August 18, 2022

Santai Travel Channel

Konsep Hotel Mesra Muslim Jadi Daya Tarikan

3 min read

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Islamic Tourism Centre (ITC) telah melakar satu lagi pencapaian yang signifikan dalam pembangunan pelancongan Muslim dengan pelancaran logo rasmi bagi Pengiktirafan Penginapan Pelancongan Mesra-Muslim (MFAR). Pengiktirafan ini adalah lanjutan daripada sistem penarafan bintang hotel oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya dan adalah penarafan berkaitan pelancongan Islam yang pertama di dunia yang dikeluarkan oleh badan atau agensi kerajaan. Standard dan akreditasi lain yang terdapat di pasaran adalah dikeluarkan oleh entiti pihak swasta.

Pelaksanaan Pengiktirafan Penginapan Mesra-Muslim akan memberi peluang untuk tidak hanya sekadar menetapkan standard tetapi lebih jauh bagi memasuki pasaran Muslim dan bukan Muslim. Konsep ‘mesra-Muslim’ telah mulai mendapat daya tarikan dikalangan beberapa negara di dunia. Konsep ini memfokuskan pada kepentingan memenuhi keperluan dan kemudahan bagi pelancong Muslim oleh pengusaha hotel seperti kebersihan, penggunaan peralatan mandian, makanan halal dan keselamatan serta juga dari sudut rohani yang dapat ditawarkan oleh pihak hotel.

Pada tahun 2019, Malaysia menerima sejumlah 5.33 juta ketibaan pelancong Muslim, dengan peningkatan 1.45% dari tahun 2018 (5.25 juta) dengan sumbangan sebanyak RM16.72 bilion pendapatan pelancong, dengan peningkatan 0.72% dari 2018 (RM16.60b),” kata YB Dato ‘Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni & Budaya Malaysiapada majlis pelancaran logo MFAR rasmi hari ini di Mövenpick Hotel & Convention Center KLIA.

“Kita mempunyai pilihan untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang diperlukan bagi memenuhi peningkatan jumlah ketibaan pelancong Muslim dari seluruh dunia, serta memenuhi syarat-syarat berdasarkan pemahaman kepercayaan mereka. Dengan mempertimbangkan hal ini, kami telah mengambil satu langkah kehadapan dalam memperluaskan perkhidmatan dengan membuat pendekatan baru di bawah konsep pelancongan mesra-Muslim bagi hotel yang dikenali sebagai Pengiktirafan Penginapan Mesra-Muslim”, tambahnya.

Pengiktirafan Penginapan Mesra-Muslim telah mendapat sokongan yang baik daripada pihak Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA). Sehingga September 2020, ITC telah memberikan pengiktirafan kepada sejumlah 30 hotel di Malaysia sebagai mesra-Muslim (30 hotel pada tahun 2020, 12 hotel pada tahun 2019).

“Pengenalan MFAR oleh ITC adalah merupakan nilai tambah bagi penarafan bintang hotel yang sedia ada oleh MOTAC. Ianya akan mengukuhkan lagi industri pelancongan nasional terutamanya melalui segmen pasaran Pelancongan mesra-Muslim (MFT). “

“Pemilik Hotel dan Tempat Penginapan digalakkan untuk memohon Pengiktirafan Penginapan Mesra-Muslim kerana ia akan membolehkan pengusaha hotel menjana pendapatan yang lebih besar dari pasaran pelancongan Muslim domestik dan menyumbang kepada ekonomi negara. Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak Kerajaan untuk menjadikan industri pelancongan sentiasa dalam keadaan siap siaga ketika kita menyambut kembali pelawat dari segenap pelusuk dunia ke negara kita,” tambahnya.

Majlis pelancaran ini adalah bagi memperkenalkan logo rasmi program Pengiktirafan Penginapan Mesra-Muslim. Logo ini merupakan pengiktirafan atas penjenamaan dengan tujuan memberikan keyakinan, dan keselesaan kepada pelancong Muslim dan merumuskan bahawa pilihan penginapan mereka untuk keperluan percutian atau lawatan perniagaan adalah bersesuaian dengan prinsip Islam. Reka bentuknya adalah dibuat secara sederhana namun ianya ternyata berbeza, dengan keseluruhan penjenamaan bertujuan untuk memberikan pengiktirafan dan pengenalan yang mudah, contonhnya seperti logo ‘Halal’ Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang di gunakan di seluruh dunia.

Sejak bertahun-tahun hingga sekarang, industri pelancongan dunia telah menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam pasaran pelancong Muslim. Berdasarkan laporan bersama yang dilakukan oleh MasterCard dan Crescentrating yang disebut sebagai Indeks Pengembara Muslim Global, terdapat sekitar 140 juta orang Muslim yang membuat perjalanan ke seluruh dunia pada tahun 2019. Jumlah pelancong Muslim dijangka akan mencapai 230 juta pada tahun 2026. Laporan ini yang telah diterbitkan sebelum Pandemik Covid-19, pasaran pengembara Muslim masih dijangkakan akan meningkat walaupun tidak seperti yang jangkaan sebelumnya, setelah pandemik ini dapat dikawal sepenuhnya.

Dengan pelaksanaan MFAR, Malaysia akan menjadi destinasi pilihan oleh pelancong Muslim. ITC juga turut mempunyai program-program di dalam perancangan bagi melengkapkan Pengiktirafan Penginapan Mesra-Muslim yang dijangka dapat menyumbang kepada industri pelancongan Malaysia.

Facebooktwitteryoutubeinstagram
Facebooktwitterredditpinterestmail

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.