Mon. Apr 29th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

SENI DI LOKASI: KENDURI SENI KAMPUNG

2 min read

YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya telah menyempurnakan majlis perasmian program Seni di Lokasi: Kenduri Seni Kampung di Artgardenmadi, Ulu Dong, Raub, Pahang.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi agensinya, Balai Seni Negara dengan kerjasama Artgardenmadi sedang melaksanakan Program Seni Di Lokasi: Kenduri Seni Kampung yang telah berlangsung sejak 15 Ogos hingga 20 Ogos 2023.

Program ini merupakan salah satu usaha dalam mempromosikan kelestarian seni dan budaya serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi komuniti tempatan melalui kenduri seni, kerja seni, sembang saran dan bakat seni kreatif.

Program yang mempromosikan kreativiti dan semangat kolaborasi dalam kalangan penggiat seni dan komuniti ini membawakan lebih 10 aktiviti serta pengisian. Antaranya ialah Aur di Tebing yang mengetengahkan kreativiti penggunaan buluh dan Bengkel Anyaman Kitar Semula bagi mempromosikan kelestarian alam dengan mengubah bahan plastik kitar semula menjadi produk seni yang praktikal seperti bakul, alas, beg, kulit fail dan sebagainya.

Antara lain yang menarik, penghasilan sebuah karya seni mural bersaiz 1000 kaki persegi di Sekolah Kebangsaan Ulu Dong melibatkan pelukis tempatan iaitu Suhaimi Ali dan Shal Sefehee, pihak sekolah serta sukarelawan yang terdiri daripada penduduk tempatan. Selain mampu menjadi tarikan kepada pelancong, ia sekaligus mampu memupuk kesedaran masyarakat terhadap hasil seni awam.

YB Timbalan Menteri dalam ucapannya juga berkata, “Ramai penggiat industri tempatan yang berbakat besar, namun kurang pendedahan dan acara yang boleh menonjolkan kebolehan mereka. Jadi, kita perlu perbanyakkan lagi aktiviti sebegini di masa akan datang, di lain negeri juga, wujudkan banyak lagi “Art Garden” untuk memberi ruang ini kepada mereka”.

Turut hadir, YB Tuan Fadzli bin Mohamad Kamal, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Dong, YBrs. Encik Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) MOTAC, YBrs. Encik Amerrudin bin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara serta pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *