Mon. Apr 29th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Kerjasama Strategik foodpanda & AEON

4 min read

Kuala Lumpur : foodpanda Malaysia dan AEON CO. (M) BHD hari ini mengumumkan kerjasama strategik bagi memperluaskan lagi penawaran nilai kepada pelanggan di Malaysia. Melalui kerjasama ini, pengguna foodpanda dapat membeli hampir 13,000 barangan dari 30 gedung, yang terdiri daripada 8 AEON MaxValu, 10 AEON Wellness dan 12 cawangan Daiso di dalam aplikasi tersebut, pada harga mampu milik yang sama seperti di dalam kedai, di mana barang yang dibeli akan dihantar terus kepada pelanggan dalam masa hanya 30 minit.

AEON bertekad untuk terus mengembangkan kehadirannya dalam aplikasi foodpanda bagi memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan dalam talian, dengan rancangan untuk mengembangkan gedung AEON Wellness dan Daiso yang selebihnya. Ini akan memperluaskan lagi jejak perdagangan pantas atau q-commerce AEON sambil membantu melicinkan pengalaman membuat pesanan dan menyediakan perkhidmatan penghantaran terus kepada pengguna.

Usaha ini dijayakan selaras dengan peningkatan aktiviti membeli-belah dalam talian di Malaysia. Dengan kadar penembusan jalur lebar mudah alih sebanyak 132% dan pertumbuhan tahun ke tahun penerimaan e-dagang sebanyak 10.4% direkodkan pada suku pertama 2023, membeli-belah dalam talian telah menjadi salah satu aspek penting dalam kehidupan rakyat Malaysia. Keinginan untuk menjimatkan masa dan mengelak daripada bersusah-payah ketika berulang alik, mencari tempat meletak kenderaan, dan terpaksa beratur panjang di kaunter pembayaran membuktikan bahawa membeli-belah dalam talian akan terus menjadi pilihan pengguna bijak.

AEON, yang memulakan pengoperasiannya dalam foodpanda pada April tahun ini, telah menyaksikan pendapatannya meningkat lebih daripada lima kali ganda pada penghujung Ogos. Pada masa sama, purata saiz bakul pelanggan AEON di dalam platform itu turut meningkat lebih daripada 30%, menunjukkan bahawa mereka semakin yakin dengan keupayaan foodpanda untuk menghantar produk berkualiti AEON dalam jangka masa yang paling singkat.

Sebagai respons kepada kemasukan 39% pelanggan baharu kepada jenama itu, kerjasama strategik AEON dan foodpanda Malaysia memberikan penekanan kepada pilihan masyarakat tempatan yang secara jelas inginkan pengalaman komprehensif membeli-belah dalam talian, yang menawarkan kemudahan dan pelbagai barangan keperluan semuanya dalam satu aplikasi.

“Kerjasama dengan gedung membeli-belah paling ikonik di Malaysia dalam foodpanda menandakan satu pencapaian penting dalam usaha kami untuk menyampaikan pengalaman membeli-belah atas permintaan yang holistik kepada pelanggan kami,” kata Naib Presiden Quick-Commerce foodpanda, Raphael Zennou. “Sebagai perintis q-commerce Asia, kerjasama ini adalah satu lanjutan semula jadi terhadap penawaran barangan runcit foodpanda yang sedia ada. Pelanggan boleh mengakses rangkaian luas produk di hujung jari mereka menerusi kedai-kedai foodpanda, dengan hampir 7,000 kedai lain dan sejumlah 4.7 juta inventori untuk penghantaran barangan keperluan isi rumah yang pantas.”

Dengan ini, rakyat Malaysia kini boleh menikmati pengalaman membeli-belah barangan runcit yang fleksibel dengan foodpanda. Pelanggan juga boleh membuat prapesanan, memilih masa penghantaran mereka, dan mendapatkan cadangan yang diperibadikan berdasarkan kepada pilihan mereka.

“AEON sememangnya sentiasa berada dekat di hati rakyat Malaysia sejak 39 tahun lalu sebagai salah satu peruncit pilihan yang menawarkan barangan segar berkualiti sepanjang tahun pada harga yang konsisten dan mampu milik, di samping memahami kehendak pengguna yang sentiasa berubah,” kata Timbalan Pengarah Urusan dan COO AEON CO. (M) BHD., Naoya Okada pada majlis itu.

“Hari ini, kami meningkatkan komitmen kami untuk membawa kemudahan ke Malaysia menerusi kerjasama kami dengan foodpanda Malaysia, yang turut menjadi bukti kepada potensi kami yang semakin berkembang di negara ini. Ketika ini, AEON mempunyai 2.47 juta ahli AEON. Kami tidak sabar untuk memanfaatkan pangkalan pelanggan foodpanda yang meluas bagi memberikan pengalaman membeli-belah yang serba lancar dan menjimatkan masa kepada rakyat Malaysia, di samping memenuhi janji jaminan harga serupa kami di dalam aplikasi foodpanda dan di gedung.”

Bagi meraikan kerjasama strategik ini, AEON telah menganjurkan majlis pelancaran media di Evo Mall Bangi, yang menempatkan gedung AEON MaxValu, AEON Wellness dan Daiso. Para hadirin mengambil bahagian dalam permainan supermarket sweep menggunakan aplikasi foodpanda bagi memesan produk tertentu, yang mana mereka turut ditugaskan untuk mencari barangan itu sendiri di lorong-lorong dalam pasar raya itu. Ini menunjukkan kemudahan untuk mengakses rangkaian luas barangan runcit, produk kesihatan, dan barangan keperluan isi rumah dengan hanya beberapa klik pada telefon.

Bagi menerapkan budaya Jepun ke dalam kehidupan rakyat Malaysia, 160 beg bertuah tradisional Jepun – fukubukuro – boleh didapati untuk dibeli mulai minggu depan di bawah pilihan foodpanda dalam aplikasi itu. Beg unik ini diisi dengan pelbagai jenis barangan secara rawak daripada AEON MaxValu dan AEON Wellness, yang mana setiap satunya ditawarkan pada harga RM25 setiap beg.

Mengenai foodpanda

foodpanda adalah peneraju platform makanan atas talian di Asia yang berazam untuk membawa pelbagai jenis makanan, barangan keperluan dan banyak lagi kepada para pengguna dengan pantas dan mudah. Dengan kecanggihan teknologi dan operasi yang cemerlang, foodpanda telah menerajui perkembangan quick-commerce (q-commerce) di seluruh rantau ini dengan kerjasama rakan niaga, termasuklah pandamart – perkhidmatan pembelian barangan runcit di atas talian yang akan memberikan lebih banyak pilihan di sebalik jutaan pilihan penghantaran makanan yang lain. foodpanda beroperasi di lebih daripada 300 bandar di seluruh 11 pasaran di Asia Pasifik – Singapura, Hong Kong, Thailand, Malaysia, Pakistan, Taiwan, Filipina, Bangladesh, Laos, Kambodia dan Myanmar. foodpanda dimiliki oleh Delivery Hero, peneraju industri penghantaran makanan di dunia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.foodpanda.com.

Mengenai AEON

AEON CO. (M) BHD. ialah rangkaian Kedai Barangan Am (GMS) dan pasar raya terkemuka di Malaysia, dengan 28 Pasar Raya AEON. 34 Gedung AEON, 9 MaxValu, 62 AEON Wellness dan 43 DAISO di seluruh negara. Ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai menyahut seruan Kerajaan Malaysia untuk membantu memodenkan industri runcit negara, rangkaian gedung AEON berusaha untuk memenuhi keperluan dan keinginan pengguna yang sentiasa berubah.

Berpegang kepada falsafah ‘Pelanggan Didahulukan’ atau ‘Customer First’, pemahaman tinggi syarikat itu tentang keperluan pasaran sasaran, disokong oleh gabungan produk yang optimum, AEON melangkaui jangkaan pengguna dan meningkatkan lagi pengalaman mereka setiap kali mereka membeli-belah.

Dengan semangat nama AEON, yang bermaksud keabadian dalam Latin, matlamat AEON adalah untuk bekerjasama selamanya dengan pelanggan, pembekal, rakan perniagaan, pemegang taruh dan komunitinya bagi mencipta masa depan yang mempunyai pelbagai kemungkinan tanpa had.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila kunjungi:

• Facebook: AEON Retail Malaysia

• Instagram: AEON Retail Malaysia

• Twitter: AEON Retail Malaysia

• LinkedIn: AEON Group Malaysia

• Laman Sesawang: www.aeongroupmalaysia.com

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *