Fri. Apr 26th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

PELANCONGAN ISLAM MEMBUKA JALAN KE ARAH PEMULIHAN EKONOMI DAN INDUSTRI PELANCONGAN

3 min read


PUTRAJAYA, MALAYSIA, 15 NOVEMBER 2021: Dengan sejumlah 1.8 bilion penduduk umat Islam di seluruh dunia, menerokai pasaran pengguna Islam dijangka menjadi antara strategi utama untuk meningkatkan industri pelancongan dan ekonomi yang terjejas akibat wabak COVID-19, dengan Pelancongan Islam berpotensi memimpin ke arah pencapaian ini.

YB Dato Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia menyampaikan ucaptama kepada peserta 2nd World Islamic Tourism Conference (WITC) anjuran Islamic Tourism Centre. Beliau berkata: “Pelancongan Islam dan konsep Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim adalah satu penjenamaan yang berkesan dan cara pemasaran untuk menarik pasaran Muslim dalam situasi pelancongan baharu, di mana kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaan.”

Dalam meneroka pasaran pelancong Muslim, YB Dato Sri Hajah Nancy mencadangkan tiga strategi utama iaitu inovasi, pengetahuan dan kerjasama.

Beliau berkata penggiat industri pelancongan perlu inovatif dalam pembangunan produk dan pembinaan kapasiti bagi mencipta produk dan perkhidmatan yang sesuai untuk pelancong Islam. “Dengan menyesuaikan produk dan perkhidmatan sedia ada untuk memenuhi keperluan pasaran pelancong Muslim dan menggunakan standard dan pensijilan yang memberi jaminan kepada pengguna Muslim, sesebuah destinasi boleh menyediakan diri mereka dengan lebih baik untuk memenuhi kehendak pasaran.”

Pengetahuan tentang pasaran pelancong Muslim juga penting untuk memahami keperluan am dan unik, serta tingkah laku dan kehendak mereka dalam membuat pilihan percutian. Beliau menganjurkan kebaikan latihan, peningkatan kemahiran, dan penyelidikan sebagai persiapan penggiat industri dalam memahami pasaran tersebut, yang seterusnya boleh membantu pembangunan dan kepelbagaian produk.

Beliau juga menekankan kepentingan bekerjasama, dimana ia adalah strategi untuk berkembang maju dalam norma baharu. “Menjalinkan perkongsian akan menggabungkan kekuatan pihak terbabit untuk bergerak ke hadapan dengan lebih kukuh. Bagi penggiat industri pelancongan, kerjasama sebegini boleh meningkatkan usaha pemasaran dan penjenamaan sambil mewujudkan ekosistem yang lebih kukuh untuk memenuhi kehendak pasaran pelancong Muslim dengan berkesan.”

Beliau berkata: “Skop Pelancongan Islam amat luas dan hubungannya dengan bidang sosio-ekonomi yang lain membuka begitu banyak peluang untuk semua orang. Malah, Pelancongan Islam adalah bidang yang belum diterokai sepenuhnya dan berpotensi dalam memajukan Ekonomi Islam secara keseluruhan. Memahami pasaran pelancong Muslim dan keperluan mereka, seterusnya membuat persiapan yang sewajarnya, membuka jalan untuk aliran pendapatan baharu atau penjanaan pendapatan daripada pasaran yang berpotensi menguntungkan.”

Beliau optimis pelancong Islam akan terus melancong apabila sempadan dibuka semula secara beransur-ansur. Pada kemuncak pelancongan sebelum wabak COVID-19, perbelanjaan pelancong Muslim berjumlah USD194 bilion, dan dijangka mencecah USD208 bilion pada 2024, dengan mengambil kira kesan COVID-19.

“Jumlah ini amat besar walaupun industri pelancongan tergendala buat sementara baru-baru ini,” kata YB Dato Sri Nancy, dan beliau menggalakkan semua penggiat industri tidak kira dalam apa jua sektor ekonomi — pelancongan, kewangan, perubatan, media dan hiburan, perubatan, makanan dan minuman, teknologi, telekomunikasi, pengangkutan, pendidikan, peruncitan, dsb. — untuk menyertai dan mendapat manfaat daripada ekonomi Pelancongan Islam.

“Di sini wujudnya potensi untuk menjana pendapatan dengan usaha untuk merapatkan jurang yang sedia ada antara permintaan dan penawaran produk dan perkhidmatan pelancongan Mesra Muslim di seluruh Ekonomi Islam.”

WITC akan terus berlangsung pada 16 dan 17 Nov dengan pelbagai perbincangan menarik. Antaranya ialah pembentangan khas oleh Prof. Dr. Jon Wilson, Pengarah – Perniagaan Antarabangsa dari Regent’s University London, UK, pada 17 November yang akan membincangkan kepentingan penjenamaan halal untuk industri pelancongan.

Para peserta berpeluang memenangi hadiah menarik daripada Taiwan Tourism, Bureau KL Office, Mardhiyyah Hotel & Suites, Lotus Desaru Resort & Spa, Ikhlas dan Teratak Spa. Daftar untuk persidangan dalam talian di: https://us02web.zoom.us/meeting/register/tZ0pf-itqj8sHdwlRgAx10Etody3CuXfYz9V

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *