Fri. Apr 19th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Perkhidmatan Penerbangan Ke Langkawi Dilancarkan Qatar Airways

2 min read

Qatar Airways terus melebarkan sayapnya di rantau Asia Tenggara dengan mengumumkan ia akan melancarkan perkhidmatan penerbangan ke Langkawi, destinasi ketiga bagi syarikat penerbangan ini di Malaysia. Sebagai permulaan, perkhidmatan baharu ini akan beroperasi sebanyak empat kali seminggu melalui Pulau Pinang dan akan bermula pada 15 Oktober 2019. Perkhidmatan ini kemudiannya akan ditambahkan kepada lima kali seminggu, bermula 27 Oktober 2019.

Pencinta alam akan berpeluang untuk menikmati keindahan Langkawi, sebuah gugusan kepulauan yang terdiri daripada 99 pulau yang indah, dikelilingi oleh Laut Andaman di pantai barat Malaysia. Para pengunjung dapat menikmati perairan biru yang bersinar serta pantai-pantai yang mempesonakan. Langkawi – ‘Permata Kedah’ – adalah kaya dengan hutan hujan tropika dan paya bakau yang penuh dengan flora dan fauna. Bukan itu sahaja, Langkawi turut dinobatkan sebagai ‘Pulau Keempat Terbaik di Asia’ oleh Condé Nast Travellers’ Choice 2018.

Naib Presiden Kanan Qatar Airways Asia Pasifik, En. Marwan Koleilat berkata, “Kami dengan berbesar hati mengumumkan untuk melancarkan perkhidmatan terus ke Langkawi, salah sebuah destinasi Asia Tenggara yang sememangnya mengagumkan. Dengan empat penerbangan mingguan yang menghubungkan Doha, Langkawi dan Pulau Pinang, para penumpang akan dapati penerbangan yang lebih fleksibel bersama Qatar Airways ke Malaysia. Penambahan penerbangan terus ke Langkawi juga membuktikan komitmen kami untuk menawarkan para pelancong dari Malaysia keterhubungan yang diperkaya melalui rangkaian global kami yang ekstensif dan meliputi lebih daripada 160 buah destinasi. Kami mengalu-alukan kedatangan penumpang-penumpang kami untuk menikmati keindahan Langkawi.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, “Perkembangan perkhidmatan Qatar Airways yang kini meliputi Lapangan Antarabangsa Langkawi membuka lebih banyak peluang pelancongan di Malaysia. Para pelancong kini boleh mengalami sendiri budaya unik dan pemandangan yang indah Langkawi, di samping melakar memori yang bermakna di Langkawi Global Geopark UNESCO, salah satu permata tropika di Malaysia.

Qatar Airways akan terbang sebanyak lima kali seminggu ke Langkawi, berhubung melalui Pulau Pinang dengan pesawat Airbus A330 yang canggih, di mana ia terdiri daripada 24 bilangan kerusi dalam Kelas Perniagaan dan 236 kerusi dalam Kelas Ekonomi, dengan ruang kabin yang luas dan ruang dalaman yang direka khas.

Qatar Airways menghubungkan para penumpang dari Malaysia ke lebih daripada 160 destinasi merentasi enam benua melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha. Selain ke Langkawi, syarikat penerbangan rasmi negara Qatar ini akan melancarkan penerbangan ke destinasi-destinasi lain yang menarik pada tahun 2019, termasuk Lisbon, Portugal; Malta; Rabat, Maghribi; Davao, Filipina; Izmir, Turki; dan Mogadishu, Somalia.

Qatar Airways telah dinobatkan sebagai ‘Kelas Perniagaan Terbaik Dunia’ di “2018 World Airline Awards” yang diuruskan oleh organisasi penarafan pengangkutan udara antarabangsa, Skytrax. Ia juga berjaya memenangi kategori ‘Tempat Duduk Kelas Perniagaan Terbaik,’ ‘Syarikat Penerbangan Terbaik di Timur Tengah,’ dan ‘Lounge Syarikat Penerbangan Kelas Pertama Terbaik Dunia.’

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *