Thu. Apr 25th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

PELUANG PELANCONGAN ISLAM DALAM PEMULIHAN DESTINASI ANTARABANGSA PADA PASCA PANDEMIK

3 min read

PUTRAJAYA: Memandangkan ekonomi dan industri pelancongan beransur pulih selepas hampir dua tahun akibat wabak COVID-19,  Islamic Tourism Centre (ITC) menyarankan Pelancongan Islam sebagai langkah ke hadapan untuk destinasi pelancongan global. ITC akan menjadi tuan rumah World Islamic Tourism Conference (WITC) dari 15-17 November untuk menonjolkan peluang yang ada dalam segmen Pelancongan Islam dalam tempoh pasca pandemik.

Dato’ Dr. Mohmed Razip Haji Hasan yang merupakan Ketua Pengarah ITC berkata: “Persidangan ini penting kerana ia mengetengahkan tentang sektor Pelancongan Islam yang sedang berkembang dan bagaimana Pelancongan Islam boleh menjadi strategi penting ke arah pemulihan ekonomi dan destinasi pelancongan global. Kami melihat destinasi di seluruh dunia sedang mendapatkan momentum dan menyusun strategi untuk membuka semula sempadan negara kepada pelancong. Jadi, jangan ketepikan Pelancongan Islam dan penjenamaan Mesra Muslim untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong.”

YB Dato Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia juga akan menyampaikan ucaptama pada hari perasmian WITC pada 15 November.

“Kami merebut peluang ini untuk mewar-warkan mesej bahawa pasaran pelancong Muslim merupakan pasaran tumpuan yang berpotensi besar untuk destinasi global yang berminat untuk merancakkan semula industri pelancongan mereka. Perbincangan dan diskusi akan berkisar tentang memahami keperluan baharu pelancong khususnya harapan pelancong Muslim, serta inovasi dan idea baharu yang dapat memenuhi keperluan tersebut dan memacu industri pelancongan ke hadapan,” tambahnya.

“Apa yang menarik ialah WITC akan menyampaikan suara dan perspektif masyarakat antarabangsa mengenai perkara itu. Jadi, anda akan mendengar daripada pegawai dan duta kerajaan, lembaga pelancongan destinasi global yang telah menggunakan strategi ini, universiti yang menjalankan penyelidikan meluas dalam industri pelancongan, khususnya Pelancongan Islam, dan juga ahli media. Mereka telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan perspektif mereka mengenai persoalan tentang pasaran pelancongan Muslim yang mempunyai potensi besar. Penggiat industri pelancongan tidak boleh lepaskan peluang ini,” kata Dato’ Dr. Mohmed Razip.

WITC ialah persidangan antarabangsa yang menampilkan topik-topik yang menarik dan barisan penceramah yang hebat dan disegani daripada sektor kerajaan dan majlis bandar raya, komuniti diplomatik, pemilik perniagaan, industri pelancongan, ahli akademik dan media. Persidangan ini akan dianjurkan dalam format hibrid dengan bilangan delegasi terhad di lokasi World Trade Centre, Kuala Lumpur, manakala peserta tempatan dan antarabangsa lain akan dapat menyertai melalui platform Zoom dalam talian.

Perbincangan dan pembentangan mengenai Pelancongan Islam dan semua aspeknya akan berlangsung selama tiga hari dan mengandungi tujuh segmen:

  • Ambassadors and Leaders Forum (Forum Duta dan Pemimpin) Tajuk: The Economics of Islamic Tourism – What’s in store after Covid-19 (Ekonomi Pelancongan Islam – Peluang yang ada selepas Covid-19)
  • Emerging Islamic Tourism Destinations (Destinasi Pelancongan Islam Baharu) Presentations by key Muslim-Friendly tourist destinations (Pembentangan oleh destinasi pelancongan Mesra Muslim utama) i.e. Japan, Taiwan, Thailand, Turkey, and Malaysia
  • Domestic Tourism Forum (Forum Pelancongan Domestik) Tajuk: Domestic Tourism Revival for the Muslim Market
  • (Kebangkitan Pelancongan Domestik untuk Pasaran Muslim)
  • Islamic Tourism Business Forum (Forum Perniagaan Pelancongan Islam) Tajuk: Destination Readiness for Global Muslim-friendly Tourism (Persediaan Destinasi untuk Pelancongan Mesra Muslim Global)
  • Islamic Tourism Lifestyle (Gaya Hidup Berkonsepkan Pelancongan Islam) Presentations by an international media, a tourism association, and other tourism industry players (Pembentangan oleh media antarabangsa, persatuan pelancongan dan pemain industri pelancongan)
  • Islamic Tourism Scholars Forum (Forum Ilmuwan Pelancongan Islam) Tajuk: The Future of Islamic Tourism  (Masa Depan Pelancongan Islam)
  • Islamic Tourism Urban Forum (Forum Bandar Pelancongan Islam) Tajuk: Challenges in City Recovery from the Pandemic for Tourism Confidence (Cabaran dalam Pemulihan Bandar daripada Pandemik untuk Keyakinan Pelancongan)

“ITC telah menerajui Pelancongan Islam sejak ia ditubuhkan pada 2009, dan usaha kami adalah untuk mengukuhkan ekosistem pelancongan, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penggiat industri pelancongan antarabangsa untuk menerokai pasaran ini, menjalankan penyelidikan mengenai Pelancongan Islam, dan mewujudkan garis panduan dan rangka kerja yang boleh dilaksanakan oleh pihak industri untuk menjadikan produk dan perkhidmatan mereka menarik kepada pasaran pelancong Muslim,” jelas Dato’ Dr. Mohmed Razip.

Beliau berkata lagi: “WITC adalah lanjutan daripada usaha kami untuk menonjolkan Pelancongan Islam dan penjenamaan Mesra Muslim ke arah pelancongan mampan dari segi pemulihan ekonomi, peluang pekerjaan, pembinaan kapasiti industri pelancongan, dan pemeliharaan alam sekitar, warisan dan budaya .”

“Kami yakin, insya Allah dengan usaha yang berterusan ini, komitmen kuat Malaysia dalam mempromosikan Pelancongan Islam kepada dunia akan terus diiktiraf di dalam dan luar negara. Oleh kerana segmen ini saling berkaitan dengan perniagaan dan pelbagai komuniti, hasilnya adalah penting bagi negara dan pemain industri pelancongan memandangkan kita sedang menyesuaikan diri dengan norma baharu,” katanya.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *