Tue. Apr 16th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

3 Lokasi Bersejarah & Port Ideal ‘Photo-Worthy’ Cantik Di Perak. Rugi Tak Singgah!

4 min read

Oleh: Usna Rus

Menjadi seakan trend percutian hari ini, ramai yang berminat untuk ke sesuatu lokasi itu, jika mempunyai kelainan terutama untuk merakam gambar dan dikongsikan ke laman sosial peribadi.

Anda tercari-cari lokasi ideal untuk ber’OOTD’, di sekitar negeri Perak? Ini beberapa lokasi yang dicadangkan. Paling menarik, port ‘photo-worthy’ ini juga merupakan lokasi dan binaan tinggalan sejarah yang menarik diangkat di negeri Darul Ridzuan.

Bagas Zakariah Orchard Lodge

Bagas Zakariah Orchard Lodge lokasi penginapan dan ekopelancongan yang membangkit nostalgia kehidupan kampung tradisi zaman lalu. Berasal dari bahasa Mandailing, Bagas bermaksud rumah, manakala Zakariah adalah sempena nama datuk kepada pemilik rumah penginapan ini yang merupakan seorang pendatang dari kawasan berhampiran Peyambungan, Kabupaten Mandailing-Natal, Sumatera Barat, Indonesia.

Bagas Zakariah menawarkan tiga pilihan konsep rumah penginapan yang berbeza iaitu Rumah Kuning, rumah warisan yang berusia hampir 100 tahun; Rumah Lenggung, rumah tradisional asal di bawa dari daerah Lenggong; dan Rumah Lawan Kuda atau dikenali sebagai Rumah Merah, hampir 95 peratus pembinaan rumah ini adalah daripada kayu Cengal. Kesemua rumah ini sesuai untuk dijadikan rumah penginapan bagi menjalankan aktiviti kekeluargaan untuk bilangan ahli yang besar. Walaupun luarnya nampak tradisional, namun jika melangkah masuk pasti terpegun dengan dekorasi-dekorasi moden yang menjanjikan keselesaan untuk menginap.

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini antaranya mandi-manda di sungai berhampiran selain merasai sendiri suasana kampung tradisi dengan persekitaran hijau yang cukup menyegarkan. Paling utama pastikan mengambil kesempatan untuk merakam momen menarik di setiap sudut di Bagas Zakariah, lokasi yang sangat ideal untuk yang gemar ber’OOTD’ berlatar belakangkan panorama desa.

Bagas Zakariah Orchard Lodge
65 Lot 32804 Jalan Besar, Kg Lawan Kuda, 31600 Gopeng, Perak
017-5521920
bagaszakariah.com
FB: Bagaszakariah

Kellie’s Castel

Jika anda berada berhampiran Batu Gajah, Perak, tidak perlu pergi jauh untuk lepak santai bersama teman dan keluarga. Pusing-pusing sahaja sekitar lokasi ini, anda pasti jumpa destinasi menarik untuk singgah. Paling istimewa lokasi yang dicadangkan ini sangat photo-worthy!

Kellie’s Castel atau Istana Kellie di Batu Gajah, Perak binaan gah bukti cinta agung si suami buat isteri tercinta. Kellie’s Castel merupakan bangunan berusia lebih 100 tahun yang menjadi satu daripada warisan sejarah yang tidak ternilai khususnya dalam industri pelancongan di Perak.

Binaan tanpa paku dan besi ini merupakan ilham pengusaha ladang dari Scotland William Kellie Smith pada 1915. Terletak di atas bukit dalam estet getah ketika itu, mahligai idamannya ini dibina dengan penuh perasaan cinta kepada isterinya, Agnes dan anak mereka. Namun, pembinaannya terhenti selepas kematian William Kellie Smith pada 1926 akibat dijangkiti radang paru-paru ketika berada di Lisbon, Portugal.

Istana indah ini dipercayai masih mempunyai bilik-bilik tersembunyi dan terowong-terowong rahsia di bawah tanah. Pernah menjadi lokasi filem Anna and the King suatu masa dahulu, Istana lama yang menyimpan kisah misteri suka dan duka ini sangat mengagumkan untuk diterokai berikutan mempunyai nilai sejarah tersendiri. Untuk mendapatkan kesan pantulan batuan warna yang lebih cantik ketika mengambil gambar, anda di cadangkan untuk ke sini pada waktu pagi dan lewat petang.

Kellie’s Castel
31000 Batu Gajah, Perak
05-365 3381
FB: Kellie’s Castle Malaysia

Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 & TT5 Maze Park

Ini ‘port’ yang tidak kurang menarik untuk dikunjungi, silap-silap ada orang Perak pun tidak tahu kewujudan lokasi menarik ini. Paling mengujakan boleh OOTD sepuas-puasnya berlatar belakang binaan yang cantik dan bersejarah.

Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 (TT5) terletak tidak jauh dengan tarikan utama Batu Gajah iaitu Kellie’s Castle. TT5 gelaran atau nama bagi kapal korek terakhir yang masih ada di Malaysia menjadi warisan sejarah Perak dan digelar ‘The Last Dredge’ atau warisan kapal korek terakhir yang masih wujud di negara. Ia sebagai bukti negeri Perak sebagai pengeluar utama bijih timah dunia satu ketika dulu. TT5 telah dibina oleh F.W. Payne pada tahun 1938 di England dan mengambil masa setahun untuk kerja pemasangan di Tanjung Tualang dan beroperasi selama 44 tahun sehingga Ogos 1982.

Kini TT5 telah menjalani proses pemuliharaan semula dan ditambah baik dengan pelbagai kemudahan bagi menjadikannya kawasan ini antara kawasan tarikan pelancongan sejarah di Perak dalam sektor perlombongan. Pengunjung diberi peluang untuk melawat dalam perut kapal korek ini bersama staf pengurusan sambil diberikan info yang lebih terperinci fungsi-fungsi setiap bahagian. Tarikan paling menarik dalam TT5, pengunjuang berpeluang melihat tinggalan ratusan bakul pengorek atau `bucket’ digambarkan umpama rantai basikal yang besar yang akan mengorek tanah dan mengumpul bijih timah yang ada.

Terletak di dalam kawasan Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 ini, terdapat tarikan terbaru iaitu TT5 Maze Park. Semestinya lokasi yang bakal menjadi ‘kegilaan’ untuk mereka yang gemar bergambar. Ada beberapa port istimewa yang bakal mewarnai foto idaman anda. Jom singgah dan beriadah!

Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 & TT5 Maze Park
Jln Tanjung Tualang, 31000 Batu Gajah, Perak
014-904 3255
FB: Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5 – TT5

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *