Fri. Apr 19th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Mulakan Pembukaan Sektor Pelancongan Secara Bersasar

4 min read

Program MM2H, MICE & Pelancongan Kesihatan Diberikan Tumpuan

oleh | Azlie Halim

Setelah hampir setahun sektor pelancongan melalui detik sukar disebabkan pendemik COVID 19, satu inisiatif segera perlu diambil bagi memastikan sektor ini tidak terus mati.  Keadaan lebih parah apabila banyak pengusaha produk pelancongan, hotel serta agensi pelancongan yang terpaksa gulung tikar disebabkan tiada sumber pendapatan.

Namun masih ada juga penggiat industri pelancongan yang berjiwa kental masih lagi bersemangat memperjuangkan perniagaan mereka dengan mempelbagaikan produk serta perkhidmatan mereka demi meneruskan kelangsungan hidup sementara menunggu sinar baru dalam sektor pelancongan.

Meskipun Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya telah merancang pelbagai strategi  dengan peruntukan lebih RM200 juta menerusi Pelan Stimulus Pelancongan, ia masih belum cukup memberikan nafas lega kepada penggiat industri pelancongan.

Bagi pengusaha pelancongan yang mengharapkan sumber pendapatan menerusi kemasukan pelancong antarabangsa, harapan ini hanya tinggal harapan sehinggalah pintu sempadan kita dibuka untuk pelancong asing. 

Sektor pelancongan harus diurus secara bijaksana bagi memberikan impak yang positif dalam apa juga situasi. Sehingga kini kita tidak boleh menjangkakan bilakah pintu sempadan kita akan dibuka dan sektor pelancongan kita boleh beroperasi sepenuhnya. 

Bagi memastikan sektor pelancongan terus relevan dalam menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara, beberapa tindakan segera perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan soal keselamatan dan pandemik Covid 19 tetap terkawal.

Seperti sektor ekonomi yang lain juga, sektor pelancongan harus mula dibuka secara bersasar. Segmen pasaran pelancongan yang berisiko rendah dan memberikan impak tinggi kepada pendapatan negara harus dibuka secara berperingkat mengikut SOP yang bersesuaian.

Program Malaysia My Second Home (MM2H), MICE (Meeting, Incentive, Convention & Exhibition) dan Pelancongan Kesihatan adalah antara segmen pelancongan yang harus diberikan keutamaan dalam usaha kita untuk membuka semula pintu sempadan kita untuk kemasukan pelancong antarabangsa. 

Program MM2H umpamanya sebelum ini telah menyumbang pendapatan sebanyak RM18.345 billion kepada negara sejak ia diperkenalkan. Pendapatan ini diperoleh daripada pelbagai pembelian seperti hartanah, deposit tetap, perubatan, pendidikan dan perbelanjaan lain.

Namun sejak pertengahan tahun lepas Kerajaan Malaysia telah membekukan visa Malaysia My Second Home (MM2H)  tanpa menetapkan tarikh bilakah program ini akan dapat dilaksanakan semula. Menurut sumber, Kerajaan  sedang meneliti dan membuat kajian terperinci terhadap program ini dengan mengambil kira faktor keselamatan dan sumbangannya kepada ekonomi negara.

Program ini tidak seharusnya dibiarkan sepi sehingga negara mengalami kerugian yang besar akibat daripada kegagalan melaksanakan program ini secara proaktif.

Menerusi MM2H ini, mereka yang menyertai program ini lebih mudah dipantau dalam memastikan mereka mengikuti SOP yang disediakan dan dalam masa yang sama lebih banyak pelaburan dan peluang dapat disumbangkan kepada ekonomi negara. Sekiranya soal keselamatan yang diutamakan dalam program ini, kerajaan boleh menetapkan untuk memberi kebenaran kepada negara-negara tertentu yang berisiko rendah untuk warganya menyertai program ini. 

Selain MM2H, segmen pasaran MICE (Meeting, Incentive, Convention & Exhibition) juga harus diberikan perhatian sewajarnya. Sejak tahun 2010, sektor ini telah berjaya  menyumbang lebih RM16 bilion kepada pendapatan negara menerusi program persidangan, insentif, konvensyen dan pameran sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Sehingga kini lebih 2,608 acara yang melibatkan seramai 1,322,866 delegasi telah meletakkan MICE sebagai antara penyumbang terbesar dalam sektor pelancongan negara (*sumber Malaysia Convention & Exhibition Bureau -MyCEB). 


Segmen pasaran MICE berupaya menarik kehadiran pelancong perniagaan secara berkumpulan dan pergerakkan pelancong perniagaan mengikut jangka waktu yang ditetapkan. Dengan menetapkan SOP yang bersesuaian, kumpulan pelancong perniagaan ini lebih mudah dipantau dan setiap perjalanan program mereka telah disusun secara rapi. Menerusi SOP yang ketat risiko penyebaran wabak Covid 19 menerusi segmen MICE ini dapat dikawal dengan baik dan dalam masa yang sama dapat menyumbang pendapatan ekonomi yang besar kepada negara.

Segmen pelancongan kesihatan juga adalah antara penyumbang terbesar kepada negara. Industri pelancongan kesihatan Malaysia turut mencatatkan 17 peratus Kadar Pertumbuhan Kompaun Tahunan (CAGR) antara 2015 hingga tahun lalu dan membawa kesan kepada ekonomi sebanyak RM7 bilion pada tahun 2019.

Segmen pelancongan kesihatan ini agak bernasib baik kerana Kerajaan telah membenarkan pelancong asing untuk mendapatkan rawatan kesihatan di negara ini. Bagaimanapun, pelawat asing perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat antaranya dikuarantin selama 14 hari di hospital dan sudah menjalankan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) sebelum tiba ke Malaysia.

Kehadiran 921,000 pesakit luar negara mendapatkan rawatan di Malaysia menerusi inisiatif pelaksanaan ‘travel bubble’ (gelembung perjalanan) kepada pesakit dari negara zon selamat untuk mendapatkan rawatan di negara ini telah menyumbang kepada lebih RM3 bilion pendapatan negara tahun lalu.

Pencapaian cemerlang ini telah meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan dan penjagaan kesihatan terbaik dunia pada September lalu pada majlis Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 anjuran International Medical Travel Journal (IMTJ). 

Selain membuka pintu sempadan negara secara bersasar untuk segmen pelancongan berpotensi bagi kemasukan pelancong asing, segmen pasaran untuk pelancong tempatan ke luar negara juga harus dibuka secara bersasar.

Untuk peringkat permulaan, kerajaan harus menilai semula untuk membenarkan segmen pasaran Umrah dan Haji untuk dibuka semula.  Selain memberi peluang kepada umat Islam di negara ini menunaikan ibadah Umrah dan Haji, ia juga sebenarnya dapat membantu menyelamatkan agensi-agensi pelancongan tempatan yang menguruskan pakej Umrah & Haji untuk terus menjana pendapatan mereka yang telah hampir setahun terjejas. 

Pihak pengurusan pakej Umrah dan Haji tentunya akan menarik nafas lega sekiranya sektor ini dibuka semula dengan kawalan SOP yang ketat dan bersesuaian demi menjaga keselamatan pelanggan mereka. Mudah-mudahan dengan adanya jemaah Umrah dan Haji  kita yang berpeluang ke Tanah Suci, doa mereka untuk kesejahteraan dan keselamatan negara Malaysia yang tercinta akan termakbul di bumi yang berkati itu.

Apa yang pasti kita telah melakukan apa yang terbaik untuk memastikan keselamatan dan kestabilan ekonomi negara kita terus terjamin. Kerajaan dengan usaha mereka, rakyat dengan usaha mereka. Masing-masing telah memainkan peranan mereka. Selebihnya kita bertawakal dan serahkan kepada Tuhan yang Maha Esa.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *