Fri. Mar 5th, 2021

Santai Travel Channel

Eksklusif Bersama Datuk Musa Yusof, Ketua Pengarah Tourism Malaysia – ‘Strategi Baharu Pikat Pelancong Ke Malaysia’

3 min read

bdr

Oleh | Buqhari / Zahnita Willson
foto | Arif Syafiq
terima kasih | Bahagian Komunikasi Tourism Malaysia

Tahun ini merupakan tahun penting bagi Malaysia khususnya dalam menarik kunjungan lebih 30 juta pelancong menjelang 2020. Bagi mencapai aspirasi itu Tourism Malaysia sedang berusaha untuk menyemarakkan lagi industri pelancongan negara dengan pelbagai strategi dan kempen promosi.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Bin Yusof berkata pihaknya kini berusaha untuk mengoptimakan penggunaan platform digital untuk mendapatkan lebih banyak perhatian daripada golongan pengguna media sosial yang merupakan platform digital terbesar yang mampu mempengaruhi ekonomi pelancongan Malaysia. Terdapat juga aplikasi yang telah dikolaborasikan oleh Tourism Malaysia bersama ejen pelancongan terbesar di China seperti CTrip untuk menarik pelancong dari China dan memasarkan pakej-pakej pelancongan di Malaysia.

Tourism Malaysia juga telah melaksanakan kerjasama pintar bersama syarikat-syarikat penerbangan untuk menarik pelabur luar untuk melabur dalam sektor pelancongan Malaysia.

Menurut Datuk Musa Yusof, usaha-usaha ini dilakukan selaras dengan hala tuju Tourism Malaysia pada ketika ini untuk menjadikan pelancongan sebagai sumber pendapatan negara yang kukuh dan menyumbang kepada pembangunan struktur ekonomi masyarakat. “Matlamat kita di Tourism Malaysia ini adalah untuk memastikan Malaysia kembali ke tangga 10 negara pelancongan terbaik atau ke tangga 5 terbaik jika boleh, Usaha-usaha ini juga dilakukan untuk memasarkan produk-produk Malaysia kepada seantero dunia”, katanya dalam sesi temubual eksklusif bersama Santai Travel.

Beliau yakin matlamat ini boleh dicapai kerana sektor pelancongan Malaysia telah menyumbangkan sebanyak 14.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Tourism Malaysia juga melakukan beberapa cara untuk memastikan promosi pelancongan mencapai objektifnya dengan melakukan kerjasama bersama Malaysia External Trade Development (MATRADE), Malaysia Investment Development Authority (MIDA) beserta beberapa badan lain untuk menarik golongan ahli perniagaan untuk melabur dalam sektor pelancongan kerana ahli perniagaan yang datang ke Malaysia juga dikategorikan sebagai pelancong korporat. Kerjasama pintar bersama Malaysian Airport Holdings Berhad dijalankan dengan menyediakan insentif kepada para ahli perniagaan dan menarik mereka untuk melabur di sini.

Tourism Malaysia juga menjalankan kolaborasi dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta pihak produksi dan perfileman untuk memasarkan produk pelancongan Malaysia melalui medium filem dan program televisyen sama ada diperingkat tempatan ataupun antarabangsa. Menerusi inisiatif ini FINAS turut menyediakan insentif kepada pihak produksi dengan syarat menjadikan destinasi pelancongan di Malaysia sebagai lokasi perfileman dan mempromosikan tempat pelancongan negara.

Menurutnya lagi Tourism Malaysia sentiasa bersedia untuk bersaing dalam konteks promosi pelancongan yang semakin mencabar kerana beliau berpendapat sektor pelancongan ini sangat dinamik dan bergerak cepat.

“Trend yang bergerak dengan cepat dan sensitif menjadi satu peluang yang sesuai untuk merancang strategi untuk diimplimentasikan dengan segera untuk bersaing dalam sektor pelancongan. Tourism Malaysia juga bersedia untuk bersaing dalam mempromosikan sektor pelancongan Malaysia dengan menyediakan pembekal produk tempatan yang sentiasa
bersedia untuk mempromosikan produk tempatan bagi menarik perhatian pelancong dari negara luar. Kita juga merangkakan strategi kempen-kempen dan menubuhkan rangkaian bersama agensi luar. Langkah ini sebagai persediaan Tourism Malaysia bagi mengiklankan Malaysia dengan cara kolaborasi dan kerjasama,” tambahnya.

Beliau berkata Malaysia pada 2019 sudah menjadi negara yang diiktiraf sebagai rakan kongsi pelancongan di ITB Berlin iaitu acara konvensyen pelancongan terbesar yang meliputi pelbagai segmen termasuk sidang media, seminar dan pameran.

“ITB Berlin ini merupakan salah satu cara untuk Tourism Malaysia menarik pelabur luar dari seluruh negara, kami berurusan dengan mereka dan melaksanakan kontrak”, kata beliau.

Datuk Musa Yusoff berpendapat bahawa tugas untuk meningkatkan imej industri pelancongan di Malaysia tidak hanya terletak kepada pihak Tourism Malaysia sahaja tetapi melibatkan kesemua rakyat Malaysia.

Beliau berharap agar Malaysia mampu menjadi negara yang mesra pelancong dan menjadi satu jenama pelancongan yang kekal dengan slogan ‘Malaysia Truly Asia’ kepada seantero dunia. Dalam masa ini beliau menaruh harapan yang tinggi agar setiap rakyat Malaysia dapat memelihara dan melindungi kawasan pelancongan serta alam semulajadi sekali gus kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan utama untuk pelancong dari seluruh dunia.

Facebooktwitterredditpinterestmail
Facebooktwitteryoutubeinstagram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.