Sat. Apr 20th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Mencari Ilham di Rebungan Resort

2 min read


“Pulau Langkawi memang terkenal dengan pantainya yang menawan. Jika diberi pilihan, tentu ramai yang memilih untuk menginap di hotel yang berdekatan dengan pantai. Kata mereka, bunyi hempasan ombak yang berlagu itu cukup menenangkan”

Tapi pernahkan anda terfikir, untuk mencuba sesuatu yang baru pabila bercuti di Langkawi. Cuba anda semua lari dari persepsi kalau bercuti di pulau, mesti menginap di hotel yang ada pantai. Mungkin untuk percutian yang akan datang, anda boleh menginap di Rebungan Resort, sebuah resort berkonsepkan Agro Tourism yang baru dibuka pada Disember 2020 yang lalu. Rebungan Resort terletak di Mukim Ayer Hangat, Langkawi. 

 Suasana hening, nyaman, tenang, segar dan damai. Itu perasaan awal dirasai apabila sampai ke resort ini. Merentasi jalan tar untuk ke lobi, kelihatan kiri dan kanan resort dipenuhi dengan pokok buah-buahan manakala di tepinya terdapat sebatang anak sungai kecil mengalir perlahan. Tambah mengujakan apabila kelihatan tersergam indah deretan vila penginapan yang kemas. Sewaktu menunggu urusan daftar masuk, saya dihidangkan dengan jus durian belanda. Menurut Wani, jus tersebut dibuat menggunakan buah durian belanda yang dipetik di dalam kawasan resort. Resort ini hanya 20 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi namun ia sedikit jauh dari Pekan Kuah. 

Walaupun masih baru, landskap di resort ini tampak kemas. Lobinya sedikit kecil namun ruang restoran agak luas dan berkonsepkan terbuka. Pabila angin bertiup membawa udara yang sejuk, terasa cukup mendamaikan. Keheningan hutan dengan kicauan burung, unggas dan panorama indah berbukit-bukau serta udara segar seolah-olah seperti berada di desa nan permai. Rebungan Resort mempunyai sembilan unit vila yang terdiri daripada vila satu bilik dan dua blik. Selain vila, terdapat juga 30 bilik yang terdiri dari satu dan dua bilik. penginapan. Setiap vila dilengkapi dengan televisyen skrin rata, wifi percuma, kelengkapan membuat kopi dan teh serta mini bar. Sebuah kolam renang juga terletak bersebelahan dengan restoran. Sambil berendam bersama ahli keluarga, boleh memesan minuman atau makanan daripada restoran di sini. 

Antara tarikan pelancongan yang berdekatan dengan Rebungan Resort adalah Perkampungan Ayer Hangat, Kilim Geopark dan Pantai Tanjung Rhu yang terkenal. Resort ini sesuai untuk percutian keluarga, ‘reunion’ bersama rakan, majlis hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan berbulan madu. Tidak kira saiz kumpulan, penginapan disertakan dengan minum petang, makan malam serta sarapan sambil menghirup bayu bertiup lembut menyegar dan mendamaikan.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *