Sat. Apr 20th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Jatuh Hati Dengan Galaxy Note20 Ultra

2 min read


Sudah banyak yang diperkatakan tentang  Samsung Galaxy Note20 Ultra, model premium terbaru telefon pintar Samsung. Ada banyak pembaharuan yang dikatakan telah dilakukan untuk menaiktaraf siri Galaxy Note berbanding dengan model terdahulu. Saya baru-baru ini berpeluang untuk mencuba sendiri apa keistimewaan dan kekurangan siri Galaxy Note20 Ultra. Model ini juga mempunyai sokongan 5G. Katanya dengan adanya Galaxy Note20 Ultra ini, anda sudah boleh menggantikan ia dengan komputer riba. Sebaik mengeluarkan telefon pintar ini daripada kotak, saiznya adalah 6.9” dengan sisi melengkung untuk rasa yang lebih premium. 

Paparan yang terpapar di atas skrin dihasilkan oleh skrin Dynamic AMOLED 2X yang memberikan paparan yang cukup memberangsangkan. Manakala skrin untuk Note20 Ultra mempunyai sokongan kadar segar sehingga 120Hz. Untuk mereka yang tidak tahu apa itu kadar segar, perisian telefon akan menetapkan kadar segar semula skrin berdasarkan applikasi yang digunakan. Untuk keselamatan model ini mempunyai pengimbas cap jari ultrasonik yang terbina dalam yang masih memerlukan nyahkunci biometri. Selama hampir sebulan menggunakan model ini, ia sangat lancar dan tidak menghadapi apa-apa masalah walaupun pemproses yang digunakan adalah Exynos 990. Kelebihan Note20 Ultra ialah ia diberikan 12MB RAM dengan kapasiti storan 256GB, disokong kad mikroSD sehingga 1TB. 

Sebagai editor majalah pelancongan, perkara yang paling saya titikberatkan untuk sebuah telefon pintar adalah keupayaan kameranya. Hasil-hasil gambar yang dirakamkan oleh Note20 Ultra sangat mengagumkan. Tidak perlu lagi saya mengusung kamera yang berat untuk apa-apa sahaja tugasan di luar pejabat. Note20 Ultra pula dilengkapi dengan kamera 108+12+12 MP. Sensor terbesar digunakan lensa sudut lebar. Sensor 12 megapixel pula dipadankan dengan lensa telefoto periskop yang memberikan kemampuan zum optikal sehingga 5X dan zum digital sehingga 50X sahaja. Sedikit kekuranganya adalah bonggol kamera amat besar pada siri ini. 

Walaupun saiznya agak besar, peranti terasa sedap digenggam dengan tangan. Mungkin kerana saya sudah biasa menggunakan model Sony Experia I yang bentuknya lebih panjang namun lebih ringan jika dibandingkan dengan Note20 Ultra. Ada juga perubahan ketara di mana tempat simpanan S Pen diubah ke sisi kiri. Penggunaan S Pen lebih nyata dan padu dengan pergerakan mata pena yang lebih cekap. Galaxy Note20 Ultra mempunyai kapasiti bateri yang besar jadi ia tahan sepanjang hari selama menggunakannya. Malah ia juga tidak terasa panas jika menggunakan dalam tempoh masa yang lama seperti S20 Ultra. Satu lagi yang menyenangkan saya, akhirnya Samsung Note boleh mengimport fail PDF untuk disunting. Pengguna bebas melakukan suntingan ke atas fail PDF ini sebelum kemudiannya disimpan dalam format Samsung Notes, Microsoft Words dan PowerPoint buat pertama kali.

Sejujurnya saya jatuh cinta dengan apa yang ditawarkan oleh siri Galaxy Note20 Ultra. Ia nyata memudahkan kehidupan seharian saya. Terdapat tiga pilihan warna iaitu Mystic Bronze yang merupakan warna kegemaran saya, Mystic Black dan Mystic White. 

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *