Fri. Apr 26th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Langkawi Lokasi DE Rantau Kedua di Malaysia

3 min read

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa telah melancarkan lokasi kedua program DE Rantau di Pulau Langkawi. Dengan pelancaran destinasi kedua ini selepas Pulau Pinang, diharap ia dapat memperluaskan lagi destinasi pilihan nomad digital untuk melancong sambil bekerja di Malaysia di samping memacu pendapatan komuniti setempat dan mendorong pertumbuhan ekonomi digital negara. Sejajar dengan usaha pemulihan sektor pelancongan, Pulau Langkawi adalah destinasi program DE Rantau kedua yang tepat buat warga nomad digital asing dan tempatan selepas Pulau Pinang yang telah dilancarkan pada 13 September 2022 yang lalu di bawah Program Mangkin Digital Malaysia (PEMANGKIN). Ia bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pilihan utama warga nomad digital asing dan menggalakkan mobiliti dalam kalangan warga professional digital antarabangsa dan pada masa yang sama memperkasakan sektor pelancongan negara di mata dunia.

“Kerajaan juga yakin dengan kehadiran nomad digital ke pusat pelancongan yang terkenal sebagai pulau bebas cukai ini akan menyokong peningkatan ekonomi pelbagai sektor, sekaligus dapat memacu pertumbuhan ekonomi digital negara ini di mana kerajaan menjangkakan program DE Rantau ini akan menyumbang sebanyak RM4.8 billion ke dalam ekonomi negara menjelang tahun 2025,” katanya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang menerajui inisiatif ini, mewujudkan ekosistem berdaya maju bagi mendukung gaya hidup nomad digital yang menginginkan keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan. Sejak pembukaan Pas DE Rantau Nomad pada 1 Oktober lalu, MDEC telah menerima lebih daripada 2000 permohonan yang telah dikemukakan atas talian. Pas Lawatan Ikhtisas berkenaan adalah untuk memudahkan nomad digital warga luar negara yang layak untuk menetap dan bekerja di Malaysia untuk tempoh 12 bulan bersama pasangan yang sah dan anak masing-masing. MDEC juga telah meluluskan 113 permohonan untuk menjadi Hab DE Rantau di Langkawi. Mereka ini terdiri daripada pengusaha dan peniaga tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz memberitahu berdasarkan maklumbalas awal yang diterima menerusi program ini, Ia jelas menunjukkan daya tarikan kuat Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan. MDEC akan terus berusaha untuk memastikan kejayaan program DE Rantau dengan terus bekerja rapat dengan semua pemegang taruh dalam ekosistem. Maklum balas yang memberangsangkan itu menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi dalam kalangan nomad digital terhadap Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan di rantau ini berikutan perkhidmtan, kemudahan dan juga fasiliti yang ditawarkan menepati keperluan. Para pemain industri juga akan turut menerima manfaat dari inisiatif DE Rantau ini.

Seiring dengan gaya hidup di hujung jari menerusi penggunaan peranti digital menerusi program ini, K-KOMM bersama MDEC turut memperkenalkan applikasi telefon pintar, DE Rantau Platform. Applikasi ini bagi memudahkan kehidupan nomad digital di Malaysia untuk mengakses ekosistem yang lebih progresif dan lengkap, merangkumi tempat penginapan tersedia-nomad dan pelbagai perkhidmtan tempatan dari sektor pelancongan, pengangkutan, e-dagang, e-pembayaran dan perkhidmatan lain. MDEC juga akan menyelia pembangunan hab-hab nomad digital dan ekosistem tempatan agar bersesuaian dengan gaya hidup nomad digital.

“Langkawi memiliki segalanya malah mempunyai nilai keseimbangan dan keunikan tersendiri. Saya a berasa cukup tenang di sini. Suasananya yang mendamaikan membolehkan saya bekerja tanpa tekanan dan memberi seribu satu ilham.. Antara hasil kerja terbaik saya dihasilkan di pulau lagenda ini,” kata Hans Baetsen, seorang professional digital warga Belanda yang kini bekerja secara jarak jauh mewakili sebuah syarikat multinasional kandungan digital dan e-pembelajaran.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *