Wed. Apr 24th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Cabar Adrenalin Di Ipoh & Gopeng… Ini 4 Aktiviti Lasak Wajib Cuba Di Perak!

5 min read

Oleh: Usna Rus

Perak, negeri yang kaya dengan khazanah alam semula jadi, terbentang depan mata keindahan deretan gunung di Banjaran Titiwangsa. Negeri yang satu ketika dahulu pernah dikenali sebagai negeri pengeluar bijih timah terbesar, kini menawarkan pelbagai produk pelancongan yang unik khasnya untuk ‘kaki nature’ dan penggemar aktiviti lasak.

Anda dicadangkan untuk singgah di daerah Ipoh dan Gopeng untuk merasai pengalaman tersebut. Bagi ‘newbies’ atau individu yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti sebegini, sangat dialu-alukan untuk ke sini. Setidak-tidaknya boleh menghilangkan sejenak kekusutan dek kesibukan di kota dan juga kebimbangan wabak pandemik ketika ini. Moh ke Perak! Jangan lupa jaga SOP ketika melancong ketika normal baru ini.

Gua Datok

Trail Gua Datok, Lost World Of Tambun

Di Ipoh banyak destinasi menarik yang boleh dikunjungi untuk penggemar aktiviti lasak, antaranya mendaki Trail Gua Datok dan eksplorasi Gua Datok, gua batu kapur berusia lebih 400 juta tahun terletak dalam kawasan taman tema Lost World Of Tambun (LWOT). Sejarah gua ini sangat menarik, malah ada sebuah kerusi besar ‘ditandakan’ dalam Gua Datok dipercayai lokasi asal Datuk Panglima Ngah Ghafar, orang besar di Kinta sekitar tahun 1800, dikatakan sering bertafakur.

Masih terdapat banyak batuan stalaktit dan stalagmit yang menghiasi indah dalam perut gua ini selain kewujudan jenis tahi kelawar bernilai tinggi. Lagi yang menarik ketika melakukan eksplorasi ini, dapat melihat fosil atau rangka dipercayai kepala tapir, antara haiwan liar yang banyak mendiami gua itu pada masa dulu. Terdapat juga kesan tanah digali untuk melombong, malah peralatan seperti cangkul, bakul dan pelita karbaid masih ada dalam gua ini sejak lebih ratusan tahun lalu.

Ekspedisi mendaki di Trail Gua Datok memiliki laluan agak curam, maka memerlukan sedikit stamina dan kudrat mendaki 630 anak tangga untuk sampai ke pintu gua. Jadi, latihan regangan sebelum mendaki sangat perlu dilakukan bagi mengelak kekejangan otot terutama bagi mereka kali pertama mencuba aktiviti mencabar ini. Suka diingatkan pendaki tidak dibenar melakukan aktiviti ini sendirian, sebaliknya perlu diiringi jurupandu khas disediakan pengurusan LWOT bagi mengelak kejadian tidak diingini. Pemakaian topi keselamatan khas dilengkapi lampu suluh juga diwajibkan untuk aktiviti ini. Selepas keletihan mendaki Trail Gua Datok ini jangan lupa untuk rehatkan badan dengan berendam dalam lapan kolam air panas semula jadi yang ada di LWOT. Untuk keterangan lanjut layari www.sunwaylostworldoftambun.com

Water Rafting Gopeng

Water Rafting di Gopeng

Daerah Gopeng merupakan lokasi popular menjadi pilihan ramai kaki nature. Ada yang datang bercuti ke sini semata-mata untuk menginap dipersekitaran hijau yang tenang dan tidak kurang juga untuk mencuba pelbagai aktiviti lasak yang mencabar seperti Water Rafting di sepanjang Sungai Kampar, Gopeng.

Jika berkesempatan, jangan lepaskan peluang mencuba aktiviti yang dapat menaikkan adrenalin demi menangani rasa takut terhadap arus deras dan air walaupun tidak tahu berenang. Aktiviti ini, biasanya dilakukan secara berkumpulan dengan menyusuri sungai dengan jarak sejauh antara lima hingga tujuh kilometer iaitu kira-kira 1 jam 30 minit ke 2 jam bergantung kepada tahap keselamatan semasa dan cuaca. Biasanya penunjuk arah berpengalaman akan memberitahu keadaan paras air bagi membolehkan semua peserta bersedia mengharungi cabaran semasa berakit.

Sebelum memulakan aktiviti Water Rafting ini, peserta wajib mendengar sesi taklimat asas mengendalikan, prosedur keselamatan dan melakukan latihan ‘water confident’. Walaupun jaket keselamatan disediakan, kemungkinan untuk lemas tetap ada jika peserta panik dan gagal mengawal diri. Oleh itu, peserta diingatkan agar saling berkerjasama bagi memastikan pergerakan rakit tidak mengalami masalah sekiranya berdepan dengan cabaran seperti bot terbalik atau ada rakan kumpulan yang terjatuh ke dalam sungai.

Apa pun, percayalah perasaan takut dan risau hanya ketika permulaan sahaja, selebihnya rata-rata peserta water rafting akan berpuas hati dan gembira dengan aktiviti ini pada penghujungnya. Untuk pertanyaan dan tempahan aktiviti Water Rafting di Gopeng layari www.riverexplorer.asia/team/ atau hubungi RIVER Explorer Perak 01110062143 (Ana) / 0198336447 (Sam)

Menunggang ATV Gopeng

cabaran ATV

Aktiviti menunggang kenderaan lasak ATV turut menjadi pilihan utama individu untuk beriadah sambil menikmati keindahan alam semula jadi di sekitar Gopeng. Tidak hairan ramai dalam kalangan generasi muda gemar menghabiskan masa hujung minggu atau waktu terluang dengan menunggang ATV di lokasi ini. Bukan itu sahaja, malah aktiviti ini juga menjadi pilihan bagi keluarga untuk beriadah. ATV Gopeng menyediakan dua pakej istimewa iaitu Pakej Leisure Trail dan Pakej Adventure Trail dengan harga bermula serendah RM180 untuk 2 hingga 3 jam penggunaan.

Jangan ragu-ragu untuk melakukan aktiviti ini kerana cara menunggang ATV hampir sama seperti menunggang motosikal, namun ia lebih stabil dan selamat jika dibawa ke permukaan tidak rata seperti menaiki dan menuruni cerun. Bagaimanapun, risiko untuk kenderaan ATV ini terbalik tetap ada jika penunggangnya kurang mahir mengimbangi badan terutama di kawasan berbukit. Menarik bukan? Untuk pertanyaan dan tempahan hubungi ATV Gopeng 017-8666884 atau emel atvgopeng@gmail.com

Ekplorasi Gua Tempurung

Gua Tempurung yang terlepat di Gopeng, Perak antara destinasi menarik yang wajar dikunjungi. Gua Tempurung berusia lebih 400 juta tahun adalah gua yang terbesar di Perak manakala trek guanya memanjang sehingga 1.9 kilometer sehala. Gua ini merupakan sebahagian daripada banjaran gunung, gua batu kapur serta marmar yang terbesar dan terindah di Malaysia. Gua ini diberi nama berdasarkan lima ruang besar kubah gua itu yang seolah-olah menyerupai tempurung kelapa terbentuk daripada batu kapur marmar calcite calcium daripada jenis Kinta Limestone.

Sebanyak 640 anak tangga terdapat dalam perut gua ini sebagai kemudahan alternatif bagi menjamin keselamatan pengunjung agar selesa ketika aktiviti eksplorasi gua. Tambah menarik lagi, terdapat beberapa lampu menghiasi kawasan gua membantu penglihatan sekaligus menjadikannya sangat menarik jika dilihat dari jauh. Keindahan di dalam gua ini begitu memukau pandangan dengan kewujudan pelbagai bentuk arca antara yang popular paparan mirip seakan seperti bentuk hati, wanita hamil, naga dan pelbagai haiwan lain yang terhasil dari proses geomorfologi yang berlaku beribu-ribu tahun lampau. Pelbagai spesies kelawar juga boleh dilihat dalam perut gua ini sekiranya berkunjung pada bulan Mac hingga Mei kerana ketika itu adalah musim mengawan bagi spesies haiwan tersebut.

Selain melakukan aktiviti berjalan kaki di dalam gua, pengunjung boleh menyusuri sungai dengan merangkak di bawah gua atau menyelam dengan ditemani jurupandu berpengalaman yang bertugas di situ. Untuk lebih cabaran, terdapat pelbagai pilihan pakej disediakan untuk menjejak Gua Tempurung ini mengikut tahap keinginan masing-masing, iaitu bermula dengan paling santai iaitu Pakej Golden Flowstone (40 minit++) , Pakej Top Of The World (1jam++), Pakej Short River Adventure (2jam++) dan Pakej Grand Tour (4jam++). Untuk maklumat lanjut dan tempahan hubungi 014-2204142 atau emel aptguatempurung@gmail.com

Jom cuti-cuti Malaysia

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *