August 16, 2022

Santai Travel Channel

Janda Baik Lokasi Cinta Alam Semulajadi

3 min read


Oleh : Azlina Miswan

Terima kasih : Tourism Malaysia Wilayah Timur

Bidaisari Resort adalah sebuah resort yang terletak di Kampung Sum Sum di Janda Baik, Pahang. Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke sini hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit sahaja. Resort ini dibaluti dengan suasana menghijau alam semulajadi dengan pemandangan yang indah di sekitarnya. Terdapat sebuah tasik di dalam persekitaran resort ini. Pelbagai jenis pokok yang berbunga dan mekar, menghiasi landskap resort. Penginapan di sini cukup eksklusif sehingga membuatkan para pengunjung merasa selesa. Bilik penginapan di Bidaisari Resort dilengkapi dengan kemudahan asas. Buat mereka yang ingin lari dari kesibukan kotaraya, resort ini adalah lokasi yang sesuai. Nikmati keindahan alam semula jadi sambil dapat menenangkan fikiran. Lupakan segala masalah yang ada!

Bidaisari Resort juga menawarkan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan termasuklah lawatan ke Deer Farm, menunggang ATV, menunggang kuda dan banyak lagi. Ketika di Deer Farm, anda boleh melihat rusa-rusa yang dipelihara di kaki bukit. Jangan lepaskan peluang untuk memberikan makan kepada rusa-rusa ini.

Pengalaman menunggang ATV melalui laluan yang berliku, curam dan laluan licin di dalam hutan cukup mencabar. Sebelum menaiki ATV, tetamu akan diberi taklimat mengenai keselamatan diri dan cara untuk menunggang kenderaan tersebut. Walaupun pada mulanya agak sukar untuk membawa dan mengendali ATV, namun setelah membiasakan diri, pengalaman mengendali ATV memang berbaloi dan sungguh menyeronokkan. 

Buat peminat kuda, anda boleh singgah di Bidaisari Stables, Janda Baik. Di sini anda akan diberi penerangan tentang kuda. Salah satu aktivi menarik di sini adalah aktiviti menunggang kuda. Aktiviti menunggang kuda itu terbuka kepada orang dewasa dan juga kanak-kanak. Harga yang dikenakan juga amat berpatutan.  

Ladang Buah Tin 

Jika bercuti di Janda Baik, jangan lupa untuk singgah di Ladang Fiq. Ladang itu dipenuhi dengan tanaman buah Tin. Nama saintifik buah tin adalah Ficus carica. Kebiasaanya, ladang buah tin banyak terdapat di negara empat musim seperti Turki, Australia, dan rantau Eropah. Di sini anda boleh belajar tentang kebaikan buah tin dan proses penanamannya di Malaysia. Ladang Fiq dipenuhi dengan pokok buah tin yang tumbuh di atas tanah dan diletakkan di bawah atap yang redup. Konsep rumah hijau digunakan kerana buah tin amat sensitif kepada hujan. Selain itu ia dapat mengelakkan daripada burung dan serangga perosak. Buah tin mempuyai nilai khasiat yang tinggi. Walaupun harga buah tin amat mahal. Kebanyakkan buah tin yang dijual di Malaysia merupakan buah tin yang diimport dari Eropah. Bidaisari Resort kini sedang membina Kafe Fiq berdekatan dengan surau yang akan dibuka pada awal tahun 2022. Lokasi kafe yang akan dibuka ini tidak jauh dari ladang buah tin ini. 

Mereka yang ingin berkhemah boleh mencuba Canopy Villa Glamping Park di Sungai Lampin, Janda Baik. Canopy Villa Glamping Park adalah sebuah kawasan Glamping dengan keluasan lapan ekar. Suasana persekitaran villa tersebut dipenuhi dengan ketenangan serta cuaca di sana yang redup dan mendung menambah lagi rasa sejuk. Jangan lepaskan peluang melihat pemandangan matahari terbenam di sini. 

Lokasi ini amat sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga, rakan-rakan dan boleh dijadikan lokasi untuk membuat majlis-majlis keraian. Kanopi villa tersebut sentiasa kelihatan bersih dan kemas yang akan membuatkan para pengunjung berasa selesa. Pengunjung tidak perlu  berasa bimbang kerana setiap kanopi disediakan kemudahan yang mencukupi seperti kerusi, kipas elektrik, lampu dan tempat berehat. Wi-fi turut diberikan secara percuma sahaja.

Facebooktwitteryoutubeinstagram
Facebooktwitterredditpinterestmail

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.