Thu. Apr 25th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

RAKYAT MALAYSIA SAMBUT SYAWAL DI TAIWAN KETIKA COVID-19

5 min read


Dunia telah menentang dan bergelut dengan COVID-19 selama berbulan-bulan, namun jumlah kes terus meningkat dan kini hampir mencecah 5 juta. Untuk membendung penyebaran virus ini, banyak negara termasuk Malaysia mengambil tindakan kawalan pergerakan untuk meratakan lekukan. Dalam keadaan yang mencabar inilah umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya tahun ini. Sudah pasti, ketibaan Syawal pada tahun ini akan diraikan secara berbeza, dan mungkin lebih melankolik kerana tidak ada perjumpaan besar yang dibenarkan dan rakyat Malaysia disarankan untuk tidak melakukan perjalanan balik ke kampung. Walaupun rakyat Malaysia menyambut bulan Syawal dalam keadaan normal yang baharu, Hari Raya tetap akan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Dengan sebanyak 187 negara telah terjejas gara-gara COVID-19, rakyat Malaysia yang berada di luar negara turut akan menyambut Syawal dengan lebih berhati-hati. Dua rakyat Malaysia yang kini tinggal di Taiwan berkongsi persiapan dan pengalaman mereka di sana.

Nur Adibah Adammi, seorang rakyat Malaysia berusia 33 tahun merantau ke Taiwan untuk mendalami bahasa Mandarin. Beliau jatuh cinta dengan pulau tersebut dan kini sudah hampir enam tahun tinggal di sana. Dalam tempoh yang mencabar ini, Adibah berkongsi bahawa Hari Raya akan disambut dengan lebih sederhana bersama sekumpulan kecil teman rapat dan keluarga kerana kehidupan di Taiwan masih normal, dibenarkan bergerak bebas tetapi dengan langkah berjaga-jaga. “Biasanya, kami akan pergi ke masjid untuk solat Hari Raya pada hari pertama Syawal. Inilah masanya untuk saya bertemu dengan rakyat Malaysia yang lain serta umat Islam dari pelbagai negara, untuk menyambut Hari Raya. Sayangnya, tahun ini kami tidak dibenarkan mengadakan perhimpunan berkumpulan besar, oleh itu tidak ada solat Hari Raya di masjid,” Adibah berkongsi.

Beliau menyambung lagi, “Saya rasa sangat bersyukur kerana hubungan sesama rakyat Malaysia di sini amat rapat dan mesra. Hubungan kami seperti keluarga dan ini membuat saya tidak berasa kesunyian di perantauan dan berjauhan dari ibu bapa serta keluarga terutamanya semasa menyambut perayaan besar seperti Hari Raya. Secara tradisinya, kami akan anjurkan rumah terbuka untuk kami berkumpul. Untuk mendapatkan suasana Hari Raya, kami akan mengenakan pakaian Hari Raya dan membawa hidangan Raya tradisional untuk potluck. Tahun lalu, saya membawa roti jala. Kami cuba raikan Hari Raya di Taiwan seperti yang selalu kita lakukan di Malaysia. Walaupun tidak ada rumah terbuka besar pada tahun ini, kami merancang untuk mengadakan pertemuan kecil dengan hanya beberapa teman rapat.”

Seorang lagi rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Raya di Taiwan ialah Amirah Hurzaid, 34, seorang pelajar PhD jurusan Marine Oceanography di Universiti Nasional Taiwan. Beliau telah tinggal di Taiwan selama empat setengah tahun. “Untuk mendapatkan semangat Hari Raya, saya akan memainkan lagu Raya sepanjang hari di makmal. Saya juga akan meluangkan masa untuk menulis dan menghantar kad Hari Raya kepada keluarga dan rakan baik di Malaysia. Dan untuk mengekalkan tradisi Raya seperti di Malaysia, saya akan pastikan kuih Hari Raya seperti Almond London dan biskut coklat cip mesti ada. Biasanya saya akan membuat biskut ini seminggu sebelum Raya tetapi separuh daripadanya mungkin sudah habis sebelum hari pertama Hari Raya,” kata Amirah sambil tertawa.

“Berjauhan dari keluarga dan rakan-rakan ketika musim Hari Raya pasti membuatkan saya lebih rindu dengan mereka. Biasanya, saya akan membuat panggilan video dengan keluarga dan rakan pada malam sebelum Hari Raya untuk berkongsi persiapan masing-masing. Kebiasaannya, pada hari pertama Hari Raya selepas solat, saya dan rakan-rakan dari Malaysia yang lain akan pergi ke rumah salah seorang kakitangan kedutaan Malaysia dan akan bersama mereka sepanjang hari. Kami akan membaca takbir beberapa kali dan menjamah hidangan Hari Raya kegemaran kami! Pada musim Raya, saya pasti akan rindukan ketupat jagung dan lemang, air tangan ibu saya. Sayangnya, agak susah sedikit untuk mencari lemang di Taiwan. Oleh kerana saya mempunyai rakan makmal yang berasal dari Taiwan dan dari negara lain, saya sering mengajak mereka ke rumah pada Hari Raya agar mereka dapat merasakan bagaimana kita menyambut bulan yang menggembirakan ini. Saya juga akan menyediakan hidangan tradisional Hari Raya seperti rendang dan ketupat untuk mereka cuba.”

Ditanya mengenai pendapat beliau mengenai Hari Raya semasa COVID-19, Amirah berkata, “Hari Raya tahun ini pasti akan berbeza. Ini adalah kali pertama saya menyambut Hari Raya tanpa suami kerana ketika ini tidak ada penerbangan ke Taiwan. Saya juga tidak pasti jika ada perjumpaan bersama rakan-rakan senegara. Walaupun begitu, saya masih akan menyediakan rendang dan ketupat dan berkongsi dengan rakan makmal saya.”

Taiwan telah digelar sebagai pulau model oleh banyak negara kerana tindakannya yang pantas dan agresif dalam menangani COVID-19. Pada masa ini, Taiwan telah melaporkan sebanyak 440 kes, yang mana 79% adalah kes yang diimport*. Oleh kerana keadaan masih terkawal di pulau itu, Taiwan mengumumkan bahawa kawalan pergerakan tidak diperlukan tetapi semua orang diminta untuk mengikuti amalan tertentu seperti penjarakkan sosial dan tidak ada perhimpunan lebih dari 100 orang. Kerajaan juga membatalkan acara perayaan besar untuk mengelakkan perhimpunan orang ramai.

Adibah dan Amirah berkongsi bahawa kerajaan Taiwan telah bertindak dengan cepat dan tegas. Taiwan melakukan pencegahan awal sebelum negara lain melakukannya. Oleh kerana Taiwan adalah sebuah pulau yang sangat sistematik, orang ramai dapat mengikuti panduan yang ditetapkan oleh Pusat Kawalan Penyakit Taiwan (CECC) dengan mudah. CECC juga selalu menasihati orang ramai untuk mengamalkan kebersihan yang baik, memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dan melakukan penjarakkan sosial. Pembersih tangan juga mudah didapati dan ia boleh didapati secara percuma di kebanyakan tempat.

Amirah dijangka akan kembali ke Malaysia pada September 2020 setelah tamat pengajiannya. Beliau berkongsi bahawa Taiwan harus berada dalam bucketlist setiap orang dan turut berkata, “Walaupun ketika ini kita disarankan untuk tidak melancong, saya harap selepas situasi ini reda, semua orang dapat pergi ke Taiwan, terutamanya rakan-rakan yang beragama Islam. Terdapat banyak tempat tarikan pelancong dengan pemandangan indah untuk dinikmati. Tiga tempat kegemaran saya adalah Taman Negara Taroko Gorge, Taman Nasional Yangmingshan dan Gunung Hehuan. Saya amat sukakan alam semula jadi di sini dan tempat-tempat ini mempunyai pemandangan yang menakjubkan! Sebagai contoh, Taman Nasional Taroko Gorge mempunyai beberapa terowong luar biasa yang diukir di permukaan batu, air terjun di hutan, laluan mendaki yang menghadap ke jurang dan mata air biru pirus di sungai. Sementara itu, Taman Nasional Yangmingshan dan Gunung Hehuan juga mempunyai tarikan masing-masing sepanjang tahun. Yangmingshan sangat menarik ketika musim bunga, sesuai untuk melihat bunga sakura. Bagi mereka yang ingin bermain dengan salji boleh mengunjungi Hehuan pada musim sejuk. Saya merancang untuk menulis blog dan berkongsi pengalaman saya di Taiwan tidak lama lagi.”

Sama seperti Malaysia, Taiwan juga merupakan syurga makanan. Adibah, yang membuat sambal sendiri untuk dijual (jenama Sambaldiba), berkongsi bahawa terdapat banyak makanan tempatan halal yang boleh dicuba oleh pelancong Muslim di Taiwan. “Senarai makanan halal yang mesti dimakan di Taiwan sangat panjang tetapi jika saya harus memilih, saya cadangkan untuk mencuba mi daging lembu, ais kisar mangga dan sudah semestisnya bubble tea! Pelancong Muslim boleh mencari makanan halal di Taiwan melalui aplikasi telefon. Saya sangat mengesyorkan memuat turun Aplikasi HalalTW. Aplikasi ini bukan sahaja menunjukkan senarai restoran dan kedai halal tetapi juga membantu pelancong untuk mencari masjid dan hotel terdekat yang mesra Muslim. Sebagai alternatif, pelancong Muslim boleh mencari restoran sayuran (vegetarian) yang banyak terdapat di Taiwan. Saya sangat berharap rakan-rakan saya di Malaysia dapat mengunjungi Taiwan selepas COVID-19 ini berakhir.”

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *