Sat. Apr 20th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Formula Malaysia Berbudi & Penyayang menerusi Malaysia #QuranHour

2 min read

SHAH ALAM: Tanggal 30 Ogos ini, Malaysia #QuranHour tahun ke-7 bertemakan  “Formula Malaysia Berbudi & Penyayang” akan diteruskan dengan kerjasama dan sokongan rakan Sinergi Media Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64.

Untuk menjayakan program berinteraksi dengan al-Quran tersebut, pelbagai pihak media dalam bidang percetakan, penyiaran, digital dan media sosial bergabung untuk menyertai Majlis Taklimat Sinergi Media Malaysia, anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) secara atas talian melalui aplikasi Zoom, hari ini, 18 Ogos 2021. 

Antara rakan sinergi media adalah TV AlHijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV, Sinar Harian, Nu Ideativ, IKIMfm, News Straits Times Press (NSTP) dan Denaihati.com.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff  berkata, agenda berinteraksi dengan al-Quran tahun ini sempena Hari Kemerdekaan membawakan formula untuk menyembuh dan merawat Malaysia dengan solusi daripada Ilahi iaitu, Surah Al-Mulk dan juga tujuh Surah Musabbihat.

“Dengan kemelut politik hari ini dan suasana pandemik yang bagaikan tiada berpenghujung, ramai yang terkesan sehingga menjadi cabaran bagi mengesahkan pelaksanaan Malaysia #QuranHour di peringkat kementerian, dalam dan luar negara. 

“Namun, kami optimis dan berharap bantuan ALLAH untuk menjadikan Surah Al-Mulk dan tujuh Surah Musabbihat sebagai momentum kepada semua rumah, sekolah, universiti, organisasi, komuniti, pemimpin dan rakyat Malaysia di dalam dan luar negara ke arah lebih baik.

“Seruan berinteraksi dengan al-Quran kali ini, kami sasarkan kepada golongan pemimpin dan ibu bapa untuk mengajak keluarga meluangkan masa sejam pada 30 Ogos ini, pada pukul 12 hingga 1 tengah hari, untuk ikuti secara langsung dari TV AlHijrah.

“Kita doakan negara tercinta, Malaysia, para pemimpin dan rakyat agar hentikan persengketaan, seterusnya memfokuskan perkara lebih utama dan penting, iaitu sentiasa berzikir kepada ALLAH  dan bina karakter diri serta negara melalui solat.  Kedua-dua formula ini diharapkan menjadi solusi kepada permasalahan yang sedang kita hadapi, Insya-Allah.”

Beliau menambah, fokus pelaksanaan 1 jam bersama al-Quran semasa Malaysia #QuranHour digalakkan diadakan di rumah bersama keluarga masing-masing. Ini merupakan agenda menghidupkan rumah dengan al-Quran sebagai visi Masuk Syurga Sekeluarga.

Pelaksanaan Malaysia #QuranHour ini merupakan tahun kedua diadakan dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19. 

Sejak tercetusnya wabak COVID-19 pada Mac 2020, program berinteraksi dengan al-Quran ini dibawakan siaran secara langsung dari Studio TV AlHijrah ke seluruh negara. 

Astro Oasis menjadi penyiar utama World #QuranHour 1442H dari lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 6 Mei 2021.

Pelaksanaan Malaysia #QuranHour secara fizikal dihentikan kecuali ada organisasi yang mengadakan secara kecil-kecilan dengan kehadiran yang terhad bagi menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) di dalam dan luar negara.

Malaysia #QuranHour di bawah naung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dianjurkan oleh WUIF dengan kerjasama rakan sinergi termasuk TV AlHijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV, Sinar Harian, Nu Ideativ, IKIMfm, News Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, Denaihati.com, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *