Sat. Apr 20th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Stay-Kawtim Makan Unlimited di Sunway Putra Hotel

3 min read

Selepas hampir 90 hari hanya berada di dalam rumah sendiri dek kerana penangan pandemik Covid 19, saya yakin ramai yang memerlukan sedikit dos percutian. Namun dengan keadaan ekonomi sekarang, saya pasti ramai yang berkira-kira untuk membawa keluarga bercuti. Namun dengan adanya pakej Stay-Kawtim Makan Unlimited oleh Sunway Putra Hotel, promosi ini membenarkan anda bercuti selama dua hari satu malam di Sunway Putra Hotel termasuk dengan makanan dan minuman.

Apa yang menariknya dengan pakej ini, hanya dengan membayar RM238, anda akan mendapat bilik penginapan kategori superior dan makan tanpa henti bermula dari makan tengah hari, minum petang dan makan malam selama sembilan jam untuk dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak. Saya teruja dengan pakej yang ditawarkan lantas saya membuat tempahan dan mencuba sendiri pengalaman dua hari satu malam di Sunway Putra Hotel. Jika anda memandu ke sini, saya nasihatkan letak kenderaan anda di tingkat lapan kerana lif di sini lebih dekat dengan lobi hotel. 

Sebaik saya melangkah ke lobi, terdapat seorang petugas hotel yang bersedia untuk mengambil bacaan suhu dan merekodkan kehadiran saya di dalam premis. Beg pakaian yang dibawa juga dilakukan proses sanitasi sebelum dibawa masuk ke lobi. Saya kemudiannya diiring ke kaunter untuk melakukan proses daftar masuk. Apa yang saya lihat setiap pekerja hotel memakai pelitup muka dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Malah kaunter daftar masuk dan kaunter concierge dipasang dengan plastic penghadang  untuk mengelakkan pertembungan secara  langsung. Papantanda peringatan kelihatan di mana-mana untuk memastikan tetamu hotel mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. Apa yang menarik perhatian saya, kad kunci bilik diletakkan di dalam plastik untuk memastikan ia bersih dari kuman.

Bilik & Makanan

Saya mendapat bilik kategori family room. Apa yang boleh saya katakana bilik ini cukup besar dan selesa. Terdapat sebuah katil bersaiz King dan katil single. Sebakul buah-buahan diletakkan di atas meja untuk dinikmati. Bilik airnya juga luas dan lengkap dengan set bilik mandi seperti berus gigi, sabun, syampu dan pencukur. Nun jauh kelihatan Istana Negara dari tingkap bilik. Hotel ini turut menawarkan kemudahan seperti kolam renang dan gimnasium yang dibuka dari jam 7 pagi hingga 7 malam. Namun untuk menggunakan kemudahan ini, anda perlu membuat tempahan terlenih dahulu dan hanya maksimum 45 minit sahaja masa yang diberikan untuk menggunakan kemudahan ini. Menurut salah seorang petugas hotel, kolam renang dicuci sepenuhnya selepas setiap sesi dan gimnasium akan disanitasi dari masa ke semasa. Jadi anda tidak perlu risau tentang tahap kebersihan di hotel ini. 

Satu perkara yang best mengenai pakej Stay-Kawtim Makan Unlimited ini adalah setiap tempahan disertakan dengan pakej makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Apa yang boleh saya katakan, Sunway Putra Hotel merupakan sebuah hotel bertaraf lima bintang jadi setiap menu yang ditawarkan untuk makan tengah hari, minum petang dan makan malam adalah berbeza. Selama sembilan jam anda boleh makan sebanyak mana yang anda suka. Namun pilihan makanan yang ditawarkan pada setiap sesi tidak begitu banyak namun dengan harga yang ditawarkan, saya rasa ia amat berbaloi! Menu yang ditawarkan pula termasuk menu tempatan dan juga menu antarabangsa. 

Aktiviti Lain

Apa yang menariknya tentang Sunway Putra Hotel, ia berhubung dengan sebuah pusat membeli-belah yang terkenal iaitu Sunway Putra Mall. Buat kaki shopping dan kaki makan, anda pasti teruja dengan apa yang ditawarkan di sini. Oh ya, dengan membuat tempahan pakej Stay-Kawtim Makan Unlimited, saya juga mendapat voucer bernilai RM100 yang boleh digunakan di Sunway Putra Mall. Selain itu, anda juga boleh mencuba perkhidmatan bas Hop On Hop Off. Hentian bas ini terdapat di depan Sunway Putra Hotel. Anda boleh pusing-pusing Kuala Lumpur hanya dengan menaiki bas ini. Terdapat 27 hentian bas ini dan hampir 60 tarikan pelancongan yang boleh dilawati. Jika malas untuk memandu, stesen LRT PWTC juga terletak bersebelahan hotel ini. Jika anda ingin benar-benar menikmati  promosi sembilan jam makan-makan, pastikan datang seawal jam 12 tengah hari sebelum anda mendaftar masuk ke hotel .

Untuk maklumat lanjut sila layari https://www.sunwayhotels.com/sunway-putra
 

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *