Sat. Apr 27th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

COVID -19 : Malaysia Destinasi Perubatan Terbaik Di Dunia

4 min read

Ketika dunia diancam dengan wabak Covid-19 dan berjuang menangani krisis dunia ini, Malaysia tampil sebagai negara teratas di dunia dalam peratus pesakit yang sembuh daripada Covid 19. Dengan kadar 32.7% , Malaysia mengatasi negara -negara lain seperti Singapura 24.4%, Hong Kong 22.54% manakala kadar purata penyembuhan di dunia adalah sebanyak 21.01%.

Sementara itu kadar pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Malaysia pula adalah yang paling rendah iaitu 1.63% berbanding Korea (1.84%), Jepun (2.38%), Sweden (5.87%) dan kadar purata dunia 5.49%. Ini membuktikan bahawa kaedah Malaysia menangani wabak Covid-19 ini adalah yang terbaik dengan sistem perkhidmatan kesihatan antara yang terbaik di dunia.

Kecemerlangan Malaysia dalam bidang perubatan bukanlah sesuatu yang baru, malah telah diiktiraf diperingkat dunia sejak sekian lama. Malaysia menerusi Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) telah menerima pengiktirafan di atas pencapaian cemerlang para penyedia perkhidmatan kesihatan di majlis anugerah Pelancongan Kesihatan International Medical Travel Journal (IMTJ) 2018 (International Medical Travel Journal (IMTJ) Medical Travel Awards 2018) yang diadakan di Athens. Sembilan daripada lima belas kategori yang dipertandingkan dibolot oleh Malaysia Healthcare. Ini termasuk, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) yang berjaya meraih anugerah “Kluster Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Tahun 2018” (Health and Medical Tourism: Cluster of the Year) untuk tahun kedua berturut-turut. Ini membuktikan kecekapan MHTC memainkan peranannya sebagai agensi yang memajukan dan membantu menyelaras industri pelancongan kesihatan Malaysia.

Malaysia juga mendapat Kepujian Tertinggi (Highly Commended) sebagai “Destinasi Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Terbaik” (Health and Medical Tourism: Destination of the Year). Pengiktirafan ini adalah untuk semua usaha yang telah dilakukan dalam memartabatkan Malaysia sebagai destinasi global terkemuka untuk penjagaan kesihatan. Beberapa hospital swasta terulung di Malaysia juga telah berjaya meraih beberapa anugerah berprestij semasa majlis tersebut. Anugerah-anugerahnya adalah:

1) Hospital Antarabangsa Terbaik (International Hospital of the Year) – Pemenang: Gleneagles Kuala Lumpur

2) Pusat Pakar Pesakit Antarabangsa Terbaik (International Specialist Patient Centre of the Year) – Pemenang: Institut Jantung Negara

3) Klinik Kesuburan Antarabangsa Terbaik (International Fertility Clinic of the Year) – Pemenang: TMC Fertility

4)Klinik Pembedahan Kosmetik Antarabangsa Terbaik (International Cosmetic Surgery Clinic of The Year) – Pemenang: Beverly Wilshire Medical Centre

5) Inisiatif Pemasaran Terbaik (Best Marketing Initiative) – Pemenang: Gleneagles Kuala Lumpur (Kempen Less Pain, More Gain – a Minimally Invasive Surgery)

6) Inisiatif Kualiti Terbaik (Best Quality Initiative) – Pemenang: Tropicana Medical Centre

7) Kecemerlangan Dalam Perkhidmatan Pelanggan (Excellence in Customer Service) – Kepujian Tertinggi: Gleneagles Kuala Lumpur

Anugerah ini dihakimi oleh lebih daripada 20 orang panel juri, yang dipilih berdasarkan kepakaran mereka dalam industri pelancongan kesihatan, dipengerusikan oleh Ketua Editor IMTJ, Keith Pollard. Para pemenang dipilih berdasarkan beberapa kriteria tertentu yang mengetengahkan inovasi dan kecemerlangan di dalam industri pelancongan kesihatan. Antara nama-nama yang membarisi panel hakim elit ini termasuk Irving Stackpole daripada Stackpole and Associates, Ilan Geva daripada Ilan Geva and Friends, Dato’ Dr Jacob Thomas daripada Persatuan Hospital-Hospital Swasta Malaysia (APHM), dan Elizabeth Ziemba daripada Medical Tourism Training.
“Sepanjang tempoh tiga tahun yang lalu, Malaysia telah kekal menjadi juara bertahan bagi anugerah “Destinasi Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Terbaik”, dan ini telah menjadi kayu ukur bagi negara-negara di seluruh dunia yang berlumba-lumba untuk menjadi destinasi pilihan untuk pelancongan kesihatan. Malaysia mempunyai dua faktor utama yang meletakkannya lebih jauh di hadapan berbanding destinasi-destinasi lain. Pertama sekali, Malaysia memiliki sistem perolehan data yang berstruktur mantap dan disokong kuat oleh pihak kerajaan. Keduanya, Malaysia menyediakan perkhidmatan pelancongan kesihatan yang menyeluruh, terutamanya menerusi perkhidmatan concierge yang disediakan. Malaysia merupakan saingan yang kuat dalam industri pelancongan kesihatan dan ia amat menggalakkan untuk melihat para penyedia perkhidmatan kesihatan terus berdaya saing untuk mencapai kecemerlangan,” ujar Keith Pollard.

Anugerah ini membuktikan kemampuan Malaysia Healthcare untuk memperoleh pengiktirafan antarabangsa di dalam industri pelancongan kesihatan. Selain anugerah ini, Malaysia juga telah meraih pelbagai anugerah antarabangsa, termasuk “Best Country in the World for Healthcare” (Negara Terbaik Dunia untuk Penjagaan Kesihatan) daripada International Living’s Annual Global Retirement Index bagi tahun 2015 sehingga 2017. Pada awal tahun 2018, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara Asia yang terbaik untuk persaraan, meletakkan Malaysia sebagai negara kelima terbaik keseluruhan selepas Mexico, Costa Rica, Panama, dan Ecuador.

Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli berkata, “Saya amat bersyukur dan berbangga dengan kejayaan Malaysia Healthcare pada majlis anugerah ini. Ternyata, gabungan tahap perkhidmatan kesihatan yang cemerlang, dan sokongan padu daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia inilah yang menjadi penggerak utama dalam memartabatkan Malaysia sebagai destinasi global terkemuka untuk penjagaan kesihatan. Tahniah kepada semua penyedia penjagaan kesihatan di atas usaha yang konsisten dalam mengecapi kecemerlangan.”

Sebelum ini, Malaysia Healthcare telah memenangi “Destinasi Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Terbaik” selama tiga tahun berturut-turut daripada tahun 2015 hingga 2017. Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan global yang terkemuka. MHTC juga juga telah memenangi “Kluster Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Tahun 2017” (Health and Medical Tourism: Cluster of the Year) pada majlis anugerah yang sama pada tahun 2017, membuktikan pentingnya sokongan kerajaan yang kukuh dan kerjasama awam-swasta yang utuh dalam memacu industri pelancongan kesihatan negara.

MHTC adalah sebuah agensi yang ditubuhkan pada 2009, dibawah naungan Kementerian Kesihatan Malaysia, untuk memajukan dan membantu menyelaras industri pelancongan kesihatan Malaysia. Dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan global yang terkemuka, MHTC telah memberi tumpuan kepada beberapa inisiatif untuk dimajukan dalam mencapai matlamat ini. Inisiatif-inisiatif ini telah diperkenalkan berlandaskan kekuatan dan keunikan negara sebagai destinasi penjagaan kesihatan. Inisiatif-inisiatif tersebut adalah 
(i) Menjadikan Malaysia sebagai Hab Rawatan Kesuburan dan Kardiologi di Asia,
(ii) Menubuhkan “Flagship Medical Tourism Hospitals” di Malaysia, dan 
(iii) Mengelolakan “Malaysia Year of Healthcare Travel 2020” yakni kempen kesihatan antarabangsa pertama Malaysia. Malaysia Healthcare sentiasa mengalu-alukan para penjaga kesihatan untuk “Experience Malaysia Healthcare, Embrace Malaysian Hospitality” (Alami Penjagaan Kesihatan Malaysia, Hayati Kemesraan Malaysia).

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *