Fri. May 3rd, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

AITEX Rancakkan Industri Pelancongan Islamik

2 min read

KUALA LUMPUR : Pelancaran Asia Islamic Tourism Expo 2023 (AITEX 2023), yang diadakan pada 13 September 2023, merupakan Persidangan dan Pameran Pelancongan Haji, Umrah & Pelancongan Islam yang berlangsung hari ini yang akan merancakkan lagi industri pelancongan negara khususnya bagi pasaran pelancongan mesra Muslim.

Menurut Dato’ Dr Mohd Khalid Harun, AITEX 2023 yang merupakan acara pelancongan antarabangsa melibatkan pemain industri pelancongan dari seluruh Asia dalam mempromosikan Pelancongan Islamik serta Haji dan Umrah.

“Acara ini mempunyai tiga acara utama iaitu Persidangan AITEX 2023 yang akan diadakan selama dua hari bermula 13- 14 September 2023, yang dihadiri oleh delegasi agensi pelancongan dari seluruh Asia seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, India, Bangladesh, Thailand, Kemboja, Sri Lanka, Maldives dan lain-lain. Alhamdulillah tahun ini kita mendapat lebih 54 syarikat dari dalam dan luar negara telah menyertai acara ini,”kata Dato’ Dr Mohd Khalid Harun.

Selain itu Pameran AITEX 2023 turut diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre dari 10 pagi hingga 6 petang dan disertai oleh pempamer – pempamer dari Timur Tengah dan Asia. Pameran AITEX 2023 terbuka kepada pengunjung awam untuk melihat perkhidmatan dan jualan pakej pelancongan dan umrah yang dipamerkan.

Dalam ucapan alu-aluannya, YBhg. Dato’ Dr Mohd Khalid Harun, Presiden MATA berkata, AITEX 2023 yang diadakan setiap tahun merupakan satu acara yang diadakan sebagai ruang kepada pempamer industri dan pembeli (pembeli perdagangan) menjalankan rangkaian perniagaan dalam bidang haji dan umrah. Bukan itu sahaja, selaku Presiden MATA, beliau menyatakan bahawa MATA percaya pameran AITEX dapat membantu agensi pelancongan mewujudkan rangkaian perniagaan masing-masing dan secara langsung membantu Malaysia mempromosikan produk pelancongan Islam.

Bersempena AITEX 2023, World Islamic Tourism Award  (WITA 2023) akan diadakan dan merupakan acara bagi memperingati sumbangan pemain industri yang telah mengangkat Industri Pelancongan Islam ke peringkat antarabangsa. WITA 2023 akan diadakan pada 15 September 2023 di Dewan Utama Hotel Sunway Resort.

Majlis perasmian AITEX 2023 telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam satu acara yang penuh gilang gemilang. Dalam ucapanya Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga dengan persidangan dan pameran AITEX 2023 yang dapat menyokong kemajuan agensi pelancongan selepas mengalami krisis akibat pandemik Covid-19 terutama dengan mengadakan malam anugerah, World Islamic Tourism Award (WITA) 2023, untuk menghargai peranan pemain industri dalam memartabatkan Industri Pelancongan Islam ke peringkat antarabangsa. Beliau juga berharap AITEX 2023 dapat menjadi platform untuk mempromosikan pelancongan Islam secara lebih meluas kepada pelancong asing. Teks ucapan Perdana Menteri Malaysia telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Azman Abidin , Setiausaha Politik Perdana Menteri.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *