Thu. May 2nd, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

TOURISM SELANGOR RANCANG TARIK 5.6 JUTA PELANCONG PADA 2024

3 min read

Tourism Selangor telah mengumumkan pelan promosi pelancongan menuju ke Tahun Melawat Selangor 2025. Dengan matlamat menjadikan Negeri Selangor sebagai Negeri tumpuan pelancong, Tourism Selangor bersedia untuk meningkatkan daya tarikan pelancongan di Negeri ini.

Misi  Pelancongan dan Segmentasi Pelancongan Fokus

Sebagai salah satu komitmen Tourism Selangor untuk menjadikan Negeri Selangor sebagai destinasi pilihan utama pelancong, Tourism Selangor telah menyasarkan kedatangan pelancong seramai 5.6 juta pelancong sebelum penghujung tahun 2024. Fokus utama bagi pelan promosi pelancongan Negeri Selangor pada kali ini adalah dengan memperkenalkan segmen pelancongan fokus seperti pelancongan kesihatan. Negeri Selangor memliki jumlah hospital swasta terbanyak di Malaysia, sebanyak 20 buah hospital seperti yang telah direkodkan oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dan Negeri Selangor dijangka akan menjadi destinasi utama bagi segmen pelancongan kesihatan.

Anjung Utara Negeri Selangor akan dipromosikan dengan lebih giat melalui pelancongan berasaskan komuniti dengan beberapa inisiatif seperti Hos Komuniti Selangor dan segmentasi pelancongan agro. Sabak Bernam Development Area (SABDA) juga akan diaplikasikan dengan lebih giat bagi merancakkan ekonomi Negeri Selangor dan memperkasa komuniti tempatan.

Misi Jualan dan Jerayawara Pelancongan

Tourism Selangor akan meluaskan misi jualan di luar negara, terutamanya bagi pasaran tumpuan seperti ITB Berlin di Jerman, Pameran Pelancongan Antarabangsa Seoul 2024 di Korea Selatan, South Asia’s Travel & Tourism Exchange di Delhi, India, Malaysia Healthcare Expo di Medan, Indonesia , Forum Pelancongan ASEAN di Laos, Singapore Cruise Asia 2024, 11th Asia Pacific Geoparks Network 2024 @ Cao Bang UNESCO Global Geopark di Vietnam dan jerayawara pelancongan di China.

Berdasarkan kejayaan pada tahun 2021 dan 2022, di mana Negeri Selangor telah menerima jumlah pelawat domestik tertinggi selama 2 tahun berturut-turut, Tourism Selangor kekal optimistik dengan pertumbuhan pelancongan yang berterusan bagi tahun seterusnya. Kempen “Pusing Selangor Dulu!” yang tertumpu kepada pasaran domestik akan mempamerkan pelbagai tarikan pelancongan Selangor melalui jerayawara interaktif di sekolah-sekolah dan Negeri yang terpilih bagi mempamerkan keunikan pelancongan di Negeri Selangor kepada para pelancong.

Acara dan Perayaan

Negeri Selangor akan menganjurkan lebih 100 acara dan program di kesemua 9 daerah pada tahun ini, mempamerkan tarikan pelancongan yang pelbagai melalui 10 segmentasi pelancongan yang unik. Segmen- segmen pelancongan yang terpilih akan memberikan peluang kepada para pengunjung untuk menerokai kekayaan budaya dan nilai warisan Negeri Selangor. Tourism Selangor mengalu-alukan kedatangan pelancong untuk menyertai pelbagai acara pada tahun ini seperti Wings of Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor, Pesta Kelaut Pantai Kelanang di Kuala Langat, PJ Half Marathon 2024 di Petaling Jaya, Selangor King of the Mountain di Hulu Selangor, Sate & Program Kopi Secocok Bersama 2.0 di Kajang, Pesta Sayap di Kuala Selangor, King of Kampung Kemensah di Gombak, Karnival Ban Kanal 2024 di Sabak Bernam dan Moto GP di Sepang.

Gombak Hulu Langat Geopark

Geopark Gombak Hulu Langat dijangka akan menerima pengiktirafan global daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjelang tahun 2027. Permatang Kuarza Gombak juga dijangka akan dibuka semula kepada orang ramai menjelang akhir tahun 2024. Tourism Selangor menyasarkan lebih banyak program promosi akan dijalankan bagi mempamerkan nilai khazanah landskap geologi yang unik di Daerah Gombak dan Hulu Langat. Geopark Gombak Hulu Langat merupakan kawasan Geopark pertama di Negeri Selangor, dengan keunikan geo-komuniti tempatan dan geo-makanan sebagai tarikan gastronomi Negeri Selangor.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *