen Shilin iaitu kira-kira 10 minit berjalan kaki. 

Satu fakta yang anda mesti tahu ialah, ia mempunyai dapur yang disahkan halal oleh The Chinese Muslim Association dan ini bermakna tiada sebarang makanan dan minuman yang mengandungi alkohol tersedia untuk tetamu. Selain itu, setiap bilik juga dilengkapi dengan sejadah dan Al-Quran bagi memudahkan urusan ibadah umat Islam. Lebih menggembirakan bilik air juga dilengkapi bidet.

Klik :https://inn-2028.business.site

Makanan halal ada di mana-mana

Kira-kira 14 tahun lalu, adalah sukar untuk mendapatkan makanan halal di Taiwan umumnya namun hari ini, negara itu semakin terbuka mengatur program untuk pelancong pelbagai negara termasuk mereka yang beragama Islam. Pengusaha hotel dan restoran yang dahulunya janggal dengan perkataan ‘halal’ kini semakin berusaha ke arah itu dan walaupun tidak sepenuhnya mengamalkan sumber halal, mereka mereka dilihat sudah menunjukkan keterbukaan terhadap konsep ‘mesra Muslim’.  

Bagi pelancong yang mahu merasai juadah yang disediakan oleh penduduk Muslim Taiwan, sebenarnya terdapat pelbagai restoran halal sudah lama bertapak di sini sama ada yang didirikan sendiri oleh masyarakat Taiwan atau penduduk luar negara yang sudah mendapat kerakyatan di situ. 

Kunming Islamic Food Restaurant 

Pada asalnya, restoran ini hanya menyajikan hidangan halal citarasa Yunan, namun dari tahun ke tahun, menu-menunya telah ditambah baik dan kini turut menawarkan sajian Timur Tengah, India dan pelbagai lagi dengan harga sangat berpatutan. 

Restoran ini terletak di Fuxing North Road dalam daerah Zhongsang dan tidak jauh daripada Stesen Nanking. Antara menu favourite di restoran ini ialah kari ayam dan kentang bercitarasa India, musakka (daging lembu yang dimasak dengan terung, paprika hijau dan tomato), ayam tandoori dan juga udang bercili.

Klik: https://kunming-islamic-restaurant.business.site

Delhi X Press

Restoran ini mendapat pengiktirafan halal. Buat masa ini, Delhi XPress boleh dikunjungi di dua lokasi berbeza iaitu di Breeze Taipei Station dan di Pasar Malam Ningxia. Dimiliki oleh seorang wanita dari Maghribi. Menu utama mereka ialah  makanan India yang pedas tetapi sangat menyelerakan.

Klik :www.facebook.com/HalalDelhiXPress

Pada masa ini, terdapat lebih daripada 70 restoran dan hotel mesra Muslim di Bandar Taipei. klik pada pautan untuk meneroka lebih banyak kedai halal yang berkualiti tinggi: https://eng.taiwan.net.tw/m1.aspx?sNo=0020323&keyString=%5e63%5e

Jadi tunggu apa lagi, jomlah  ke Taipei! Segalanya ada di sana!

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *