Fri. Apr 26th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Apa Ada di Kampar & Batu Gajah

3 min read

Pandemik Covid 19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia nyata memberi kesan yang besar terhadap industri pelancongan. Setelah hampir 90 hari tiada aktiviti pelancongan yang dibenarkan, kini setelah berada di fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, rakyat Malaysia dibenarkan untuk kembali bercuti. Majalah Santai Travel ingin berkongsi antara tarikan yang boleh anda lawati setelah hampir tiga bulan berkurung di dalam rumah. Jom kita lihat apa yang ada di Kampar dan Batu Gajah :- 

Gua Tempurung

Gua Tempurung merupakan salah satu gua batu kapur yang terbesar di Malaysia. Gua ini terletak di Gopeng, Perak dan mempunyai panjang lebih kurang 1.9 kilometer. Gua Tempurung ini menjadi perhatian kerana terdapat banyak pembentukan stalagmite dan stalatig di dalamnya. Bagi peminat aktiviti menggua (caving), anda boleh cuba aktiviti di sini. Antara aktiviti popular gua ini ialah melawat tempat melombong biji timah dan aktiviti meredah sungai di dalam gua juga turut disediakan. Gua ini dulunya pernah menjadi tempat pertempuran dan persembunyian para komunis. Gua ini dikatakan telah wujud lebih kurang 400 juta tahun yang lalu. Terdapat lima bentuk kubah di atasnya yang berbeza bentuk antara satu sama lain.

Tangga yang dilengkapi lampu untuk memastikan keselamatan pelancong terjamin

Kellie’s Castle

Kellie’s Castle ini merupakan sebuah rumah agam separuh siap yang dibina oleh lelaki Scotland bernama William Kellie Smith. Rumah Agam ini terletak bersebelahan dengan Sungai Raya di Batu Gajah, Perak. Kellie’s Castle ini mula dibina pada tahun 1915 sempena kelahiran anak lelakinya namun ditinggalkan separuh siap pada tahun 1926. Semua batu-bata yang digunakan diimport dari India. Selepas kematian William, isterinya membuat keputusan untuk pindah di Scotland dan bangunan separuh siap itu dijual kepada sebuah syarikat British bernama Harrisons dan Crossfield. Kini, Kellie’s Castle menjadi tumpuan para pelancong di Batu Gajah. Kellie’s Castle ini juga pernah dikatakan sebagai tempat berhantu. Ramai yang pernah mendengar suara-suara halus atau bayangan misteri di dalam bangunan ini. 

Kinta Tin Mining Museum

Kinta Tin Mining Museum ini merupakan tempat pameran penghasilan biji timah pada zaman dahulu kala. Muzium ini terletak di Kampar dan buka pada tahun 2012. Perak terkenal dengan perlombongan bijih timah dan pernah diiktiraf pengeluar bijih timah nombor satu di dunia. Bagi yang ingin mengetahui tentang sejarah perlombongan dengan lebih mendalam, muzium ini adalah tempat terbaik untuk anda kunjungi. Anda boleh lihat bermacam jenis peralatan perlombongan bijih timah yang dipamerkan di sini. Muzium ini dibuka setiap hari dan masuk adalah percuma.

Salah satu koleksi barangan pembuatan biji timah

Kompleks Bersejarah Pasir Salak

Muzium ini memulakan operasinya pada tahun 1997 dan ditubuhkan di atas cetusan idea Menteri Besar Perak pada ketika itu. Dalam kompleks ini terdapat Terowong Sejarah Pasir Salak yang menerangkan tentang perjalanan sejarah dan perjuangan Melayu sebelum mencapai kegemilangan. Pameran dalam bentuk tiga dimensi dan mempunyai 42 diorama yang menceritakan beberapa peristiwa bersejarah dan bagaimana orang melayu menentang kuasa luar demi mencapai kemerdekaan. Ia dibina bertujuan untuk mengingati jasa dan pengorbanan para pahlawan melayu yang bergadai nyawa demi mempertahankan tanah air yang dicintai. Sikap cinta akan negara ini patut ditanam dalam diri generasi muda masa kini. 

Kapal Korek Tanjung Tualang / TT5

Tanjung Tualang merupakan tempat terletaknya sebuah kapal korek tinggalan perlombongan bijih timah dahulukala. Kapal korek ini masih terpelihara dengan baik dan dibuka untuk pelancong. Kapal korek ini dikenali sebagai TT5 (Tanjung Tualang No.5). Ia dibina pada tahun 1938 oleh W.F. Payne & Sons dan berhenti beroperasi pada tahun 1992 kerana kejatuhan industri pelombongan timah. Jika singgah di sini, pengunjung juga berpeluang untuk melakukan aktiviti mendulang di ‘Palong @ TT5’ selain dapat melawat galeri TT5 bagi mendapatkan sebarang maklumat berkenaan dengan kapal korek mahupun cendera hati yang dijual di sini seperti baju, magnet peti ais, rantai kunci, poskad dan sebagainya.


About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *