October 6, 2022

Santai Travel Channel

SARAWAK PERKUKUH EKOSISTEM PELANCONGAN ISLAM BERSAMA ISLAMIC TOURISM CENTRE

3 min read

KUCHING, Sarawak : Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Hajah Nancy hari ini menyampaikan Ucaptama di Seminar Keusahawanan dan Kepimpinan Pelancongan Islam (Islamic Tourism Entrepreneurship and Leadership Seminar – ITELS) yang diadakan di The Waterfront Hotel, Kuching pada 14 dan 15 September 2022.

Seminar ini dibawakan oleh Islamic Tourism Centre (ITC), sebuah agensi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Ministry of Tourism, Arts and Culture – MOTAC) yang ditugaskan untuk menyelia pembangunan Pelancongan Islam di Malaysia. Tujuan ia diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran akan faedah dan peluang yang boleh ditawarkan sektor yang bernilai berbilion ringgit ini. Dengan populasi umat Islam seluruh dunia yang telah menjangkau 2 bilion, pelancongan Islam dan pasaran pelancong Muslim yang kian meningkat ini semakin mendapat perhatian destinasi-destinasi terkemuka dunia, termasuk Malaysia.

“Pelancongan Islam menambah lagi peluang bagi warga Sarawak untuk menjana pendapatan melalui industri pelancongan,” ujar YB Dato Sri Hajah Nancy. ITELS Sarawak disertai 70 peserta yang terdiri dari penggiat industri dan anak tempatan yang berminat mendalami sektor yang semakin berkembang ini, selain untuk mengintai peluang keusahawanan dan pekerjaan bersesuaian. Bumi Kenyalang dipilih sebagai lokasi bagi anjuran ke-4 seminar bersiri ini atas kemampuannya untuk menarik pelancong yang beragama Islam dan bukan Islam dengan kepelbagaian etnik, budaya, warisan dan kehidupan flora dan faunanya.

Sejak bulan Januari 2022, Malaysia telah menerima 400,186 pelancong Muslim yang telah menyumbangkan sebanyak 18%, atau RM1.15 bilion, kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelancongan negara. Sejumlah 900,000 ketibaan pelancong Muslim ke Malaysia disasarkan pada tahun 2022, dengan perbelanjaan pelancong Muslim dijangka berjumlah RM2 bilion.

“Penggiat industri pelancongan dan rakyat Sarawak perlu mengambil kesempatan untuk menceburkan diri di dalam sektor Pelancongan dan Hospitali Mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism and Hospitality – MFTH) dengan mengangkat khazanah alam semulajadi, budaya setempat, makanan warisan, hasil kraftangan yang pelbagai di negeri ini ke mata pelancong Muslim,” kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya tersebut.

Beliau kemudian mengetengahkan Pelancongan Masjid dan homestay sebagai antara aktiviti terbaik dalam mempamerkan gaya hidup kaum etnik berbilang kaum dengan nilai silang budaya negeri ini. Santubong pula disebut sebagai contoh destinasi yang mempunyai nilai sejarah Islam yang kukuh dengan adanya Makam Sultan Tengah dan penceritaan tersendiri tapak-tapak arkeologi pra-sejarah di Tanjung Kubor dan Sungai Jaong.

Ketua Pengarah ITC, YBhg. Dato’ Dr. Mohmed Razip Haji Hasan memaklumkan, “ITELS bermula sebagai sebuah latihan atas talian pada Oktober 2021 untuk menyahut seruan kerajaan bagi membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada generasi muda untuk berbakti kepada kemajuan negara melalui pembangunan modal insan dan pemerkasaan ekonomi belia melalui Pelancongan Islam.”

ITELS Sarawak menampilkan 11 penceramah yang berkongsi kepakaran di dalam topik kepimpinan, keusahawanan, pengurusan kewangan, standard dan pensijilan berkaitan Pelancongan Islam. Penggiat industri terkemuka juga turut diundang untuk menceritakan kisah kejayaan masing-masing untuk memberi inspirasi dan menaikkan motivasi peserta untuk melibatkan diri dalam sektor MFTH.

ITELS dijayakan oleh ITC bersama dengan sokongan dari Sarawak Tourism Board (STB), Sarawak Convention Bureau, Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Bank Islam Malaysia Berhad, Teratak Spa, MyBurger Lab, dan Persatuan Jurulatih Kesejahteraan Malaysia (Malaysia Association of Wellness Therapists – MAWT), serta Lotus Desaru Beach Resort & Spa, Olive Tree Hotel Pulau Pinang, Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, Grand Ion Delemen Genting Highlands, Zheo Lab dan Attiya Spa.

Seminar ini bukanlah satu-satunya program pembangunan kapasiti yang dianjurkan ITC di Bandaraya Kuching sepanjang minggu ini. ITC baru sahaja menutup tirai latihan “Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG)” yang dianjurkan selama tiga hari semalam. Seramai 30 orang pemandu pelancong berlesen dari Sarawak Tourist Guides Association (STGA) telah dilatih dengan pengetahuan yang penting dalam menyantuni pelancong Muslim. Para peserta disajikan dengan ilmu-ilmu berkaitan seperti Konsep Pelancongan Islam, Keperluan Pelancong Muslim dan Malaysian Standard (MS) 2610 – Muslim-Friendly Hospitality yang disampaikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan ITC.

ITC giat aktif dalam membantu penggiat industri pelancongan dan seluruh warga Sarawak untuk memperkukuh ekosistem Pelancongan Islam di negeri ini. Pada 27 November tahun lalu, ITC dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) menganjurkan Seminar Pelancongan Masjid pertama di daerah Kuching. Melalui program ini, 53 wakil dari 15 masjid di seluruh Sarawak telah diberi peluang untuk menerokai peranan masjid di dalam industri pelancongan. Seminar tersebut diikuti dengan sebuah lawatan jejak masjid di sekitar Asajaya, Kuching dan Sadong Jaya.

Potensi Sarawak sebagai destinasi Mesra-Muslim juga terserlah dengan adanya 7 hotel di negeri ini diiktiraf di bawah program Muslim-Friendly Accommodation Recognition (MFAR) oleh ITC. Hotel-hotel yang dimaksudkan adalah Pullman Kuching, Pullman Miri Waterfront, Hilton Kuching, The Waterfront Hotel Kuching, Grand Margherita Hotel, Riverside Majestic Hotel (Puteri Wing) dan Riverside Majestic Hotel (Astana Wing).

Facebooktwitteryoutubeinstagram
Facebooktwitterredditpinterestmail

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.