Wed. Apr 24th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Dasar Kebudayaan Negara Pemangkin Sosio Ekonomi Keluarga Malaysia

2 min read

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada 26 Oktober 2021 telah melancarkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob dalam ucapan pelancaran DAKEN 2021 berkata dasar ini menjadi entiti penting dalam konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Meskipun negara berjaya melakar kecemerlangan melalui Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang digubal pada tahun 1971, namun usianya telahpun mencecah separuh abad. Sehubungan itu, demi memastikan kelestarian budaya terus terjamin, penggubalan DAKEN 2021 adalah tepat pada masanya bagi terus memperkasakan budaya negara.

Menurut beliau, DAKEN merupakan sebuah dokumen holistik, yang bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara. Inisiatif tersebut seiring menjadikan sektor ini sebagai pemangkin sosio- ekonomi Keluarga Malaysia.

DAKEN 2021 menggariskan wawasan menjadikan Malaysia ‘Negara Maju Rakyat Berbudaya’. Ia digubal berlandaskan lima prinsip yang terdapat dalam Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh.

“Kerajaan berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan DAKEN 2021 ini sebagai usaha menjulang dan memartabatkan seni, budaya dan warisan negara. Justeru, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar mendukung dasar ini supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara,” jelas YAB Dato’ Sri Ismail Sabri.

Tujuh (7) teras utama yang digariskan di bawah DAKEN 2021 adalah berkaitan pelaksanaan seni, budaya dan warisan pada masa hadapan yang merangkumi; Budaya Nilai Tinggi, Keharmonian Masyarakat, Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan Budaya, Pembangunan dan Pengembangan Budaya, Pemerkasaan Budaya, Penjanaan Ekonomi Kebudayaan dan Kecemerlangan Budaya.

Dasar ini akan dilengkapi dengan tiga puluh sembilan (39) Strategi dan sembilan puluh lima (95) Pelan Tindakan bagi tempoh pelaksanaan selama lima (5) tahun (2021-2025). Pelaksanaan DAKEN melibatkan empat (4) institusi penting iaitu institusi kekeluargaan, institusi pendidikan, institusi kemasyarakatan dan institusi perkhidmatan.

Sementara itu, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri yang hadir semasa pelancaran menyatakan DAKEN 2021 akan menjadi inspirasi dan iltizam kepada MOTAC untuk memastikan kelestarian seni, budaya dan warisan dapat diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

DAKEN berperanan untuk mencorak seni, budaya dan warisan negara agar lebih terarah dan kompetitif pada masa depan. DAKEN turut akan menjadi sumber rujukan dan dijadikan garis panduan dalam membina strategi dan pelan tindakan oleh kementerian – kementerian dan agensi berkaitan.

“DAKEN ini turut berpayungkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Ringkasnya, dasar ini adalah milik kita bersama yang perlu kita fahami, hayati dan hargai. Dasar ini tidak akan meminggirkan mana-mana pihak selari dengan agenda pembangunan sosio-ekonomi negara. Ini bermakna rakyat bebas untuk sama-sama mengambil bahagian dalam usaha-usaha merealisasikan agenda DAKEN 2021,” ujar YB Dato’ Sri Hajah Nancy.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *